Bagi ibu dan bapa yang menantikan kelahiran cahaya mata baru, mereka mengharapkan agar bayi yang bakal dilahirkan itu sempurna sifatnya.
Mereka mungkin akan terkejut dan cuba bertabah jika diberitahu doktor bahawa bayi yang dilahirkan itu tidak cukup sifatnya atau mengalami kecacatan.
Keluarga Da Silva
Namun, tidak bagi keluarga Da Silva dari Brazil. Mereka amat berbangga apabila 14 daripada 23 orang ahli keluarga mereka dilahirkan dengan 12 jari tangan dan kaki. Malah, mereka menanti-nantikan kelahiran ahli keluarga baru yang mempunyai "keistimewaan" ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Tambahan terbaru kepada keluarga Da Silva yang memiliki keistimewaan ini adalah Vinicius. Mereka berharap apabila Vinicius meningkat dewasa, dia dapat menggunakan jarinya itu dengan baik seperti abang dan sepupunya yang lain.
Vanicius Da Silva
Sepupunya, Joao Assis, merupakan seorang penjaga gol manakala Maria Morena pula, menggunakan bilangan jarinya yang lebih itu untuk bermain piano.
Menurut bapa Vinicius, Alessandro Da Silva, ini adalah kelebihan keluarganya yang membuatkan mereka berbeza berbanding keluarga lain.
50 peratus kemungkinan
Alessandro juga memiliki enam jari di setiap tangan dan kaki sementara Isterinya, Katia, memiliki lima jari seperti kebanyakan orang lain. Ini bermaksud, pasangan itu mempunyai kemungkinan 50 peratus untuk memiliki anak yang dilahirkan dengan 12 jari.
Anak pertama mereka, Guilherme Da Silva, juga mengikuti sifat bapanya apabila dilahirkan dengan 12 jari tangan dan kaki.
Menurut Katia, doktor memberitahunya bahawa Vinicius adalah seorang bayi lelaki pada minggu ke-13 kehamilan. Sejak itu, pasangan itu memang mengharapkan agar bayi itu dilahirkan dengan 12 jari.
Sejak Vinicius dilahirkan dengan 12 jari seperti yang diharapkan, Alessandro sering memerhatikan jika jari bayinya itu berfungsi dengan baik.
Apabila Vinicius sudah mula menggenggam barang, Alessandro gembira kerana jari anaknya yang baru lahir itu berfungsi dengan normal.
1 dalam 3,000 kelahiran
Sindrom genetik yang menyebabkan orang dilahirkan dengan bilangan jari tangan dan kaki tambahan ini dikenali sebagai polydactyly (polidaktili).
Sindrom ini dikesan berlaku 1 dalam 3,000 kelahiran. Mutasi ini juga dikenalpasti lebih kerap berlaku di beberapa tempat di dunia berbanding tempat lain.
Keadaan jari kebanyakan orang yang mengalami sindrom genetik polydactyly
Namun, kebanyakan orang yang dilahirkan dengan bilangan jari tangan dan kaki tambahan ini tidak dapat menggunakannya kerana ia biasanya kecil, lemah atau tidak berfungsi.
Dalam kes keluarga Da Silva pula, mereka berbeza daripada yang lain apabila semua ahli keluarga yang mengalami mutasi ini dapat menggunakan jari mereka dengan baik dan berfungsi sepenuhnya.
Keluarga Da Silva dikenali di bandar Brasilia yang merupakan ibu negeri Brazil sebagai "Keluarga Jari Enam". Mereka percaya jari tambahan yang dimiliki adalah aset, bukannya halangan atau kecacatan.
Ibu saudara kepada Alessandro, Sylvia, memberitahu bahawa mereka tidak kisah jika mengandungkan anak lelaki atau perempuan. Apa yang lebih penting adalah bayi itu memiliki 12 jari.
Kelebihan "Keluarga Jari Enam"
Abang kepada Vinicius, Guilherme Da Silva berkata bahawa perkara paling hebat apabila memiliki jari yang lebih adalah dapat memegang banyak benda dalam satu masa.
Joao Assis
Sepupunya Maria menambah, dia dapat menekan lebih banyak nota ketika bermain piano. Malah, guru muziknya juga berimpian untuk memiliki jari lebih sepertinya.
Manakala abang Maria, Joao Assis pula berkata, dia dapat menjangkau dan memegang bola dengan lebih baik. Memiliki jari yang lebih membuatkan cengkaman tangannya lebih kemas dan sukar untuk melepaskan bola.
Namun, Joao Assis terpaksa membeli dua pasang sarung tangan penjaga gol dan mengubah suainya agar ia dapat digunakan pada 12 jarinya.
Selain itu, Joao Assis dan beberapa ahli keluarga Da Silva yang lain juga pandai bermain gitar. Mereka menggunakan keistimewaan ini sebaik-baiknya.
Menurut Alessandro, datuknya adalah orang yang bertanggungjawab untuk mengubah kecacatan keluarga ini menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan.
Datuknya menulis sebuah buku mengenai keistimewaan ini dan memaparkan tangannya sendiri pada kulit buku. Malah, datuknya juga mencipta lagu dan melakukan pelbagai perkara lain supaya mutasi mereka ini menjadi simbol kebanggaan kepada keluarga.