Penemuan mayat seorang wanita berusia 28 tahun bernama Bushra Iftihkhar mengejutkan pihak penyiasat, berikutan keadaannya yang menyedihkan. Bushra, seorang suri rumah mati ditikam sehinggakan pisau yang digunakan untuk membunuhnya bengkok - sebelum dia diserang dengan pemutar skru.

Ibu kepada empat orang anak dan seorang lagi sedang dalam kandungan hasil perkahwinannya dengan suaminya, Sami Ullah yang datang daripada keluarga berpengaruh di kawasan mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selepas satu pertengkaran Sami menyerang isterinya sehingga mati disebabkan oleh pergaduhan melibatkan isu agama. Apa yang menakutkan, walaupun mempunyai bukti yang cukup hasil siasatan pihak polis bagi mendakwa suami Bushra - besar kemungkinan Sami akan terlepas daripada sebarang hukuman.

Ini kerana undang-undang di Pakistan membolehkan Sami dimaafkan atas kesalahannya.

Dibentuk berdasarkan kepada undang-undang Islam sejak tahun 1990, semua kes jenayah yang berlaku di Pakistan boleh dikira selesai, seandainya pihak waris mengisytiharkan mereka telah memaafkan pelaku - termasuklah kes-kes bunuh.

Memaafkan seorang pembunuh

keluarga tertuduh kes bunuh

Hanya pada tahun 2016, Pakistan meminda undang-undang mereka, tidak lagi mengenakan pengecualian sama dalam kes balas bunuh tetapi hanya terpakai dalam situasi sedemikian. Untuk kes-kes bunuh lain, peraturan sama masih lagi digunakan.

Oleh sebab itulah Mohamad Zakaria (gambar di atas), abang kepada Bushra percaya besar kemungkinan pembunuh adiknya akan terlepas daripada sebarang hukuman - kerana waris Bushra pasti akan ditawarkan pampasan ganti rugi yang sukar ditolak keluarganya sebagai penyelesaian, seterusnya kemaafan.

Selepas diperkenalkan pada era 90-an, beban perbicaraan yang perlu ditanggung oleh mahkamah dilaporkan berkurangan membolehkan pertelagahan yang timbul reda. Namun dalam masa yang sama, statistik hukuman ke atas penjenayah kes bunuh turut sama turun, daripada 29% pada tahun 1990 kepada 12% sahaja dalam tempoh 10 tahun.

Apa yang sangat membimbangkan, itu bukanlah kali pertama Sami Ullah bertindak ganas. Sudah ada dua insiden cubaan bunuh dilakukannya melibatkan jiran tetapi dia terlepas daripada sebarang tindakan, selepas keluarganya menggunakan pengaruh bagi melepaskan dia dari dakwaan.

Oleh yang demikian menurut Zakaria, adik iparnya itu merasakan dirinya kebal daripada undang-undang kerana tahu pengaruh keluarganya mampu melepaskan dia daripada sebarang bentuk tekanan, sehinggalah menjurus kepada pembunuhan kejam isterinya sendiri.

Ambil kesempatan ke atas sikap lembut manusia

pemain kriket mohon maaf kes rasis

Cadangan supaya dilakukan reformasi ke atas undang-undang ini sudah dicadangkan pada tahun 2015 oleh bekas peguam negara Pakistan, Ashtar Ausaf Ali yang mahu memperketatkan peraturan tersebut. Ashtar percaya dengan pengenalan hukuman minima mandatori ke atas setiap jenayah walaupun dimaafkan pihak waris kepada mangsa, akan membantu menurunkan kes-kes berulang melibatkan individu serupa.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak - khasnya daripada golongan sarjana Islam yang berpegang bahawa kemaafan yang diberikan sudah memadai untuk memandu pesalah ke jalan yang benar.

Tidak dapat dinafikan, situasi yang ada menyukarkan pengamal undang-undang khasnya pendakwaraya dan juga pegawai polis. Ini kerana sudah acap kali kes-kes yang telah disiasat dan dibawa ke mahkamah, terpaksa ditutup selepas mangsa atau waris mangsa bersetuju melepaskan pelaku dari pertuduhan.

Walau bagaimanapun, ada juga berlaku situasi di mana pihak polis mendapat faedah daripada pelaksanaan undang-undang ini.

Dalam kes pembunuhan seorang lelaki terencat akal bernama Salahuddin Ayub yang didapati mencuri kad bank orang lain, Salahuddin meninggal dunia semasa dalam tahanan. Waris Salahuddin pada mulanya bertindak membawa kes tersebut ke mahkamah tetapi tidak semena-mena memaafkan kumpulan pegawai yang didakwa tidak sengaja membunuh anaknya.

Beberapa orang tokoh masyarakat dikatakan berusaha memujuk keluarga Salahuddin agar memaafkan ketelanjuran yang telah berlaku, seterusnya membolehkan permohonan maaf mereka yang terlibat diterima.

Ganjaran besar disebalik kemaafan

hafiz saeed individu berpengaruh pakistan

Penarikan balik dakwaan terhadap 3 pegawai polis yang terlibat menimbulkan banyak persoalan kepada ahli masyarakat.

Bagaimanapun pendedahan tentang sebab sebenar kenapa waris keluarga Salahuddin menarik balik tuduhan menjelaskan segala-galanya, kerana terlalu lumayan tawaran itu untuk ditolak. Hasil perbincangan keluarga itu dengan seorang tahanan berpengaruh bernama Hafiz Saaed (gambar), ketua kepada gerakan Jamaat-ud Dakwah yang terkenal di Lahore, berjaya menjadi orang tengah rundingan dalam kes itu.

Kerajaan Pakistan dikatakan menawarkan keluarga Salahuddin jalan sepanjang 8 km yang akan menghubungkan kampung mereka dengan jalan besar, termasuklah saluran gas yang akan menelan belanja sekitar RM21 juta keseluruhannya.

Waris Salahuddin yang merupakan pengikut rapat Hafiz bersetuju dengan tawaran itu, seterusnya memaafkan 3 pegawai polis yang terbabit.

Apabila kes bunuh berprofil tinggi, tawaran untuk membeli kemaafan juga datang dengan kos lebih besar. Samalah situasinya dengan banyak lagi waris kepada mangsa-mangsa bunuh, yang berhadapan dilema serupa. Mereka kehilangan ahli keluarga - tetapi ditawarkan sagu hati seperti rumah atau wang tunai dalam jumlah yang besar untuk membeli kemaafan mereka.

Jika anda berada di tempat mereka - apa pilihan anda? Maafkan atau teruskan dakwaan, bagi mendapatkan keadilan?


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel Pakistan forgiveness laws: The price of getting away with murder yang diterbitkan oleh BBC Islamabad.




Hakcipta iluminasi.com (2017)