Oleh pada 28 Nov 2019 kategori

Nama Saidatina Aisyah Binti Abu Bakar R.A adalah nama yang tidak asing lagi di kalangan umat Islam di seluruh dunia. Beliau merupakan salah seorang daripada isteri Nabi Muhammad S.A.W yang mendapat julukan Ummul Mukminin yang bermaksud "Ibu Orang Beriman".

Wanita ini sering mendapat pujian dan diingati atas segala jasanya yang amat besar terhadap umat Islam. Ini kerana beliau telah memainkan peranan penting dalam sejarah awal Islam, ketika Rasulullah S.A.W hidup dan selepas Baginda wafat. Berikut adalah beberapa kelebihan Saidatina Aisyah R.A berbanding wanita lain.

1. Tempat kelahiran

mekah tempat kelahiran aisyah ra 839

Saidatina Aisyah R.A dilahirkan pada tahun 610 Masihi (terdapat beberapa pendapat berbeza) di Mekah al-Mukarramah, tempat yang penuh keberkatan di mana umat Islam menunaikan ibadah Umrah dan Haji. Mekah juga merupakan tempat beribadat sejak dari zaman Nabi Ibrahim A.S lagi (ada pendapat mengatakan lebih lama daripada itu).

2. Latar belakang keluarga

Saidatina Aisyah R.A adalah anak kepada Saidina Abu Bakar as-Siddiq R.A yang merupakan Khalifah pertama (632-634M) umat Islam dan sahabat paling rapat dengan Rasulullah. Ibunya bernama Ummu Rumman binti 'Amir, seorang wanita mulia, berbudi pekerti dan bijak.

Mereka sekeluarga amat berpegang teguh dengan ajaran Islam sehingga sanggup menggadaikan segalanya demi memperjuangkan dan menyebarkan agama bersama-sama Nabi Muhammad S.A.W. 

3. Mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi

aisyah ra adalah wanita bijaksana

Selain berkahlak mulia, Saidatina Aisyah R.A juga terkenal kerana mempunyai ilmu yang tinggi dalam bidang fiqh (pemahaman agama), faraid (pembahagian harta), tafsir dan hadis. Ketinggian ilmu yang dimiliki beliau pernah dinyatakan oleh Urwah bin az-Zubir:

“Tiada seorang yang lebih alim tentang halal dan haram, ilmu, syair dan perubatan melainkan Aisyah Ummul Mukminin.”

4. Perkahwinan yang diberkati

Aisyah dilamar oleh Rasulullah S.A.W ketika usianya masih muda (ulama berbeza pendapat umur sebenar tetapi paling mahsyur bernikah pada usia 6 dan tinggal serumah pada usia 9). Majlis perkahwinannya berlangsung pada bulan Syawal, tahun kedua Hijrah.

Aisyah R.A adalah satu-satunya isteri Rasulullah S.A.W yang masih perawan (isteri lain semuanya janda). Perkahwinan antara Aisyah R.A dan Nabi Muhammad S.A.W adalah wahyu daripada Allah S.W.T. 

“Aku bermimpi melihatmu selama tiga hari berturut-turut. Malaikat datang kepadaku membawa gambaranmu di dalam balutan sehelai sutera. Malaikat berkata, ‘Inilah gambaran isterimu.’ Aku pun membuka kain sutera yang menutupi wajahmu itu, ternyata itu adalah engkau (Aisyah R.A). Maka, aku katakan, ‘Jika memang ini daripada Allah, nescaya Allah melaksanakannya’.”

Hadis Sahih Muslim

5. Isteri paling utama di sisi Rasulullah S.A.W

kelebihan aisyah ra

Selain Siti Khadijah al-Khuwaylid R.A iaitu isteri pertama Nabi Muhammad S.A.W, Aisyah R.A adalah isteri yang paling utama di sisi Baginda. Khadijah R.A dan Aisyah R.A merupakan isteri yang paling disayangi Nabi Muhammad S.A.W di mana kedua-duanya mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

6. Pembantu peribadi Rasulullah S.A.W

Sebagai seorang isteri, Saidatina Aisyah R.A juga turut memainkan peranan sebagai pembantu peribadi Rasulullah S.A.W dalam segala urusan termasuklah berdakwah menyebarkan agama Islam.

7. Berjuang di medan perang

pahlawan wanita muslim 703

Selain membantu Rasulullah S.A.W dalam pelbagai aspek kehidupan dan agama, Aisyah R.A juga pernah berjuang bersama Baginda dalam Perang Uhud (ulama berbeza pendapat) dan Perang Khandaq.

8. Mendapat didikan terus daripada Utusan Allah S.W.T

Sebagai isteri Rasulullah S.A.W, Aisyah R.A mempunyai kelebihan berbanding orang lain kerana beliau mempelajari adab, akhlak serta ilmu secara terus daripada Baginda yang mendapat wahyu daripada Allah S.W.T.

9. Periwayat hadis Rasulullah S.A.W

aisyah ra periwayat hadis

Sebagai isteri yang banyak meluangkan masa bersama Rasulullah S.A.W, Aisyah R.A juga banyak mengingati ucapan-ucapan yang dikeluarkan Baginda.

Aisyah R.A adalah antara orang paling banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah S.A.W iaitu sebanyak 1210 hadis.

“Tidaklah terjadi satu kemusykilan ke atas kami sahabat-sahabat Nabi S.A.W pada suatu hadis, maka kami bertanya tentangnya kepada Aisyah R.A, melainkan kami akan mendapat daripada Aisyah ilmu tentangnya.”

Abu Musa al-Asy’ari

10. Tempat Rujukan Para Sahabat 

Aisyah R.A sering menjadi tempat rujukan para sahabat selepas kewafatan Baginda S.A.W mengenai permasalahan atau kemusykilan berkaitan agama terutamanya meneai fiqh, faraid dan adab Rasulullah S.A.W di rumah. 

“Aku tidak pernah melihat orang yang lebih faqih di dalam ilmu agama, perubatan dan syair berbanding Aisyah R.A”.

Urwah bin Zubair R.A

11. Wahyu Turun Ketika Bersama Aisyah

Tidak ada wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W ketika Baginda bersama isteri-isterinya melainkan hanya dengan Aisyah R.A.

“Jangan sakiti aku dengan mengusiknya (kerana menyakitinya sama seperti menyakitiku). Sesungguhnya, wahyu tidak datang kepadaku sewaktu aku berada di bawah satu selimut dengan seorang wanita pun dalam kalangan isteriku, kecuali ketika bersama Aisyah.”

Hadis Riwayat Bukhari

12. Rasulullah S.A.W wafat di sisi Aisyah R.A

“Rasulullah S.A.W wafat di rumahku pada hari dan malam giliranku. Kepalanya diletakkan di atas paru-paru dan bahagian atas dadaku.”

Saidatina Aisyah R.A

rasulullah saw wafat di sisi aisyah ra

Malah, Rasulullah S.A.W turut berkongsi kayu sugi yang telah digunakan oleh Saidatina Aisyah R.A sebelum menghembuskan nafas terakhir sehinggakan Aisyah berkata:

“Segala puji bagi Allah S.W.T yang telah menyatukan air liurku dengan air liur Rasulullah S.A.W pada detik-detik terakhir kehidupan dunia Baginda.”

Begitulah antara beberapa keistimewaan dan kelebihan yang dimiliki oleh Saidatina Aisyah R.A. Semoga keperibadian yang dimiliki oleh Aisyah R.A ini dapat dicontohi oleh kaum wanita pada masa kini. Insya-Allah.

Rujukan:

1. Hadis mengenai Aisyah R.A

2. Keistimewaan Saidatina Aisyah R.A berbanding wanita lain

3. Kehebatan Saidatina Aisyah R.A



Hakcipta iluminasi.com (2017)