Oleh pada 30 Sep 2019 kategori

Sejak Nabi Muhammad S.A.W diutuskan untuk menyebarkan ajaran Islam, lahirnya ramai pejuang dan pahlawan-pahlawan yang sanggup mengorbankan diri mereka demi mempertahankan kesucian agama.

Antara pejuang-pejuang Islam yang terkenal ialah seperti Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib, Khalid al-Walid, Salahuddin Ayyubi, Sa'ad bin Abi Waqqas, Abu Ubaidah bin al-Jarrah dan ramai lagi. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, tidak ramai yang tahu mengenai kisah pahlawan wanita dalam Islam. Kali ini, iluminasi.com ingin kongsikan bersama anda tentang kisah seorang pahlawan wanita yang hebat dalam sejarah Islam.

Beliau merupakan orang yang sangat digeruni di kalangan pahlawan-pahlawan lain dan merupakan Muslimah pertama yang menghunuskan senjata di medan jihad. Beliau juga seorang alim yang sangat tekun beribadah.

Selain itu, wanita ini juga telah melahirkan seorang pahlawan besar yang merupakan pahlawan pertama angkatan tentera berkuda kaum Muslimin. Wanita yang dimaksudkan ini ialah Safiyyah binti Abdul Muttalib.

Hubungan dengan Rasulullah S.A.W

kisah safiyyah abdul muttalib pahlawan wanita muslim

Sebenarnya, terdapat dua orang wanita bernama Saffiyah yang dekat dengan Nabi Muhammad S.A.W. Yang pertama ialah Safiiyyah binti Abdul Muttalib, ibu saudara kepada Nabi S.A.W. Manakala yang kedua ialah Safiyyah binti Huyyay, salah seorang isteri Nabi S.A.W dari keturunan Yahudi.

Safiyyah binti Abdul Muttalib adalah saudara seibu sebapa dengan "Singa Allah" iaitu Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib. Saffiyah dilahirkan pada tahun 569 Masihi, setahun lebih tua daripada Saidina Hamzah melalui isteri keempat Abdul Muttalib iaitu Haalah binti Wahab. Ibu kepada Safiyyah merupakan kakak kepada ibu Nabi S.A.W, Aminah binti Wahab.

Suami pertama Safiyyah ialah Harith bin Harb iaitu saudara kepada Abu Sufyan bin Harb (tokoh Quraisy dan musuh utama Rasulullah S.A.W yang kemudian memeluk Islam. Isterinya Hindun binti Qutaibah yang membedah dada Saidina Hamzah dalam Perang Uhud).

kisah wanita islam pertama hunus perdang

Setelah Harith bin Harb meninggal dunia, Safiyyah berkahwin kali kedua dengan Al-Awwam bin Khuwaylid. Al-Awwam merupakan abang kepada Ummul Mukminin (Ibu orang mukmin) iaitu Khadijah binti Khuwaylid, isteri pertama Nabi Muhammad S.A.W.

Melalui perkahwinan kedua ini Safiyyah dikurniakan tiga orang anak iaitu Al-Zubair, Al-Sa'ib dan Abdul Kaaba. Saidina Zubair bin al-Awwam adalah seorang sahabat Nabi S.A.W dan ahlul bait yang sangat terkenal sebagai seorang pahlawan yang hebat di medan perang. 

Al-Awwam meninggal dunia ketika anak-anaknya masih kecil lagi. Sejak itu, Safiyyah membesarkan sendiri ketiga-tiga orang anaknya itu.

Antara yang terawal memeluk Islam

pahlawan wanita muslim

Safiyyah adalah seorang ibu yang tegas terhadap anak-anaknya. Beliau mempersiapkan Al-Zubair dengan kemahiran berkuda dan bersenjata. Apabila anaknya malas, Safiyyah akan memukul anaknya itu.

Beliau pernah ditegur kerana mendidik anaknya dengan keras. Namun, beliau menjawab teguran itu bahawa dia berbuat demikian supaya anaknya itu lebih bersedia dan kental di medan perang. 

Safiyyah telah memeluk Islam dan berbaiah sejak awal lagi ketika Nabi Muhammad S.A.W. masih berdakwah kepada ahli keluarganya sahaja. Anaknya, Al-Zubair juga turut menyertai ibunya dan merupakan antara lima lelaki terawal yang memeluk Islam.

hijrah

Al-Zubair dan ibunya sering diseksa oleh Kaum Quraisy di Mekah kerana menerima ajaran Nabi Muhammad S.A.W tetapi tidak sedikitpun goyah pegangan dan kepercayaan mereka terhadap Islam.

Tatkala Baginda S.A.W diizinkan Allah S.W.T untuk berhijrah ke Kota Madinah, Saffiyah dan anaknya itu meninggalkan rumah dan harta mereka untuk menyertai kumpulan pertama yang mengikuti Nabi S.A.W pada tahun 622 Masihi.

Berjuang bersama Baginda S.A.W di Perang Uhud

bukit uhud

Ketika tercetusnya Perang Uhud pada tahun 625 Masihi, Safiyyah yang berumur 56 tahun ketika itu tetap tidak melepaskan peluang untuk menyertai Rasulullah S.A.W di medan jihad. Safiyyah, Al-Zubair dan kaum Muslimin yang lain bergegas ke Bukit Uhud dengan tugasan masing-masing.

Safiyyah menyediakan air, membalut luka tentera Muslimin serta membaiki panah-panah yang patah. Apabila perperangan semakin sengit dan orang lain mula terpisah dari Rasulullah S.A.W, Safiyyah terus mengeluarkan pedangnya dan turut serta membantu anak saudaranya itu di kancah perperangan.

tentera berkuda 10

Bahkan, Safiyyah dikatakan wanita Muslimin pertama yang menghunuskan senjata di medan jihad dan wanita Muslimin pertama membunuh kaum Musyrikin. Ketika itu juga, Al-Zubair telah mengalahkan pembawa bendera kaum Musyrikin yang tidak berani ditentang tentera Muslimin yang lain. Menurut Riwayat Bukhari dan Muslim , Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya setiap nabi memiliki hawari (pengikut setia) dan hawariku adalah al-Zubair bin al-Awwam.”

Dalam Perang Uhud, bapa saudara Rasulullah S.A.W iaitu Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib telah syahid. Rasulullah S.A.W telah menyuruh Al-Zubair membawa ibunya pulang supaya tidak melihat apa yang berlaku kepada adiknya Hamzah.

Apabila Al-Zubair memberitahu ibunya apa yang disampaikan Rasulullah S.A.W, Safiyyah dengan tabah menerima sepenuhnya apa yang berlaku. Dia bangga adiknya berjuang di jalan Allah S.W.T dan gugur mempertahankan Nabi S.A.W.

Al-Zubair kembali semula kepada Rasulullah S.A.W untuk menyampaikan kata-kata ibunya. Rasulullah S.A.W membenarkan Safiyyah datang melihat mayat Hamzah R.A sebelum mengebumikan Singa Allah itu.

Menyertai Perang Khandaq dan Perang Khaibar

tentera muslim

Safiyyah juga telah menyertai Perang Khandaq pada tahun 627 Masihi. Dia ditugaskan untuk menjaga sebuah kubu di Fari' yang diketuai oleh Hassan bin Thabit. Beliau berjaya membunuh seorang peninjau Yahudi dari Bani Quraizah kerana takut peninjau itu mengetahui kedudukan mereka dan memanggil orang-orang Yahudi yang lain ketika Nabi S.A.W sedang sibuk berperang di hadapan. 

Safiyyah juga adalah antara wanita yang pergi ke Khaibar sebagai pembantu Perang Khaibar pada tahun 629 Masihi. Beliau menyaksikan sendiri anaknya Al-Zubair mengalahkan seorang pahlawan Yahudi bernama Yasir. Semasa pengagihan rampasan Perang Khaibar, Safiyya diberikan 40 wasaq (sejenis sukatan) gandum dan kurma.

Safiyyah binti Abdul Muttalib meninggal dunia ketika berusia 70 tahun lebih semasa pemerintahan Saidina Umar R.A (634-644 Masihi) dan dikebumikan di Perkuburan Baqi di Madinah.

Jelas sekali, sifat keberanian Safiyyah ini turut mengalir dalam darah anaknya, al-Zubair bin al-Awwam, sehingga menjadi pahlawan yang handal dan disegani musuh.

Rujukan:

1. Wanita Muslimin pertama menghunuskan pedang di medan jihad

2. Wanita berani dari keluarga Rasulullah SAW

3. Wanita Islam pertama membunuh kaum musyrikin di medan perang




Hakcipta iluminasi.com (2017)