Oleh pada 27 Nov 2019 kategori

Islam telah melahirkan ramai tokoh-tokoh terkemuka dunia di pelbagai bidang. Antaranya adalah seperti keempat-empat orang khulafa al-Rasyidin, Al-Khawarizmi iaitu Bapa Matematik, Ibnu Sina iaitu Bapa Perubatan dan ramai lagi.

Namun, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa Islam juga melahirkan ramai tokoh-tokoh dari kalangan wanita. Mereka ini terkenal kerana keberanian, kebijaksanaan, keadilan, ketaqwaan dan banyak lagi. Berikut adalah 10 wanita Muslim paling penting dalam sejarah. 

10. Shajar al-Durr 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Beliau merupakan isteri kepada Sultan Mesir iaitu Al-Malik as-Salih atau dikenali juga sebagai As-Salih Ayyub (1240-1249) dari Dinasti Ayyubiyah. Selepas kematian suaminya, beliau mengambil alih pemerintahan dan menjadi Sultanah Mesir pada 1250.

Shajar telah mempersiapkan Mesir dalam Perang Salib Ketujuh dan memenangi Pertempuran Fariskur (1250). Dia juga berjaya menangkap Raja Perancis iaitu Raja Louix IX. Kerana pemerintahannya yang berkesan, duit syiling ketika itu telah dicetak dengan nama "Malikat al-Muslimin" bermaksud Ratu Orang Islam.

Beliau kemudian berkahwin dengan komandernya al-Malik al-Mu'izzudin Aybak yang menjadi sultan dari Dinasti Mamluk pertama (Mamluk adalah gelaran kepada hamba yang menjadi tentera Muslimin).

9. Razia Sultan

razia sultan

Beliau adalah pemerintah Kesultanan Delhi antara tahun 1236 hingga 1240. Bapanya, Shamsuddin Iltutmish telah menamakan Razia sebagai pewarisnya sebelum meninggal dunia pada 1236.

Razia merupakan pemerintah yang adil dan disayangi rakyatnya. Selain itu, beliau juga merupakan penaung utama dalam bidang pembelajaran. Razia mengarahkan pembinaan sekolah dan perpustakaan di seluruh utara India. Selain itu, beliau juga berjaya memimpin pasukan tenteranya dengan baik.

Pada tahun 1240, Razia telah digulingkan dalam satu pemberontakan yang didalangi oleh para bangsawan kerajaan yang menentang pemimpin di kalangan wanita. Dia kemudiannya digantikan oleh abangnya, Muizuddin Bahram Shah, yang dipercayai terlibat dalam konspitarasi menjatuhkannya.

8. Fatima binti Abi al-Qasim Abdul Rahman

fatima abi al qasim

Beliau merupakan wanita yang paling berpelajaran di Andalusia pada abad ke-12 dan awal abad ke-13. Beliau memiliki kepakaran dalam bidang teori hukum, perundangan, tasawuf dan pelbagai bidang sains. 

Fatima menghafal banyak buku-buku di bawah bimbingan bapanya. Fatima juga menghafal al-Quran di bawah bimbingan Abu Abdullah al-Madwari yang dianggap sebagai seorang ulama hebat.

Selain itu, Fatima turut belajar dari bapanya mengenai hadis Sahis Muslim, sirah Ibu Hisham dan banyak karya-karya hebat lain. Fatima merupakan ibu kepada seorang ulama' Andalusia terkenal iaitu Abu al-Qasim bin al-Taylasan. 

7. Lubna Cordoba

lubna cordoba

Lubna pada asalnya merupakan seorang hamba berbangsa Sepanyol yang kemudian menjadi salah seorang tokoh terpenting di istana Dinasti Umayyad di Cordoba. Beliau merupakan setiausaha rasmi kepada Khalifah Abdul Rahman III dan anaknya al-Hakam bin Abdul Rahman.

Lubna merupakan seorang ahli matematik yang hebat dan dilantik menjadi ketua perpustakaan diraja yang mengandungi lebih daripada 500,000 buah buku. Menurut tokoh terkenal Andalusia iaitu Ibnu Bashkuwal, Lubna cemerlang dalam penulisan, tatabahasa dan puisi.

Selain itu, pengetahuan Lubna dalam bidang matematik sangat besar dan beliau juga mahir dalam bidang-bidang sains yang lain. Tiada cendiakawan lain sehebat Lubna di istana Dinasti Umayyad.

6. Rabiatul Adawiyah

wanita muslim 740

Rabiatul Adawiyah dilahirkan dalam keluarga yang sangat miskin. Tidak lama selepas dilahirkan, kedua-dua ibu dan bapa beliau telah meninggal dunia. Ketika-tiga orang kakaknya juga meninggal dunia kerana kebuluran yang melanda Iraq ketika itu.

Beliau kemudian telah dijual sebagai seorang hamba. Selepas dimerdekakan, beliau sering pergi ke tempat sunyi untuk mengabdikan dirinya kepada Allah S.W.T.  Beliau juga dianggap sebagai pengasas kepada ajaran Sufisme "Cinta Ilahi" yang menekankan kasih sayang Tuhan demi kepentingganNya sendiri dan bukannya takut kepada hukuman atau keinginan untuk mendapatkan pahala.

Banyak lagi kisah menarik mengenai Rabiatul Adawiyah seperti beliau menolak pinangan dari wakil Gabenor Iraq kerana ingin mengabdikan hidupnya kepada Allah S.W.T. Ketika kematiannya, jenazah beliau diiringi oleh ramai ulama dan tokoh-tokoh hebat lain.

5. Zainab binti Ali

wanita muslim 2

Beliau adalah cucu kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui anak perempuannya Fatimah dan menantunya Ali bin Abi Thalib. Zainab merupakan tokoh utama Ahlul Bayt (keturunan Nabi Muhammad) pada akhir abad ke-7 dan memainkan peranan besar semasa dan selepas Pertempuran Karbala pada tahun 680 Masihi.

Dalam pertempuran itu, abangnya Husain bin Ali dan sanak saudaranya yang lain telah terkorban. Buat sementara waktu, dia menjadi ketua Ahlul Bayt dan melindungi seluruh keluarga Husain yang ketika itu dipenjara Dinasti Umayyah.

Selain itu, Zainab juga telah meriwayatkan beberapa hadis terkenal. Beliau merupakan tokoh wanita Muslim yang melambangkan pengorbanan, kekuatan dan ketaqwaan.

4. Khawlah binti al-Azwar

serikandi islam

Khawlah Al-Azwar yang hidup di zaman Rasulullah S.A.W merupakan saudara perempuan kepada Dirar Al-Azwar yang merupakan seorang lagenda tentera Islam. Kerana kehebatan bertempurnya, Rasulullah s.a.w. telah membenarkan Khawlah menyertai angkatan perang Muslimin.

Khawlah terkenal kerana penyertaannya dalam Pertempuran Yarmuk (636 Masihi) menentang tentera Byzantine. Pada hari ke empat peperangan tersebut, beliau telah mengetuai sekumpulan wanita untuk menentang tentera Byzantine.

Kelibatnya yang begitu tangkas bagaikan seorang panglima sewaktu menunggang kuda di medan perang begitu dikagumi oleh tentera Muslimin, termasuklah Khalid Al-Walid.

3. Nusaibah binti Ka'ab

serikandi islam 2

Nusaibah yang juga dikenali sebagai Ummu Ammara adalah antara wanita terawal yang memeluk agama Islam di Madinah. Beliau yang berasal dari Bani Najjar merupakan salah seorang sahabat Nabi Muhammad S.A.W.

Beliau paling diingati kerana pernah mengambil bahagian dalam Perang Uhud (625 Masihi) bersama-sama suami dan dua orang puteranya. Ketika pasukan Muslimin sedang berkecamuk, Nusaibah, suaminya dan dua orang puteranya antada yang melindungi Nabi Muhammad S.A.W daripada musuh.

Dia mengalami banyak luka sehingga pengsan. Apabila sedar, soalan pertama yang ditanyakan Nusaibah adalah "Adakah Rasulullah selamat?" Selain Perang Uhud, beliau juga menyertai Perjanjian Aqabah, Perjanjian Hudaibiyah, Perang Hunain dan Perang Yamamah.

2. Aisyah binti Abu Bakar

wanita muslimah

Tokoh Muslimah ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Aisyah binti Abu Bakar merupakan isteri Nabi Muhammad S.A.W paling berpengaruh dalam masyarakat Islam selepas kewafatan Baginda.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ummul Mukminin atau "Ibu Umat Islam" ini juga mempunyai keilmuan yang tinggi dalam bidang fekah, faraid, tafsir dan merupakan salah seorang periwayat hadis paling banyak.

Beliau yang mendapat pendidikan terus daripada Nabi Muhammad S.A.W ini sering menjadi tempat rujukan para sahabat yang lain mengenai sebarang kemusykilan selepas kewafatan Baginda. Banyak lagi sebenarnya kehebatan yang dimiliki oleh Saidatina Aisyah binti Abu Bakar ini.

1. Siti Khadijah binti Khuwaylid

wanita muslimah 2

Beliau adalah isteri pertama Nabi Muhammad S.A.W. Beliau juga merupakan satu-satunya isteri Baginda yang tidak pernah dimadukan kerana Nabi Muhammad S.A.W berkahwin dengan isteri-isterinya yang lain setelah kewafatan Khadijah.

Sebelum mengahwini Nabi Muhammad S.A.W, Khadijah sememangnya seorang tokoh Mekah yang disegani dan dihormati. Beliau merupakan salah seorang pedagang yang berjaya di mana dua pertiga Mekah adalah kepunyaannya.

Selain itu, Siti Khadijah juga adalah wanita pertama memeluk Islam dan beliau memainkan peranan utama dalam membantu Rasulullah menyebarkan agama Islam. Hasil perkahwinannya dengan Rasulullah S.A.W, mereka dikurniakan sebanyak enam orang cayaha mata.

Rujukan:

1. Wanita Muslim paling penting dalam sejarah

2. Ikon wanita paling berpengaruh dalam sejarah Islam

3. Wanita luar biasa dalam sejarah Islam




Hakcipta iluminasi.com (2017)