Oleh pada 25 Aug 2019 kategori

wanita penghuni neraka

Kitab Al-Quran terkandung pelbagai jenis pengajaran serta panduan yang sempurna, sebagai panduan kepada umat-umat akhir zaman dalam meneliti hidup yang semakin lama semakin mencabar.

Dalam al-Quran terkandung banyak peringatan tentang larangan-larangan melalui kisah-kisah penceritaan yang terkandung, pernah berlaku satu masa dahulu agar kita dapat mengambil iktibar daripadanya.

Salah satu peringatan yang disampaikan secara terang adalah berkenaan kisah 3 orang wanita yang dikutuk dan dicela Allah swt, melakukan kemungkaran yang tidak boleh dimaafkan. Siapakah 3 wanita itu?

1. Wahilah/Wafilah

kisah banjir besar nabi nuh

Nabi Nuh as. merupakan Rasul ketiga selepas tamatnya zaman Nabi Adam as. serta Nabi Idris as. dan isterinya pula, walaupun tidak disebutkan namanya di dalam kitab suci al-Quran; dikatakan wanita bernama Wahilah atau Wafilah.Ini berdasarkan kepada tafsiran kitab Tafsir al-Jalalain, kitab tafsir yang ditulis oleh Jala ad-Din al-Mahalli dan anak muridnya, Jalal ad-Din as-Suyuti sekitar awal abad ke 16.

Walaupun bersuamikan seorang lelaki yang diangkat menjadi utusan Allah swt. di muka bumi, malangnya Wahilah sekadar berlakonkononnya turut sama berpegang dengan ajaran suaminya. Selama lebih 950 tahun Nabi Nuh as. berdakwah mengajak umat beliau ke jalan yang betul, tidak ramai yang mahu mempercayai kata-katanya.

Termasuklah Wahilah sendiri.

Ada pendapat mengatakan Wahilah bukan sahaja tidak mempercayai secara rahsia, malahan turut sama mengajak orang ramai memboikot usaha Nabi Nuh as, memujuk mereka yang tertarik untuk tidak mempercayai kata-kata suaminya sendiri sehingga sanggup mengatakan suami sendiri sudah gila. Perkara-perkara yang sepatutnya menjadi bualan hanya antara pasangan suami dan isteri juga dihebohkan, sebagai usaha Wahilah mahu merendahkan darjat Nabi Nuh as.

Selepas mendapat perintah Allah swt. bagi membina bahtera menyelamatkan pengikutnya yang nyata tidak ramai, Nabi Nuh as. dikatakan tetap cuba memujuk isterinya namun usaha Baginda gagal. Atas perbuatannya itu, Wahilah dicerca Allah swt. sendiri, disifatkan sama seperti seorang kafir walaupun bersuamikan seorang utusan Allah swt. di muka bumi.

2. Wa'ilah

kajian tentang kedudukan sebenar kaum sadum

Wa'ilah adalah nama kepada isteri Nabi Luth as., Rasul Allah yang diutuskan kepada kaum Sadum, kaum yang mengamalkan cara hidup homoseksual atau dalam bahasa Melayu; kaum yang gemar bersemburit. Malangnya, kaum Sadum ini bukan setakat gemar bersemburit - yang wanitanya pun turut sama gemarkan wanita lain.

Daripada zaman Nabi Adam as. sehinggalah tiba zaman Nabi Luth as., kaum Sadum inilah kaum yang dinobatkan sebagai bangsa pertama manusia yang berani mendatangi kaum sejenis. Bukan setakat itu saja, sama seperti sesetengah kelompok LGBT zaman sekarang, ada juga di kalangan mereka yang tak segan silu memakai pakaian yang berlawanan dengan jantina asal mereka.

Usaha dakwah yang dilakukan Nabi Luth as. tidak berjaya, malahan Nabi Luth as. sendiri ditempelak balik, dicabar supaya berdoa untuk diturunkan azab pada mereka. Merasa sedih melihat reaksi kaumnya sendiri, Nabi Luth berdoa supaya petunjuk dapat diberikan kepada mereka. Allah swt. mengutuskan malaikat Jibrail, Mikail dan Israfil untuk bertemu dengan Nabi Luth as, dalam rupa paras menyerupai lelaki kacak.

Selepas menjemput ketiga-tiga lelaki itu ke rumahnya secara sembunyi, kerana Baginda dilarang daripada menerima tetamu di rumah serta takut kehadiran lelaki-lelaki kacak itu oleh kaumnya yang bernafsu binatang; Wa'ilah yang bertanggungjawab melindungi rahsia Nabi Luth as. menyelinap keluar memberitahu tentang kumpulan lelaki kacak itu ada di rumah mereka.

Pengkhianatan Wa'ilah ini merupakan satu perkara terkutuk yang membuktikan dirinya tidak lagi dapat melindungi hal-hal rumahtangga mereka berdua, menderhakai suami seterusnya meletakkan dia dalam kelompok penghuni neraka.

3. Arwa binti Harb

gambaran mekah zaman dulu

Sekiranya dua wanita di atas mempunyai status sebagai isteri kepada seorang Rasul, Arwa binti Harb atau turut sama dikenali dengan nama Ummu Jamil merupakan makcik kepada Nabi Muhammad saw.

Apa yang membezakan Arwa berbanding Wahilah dan Wa'ilah adalah Arwa adalah satu-satunya wanita yang sanggup melakukan kecederaan fizikal pada anak saudaranya sendiri.

Arwa adalah anak kepada Harb bin Umayya, ketua orang-orang Mekah serta adik kepada Abu Sufyan, salah seorang penentang kuat ajaran Islam sebelum abangnya menerima Islam sepenuh hati.

Apa yang lebih penting, hidup Arwa sangat dipengaruhi suaminya, nama yang sangat terkenal di kalangan umat Islam iaitu Abu Lahab; pakcik saudara Rasulullah saw. Atas perkahwinan mereka berdualah, Arwa mendapat status sebagai makcik kepada Nabi Muhammad saw.

Suaminya terkenal sebagai salah seorang penentang Islam paling kuat dan Arwa turut sama menyokong perjuangan suaminya melalui pelbagai cara. Dia akan bertindak meletakkan duri-duri di sepanjang laluan yang diketahui kerap digunakan Rasulullah saw. untuk menyakiti anak saudaranya itu. Bohong dan fitnah sudah jadi makanan ruji dia dalam usaha merendahkan martabat anak saudaranya.

Kemuncak kebencian Arwa kepada Rasulullah saw. berlaku selepas turunnya surah al-Masad yang secara terbuka menyebut nama suaminya, ekoran daripada tindakan Abu Lahab mencerca dan mengeji Nabi Muhammad saw. secara terbuka. Dalam firman Allah swt. yang meletakkan mereka suami isteri sebagai penghuni neraka, Arwa dinamakan sebagai 'pembawa kayu bakar'.

Secara metaforanya, istilah itu boleh membawa maksud kehidupan Arwa di dunia bergelumang dengan fitnah dan fitnahnya menyebabkan masyarakat berpecah-belah. Ada pendapat lain mengambil nama jolokan itu sebagai petanda Arwa sendiri akan membawa kayu di neraka bagi membakar suaminya.

Mengetahui dirinya dicerca sedemikian rupa, Arwa mengumpul beberapa biji batu untuk dilontarkan pada Rasulullah saw. Setelah tiba di kawasan di mana Rasulullah berada, Arwa mendapati hanya Abu Bakar, salah seorang sahabat Baginda ada di situ. Arwa berpesan kepada Abu Bakar supaya mengingatkan Nabi Muhammad perlu berhati-hati sekiranya bertemu dengannya - kerana dengan batu-batu ini, dia akan memecahkan mulut Rasulullah saw.Dia tidak tahu Rasulullah saw. ada di situ di sebelah Abu Bakar ekoran pandangannya ditutup oleh Allah Yang Maha Kuasa.



Hakcipta iluminasi.com (2017)