Oleh pada 08 Jul 2018 kategori

Kredit foto: Harian Metro

"Saya tak pernah terima gaji sepatutnya sejak mula bekerja seperti tertera dalam kontrak. Kerja turut melangkaui bidang tugas dipersetujui tanpa ada tambahan elaun lain seperti ditetapkan dalam Akta dan Peraturan Perburuhan," kata Pengurus Besar DBI Entertainment, Liyana Zulkifli atau Becky.

Becky berkata sebagai menjelaskan perletakan jawatannya di syarikat itu berkuatkuasa 12 Julai ini kerana gaji yang tidak dilangsaikan majikannya, Datuk Noruliman A Rahman atau Boy Iman.

Menurut Becky, sampai hari ini, jumlah gaji yang belum dibayar berjumlah hingga belasan ribu ringgit.

"Paling mengecewakan pembayaran gaji tak pernah menepati tarikh ditetapkan.

"Saya menuntut dia melunaskan gaji berjumlah RM17,200 kerana ia wang titik peluh saya bekerja selama ini,”€ katanya kepada Harian Metro.

Malangnya, Becky yang menyertai syarikat terbabit sejak Oktober 2017, melalui kesengsaraan sepanjang tempoh khidmatnya, hingga ke tahap terpaksa meminjam wang daripada orang lain.

“Ada beberapa kali saya tak dapat hadir bekerja kerana tiada wang langsung dalam tangan. Tuntutan kerja lebih masa tak pernah dibayar.

“Saya berharap pihak terbabit dapat menyelesaikan gaji saya sebelum 10 Julai ini. Sekiranya gagal berbuat demikian, saya akan mengambil tindakan undang-undang.

“Selama ini saya bersabar biarpun dikutuk Boy Iman apabila dikatakan meroyan kerana minta gaji sendiri. Saya dibuli untuk bekerja sehingga mengalami tekanan perasaan,” katanya.

Becky yang enggan mendapat nasib sama seperti pekerja lain yang sudah meninggalkan syarikat, nekad bertahan dengan harapan Boy Iman dapat menjelaskan bayarannya.

“Tapi saya tetap hampa kerana dia seolah-olah tak mempedulikan nasib saya,” katanya.

Antara peranan yang dijalankan Becky sepanjang tempoh perkhidmatan termasuk menguruskan pementasan teater Kontena 404 yang berlangsung di Istana Budaya serta filem Blok 404 yang sedang ditayangkan di pawagam.

Dalam pada itu, Boy Iman dalam kenyataan balas, tidak menafikan dakwaan pekerjanya itu, namun terkilan apabila isu itu diwar-warkan kepada umum.

“Saya tahu perkara ini dan ia bersifat hal dalaman. Becky memang setia dengan kami dan beraya dengan keluarga saya pada Aidilfitri.

“Apabila saya ditangkap sebelum ini, syarikat kelam kabut kerana orang dah tak percaya dan tiada jualan yang dibuat.

“Saya akui apabila akaun syarikat dibekukan, saya berdepan masalah membayar gaji pekerja. Gaji Becky dibayar tapi bukanlah secara penuh,” katanya.

Namun Boy Iman mempersoalkan tindakan Becky yang tiba-tiba berubah fikiran walhal sekian lama wanita itu sanggup bertahan dengan masalah syarikat.

“Becky sudah lebih setahun bersama syarikat terbabit dan dah dianggap seperti saudara. Saya berlapang dada terima keputusannya dan ucapkan selamat maju jaya kepadanya.

“Berkenaan gaji, saya mengakui tengah susah sekarang tapi berjanji akan bayar kepadanya seperti tempoh yang ditetapkan. Saya tak nak bergaduh. Saya harap dia memahami masalah dihadapi,” katanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)