Oleh pada 10 Apr 2020 kategori

shahir zawawi

     

Penyanyi Shahir Zawawi berasa kesal dengan layanan segelintir petugas hospital yang menghalangnya daripada berjumpa dengan doktor.

Shahir berkata, dia yang mengalami demam selama dua hari, terpaksa melalui dua sekatan jalan raya pada jam 2 pagi semata-mata untuk mendapatkan pemeriksaan di sebuah hospital di Shah Alam.

"Saya bertanggungjawab datang seorang diri dari rumah sebab saya sudah tak tahan demam sudah 2 hari.

"Kalau bukan kecemasan saya takkan datang. Saya nak minta KKM berrtanggungjawab sebab diarahkan balik dan perlu ke klinik kesihatan pagi esok.

"Sepanjang perjalanan saya hampir muntah, nak pitam dan hampir kemalangan. Saya datang sebab saya betul-betul sakit sebab itu saya datang.

"Kalau demam itukan simptom Covid-19, saya duduk sendirian kalau apa-apa jadi saya tak sedarkan diri siapa yang tolong?" katanya dalam rakaman video yang dikongsi di Instagram.

    

shahir af

Kredit foto: Youtube Khairul Amri Hassan

   

Ia menyaksikan bekas juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan itu sedang berada di perkarangan unit kecemasan hospital, namun diarahkan pulang oleh petugas yang menjaga pintu utama.

Tidak hanya itu, penyanyi itu turut ditegah daripada melakukan sebarang bentuk rakaman visual.

Dalam pada itu, Shahir berkata, dirinya tidak berniat untuk memburukkan mana-mana pihak, sebaliknya kenyataan yang dibuat sebagai mewakili individu lain yang turut menerima nasib sama.

"Minta maaf saya tak nak burukkan sesiapa tapi saya kecewa dengan layanan sebegini. Saya tak nak datang jumpa orang depan suruh balik. Saya minta tolonglah...

"Saya tak tahu apa masalah dia. Saya nak kena rekod untuk bukti.

"Kalau saya seorang kena macam ni saya takut orang lain pun kena sama," ulasnya.

Tambahnya, dia terlebih dahulu membeli ubat dari farmasi selepas menyedari gangguan kesihatan yang dihidapi.

"Saya sebenarnya sudah 2 hari demam, makan enam biji Panadol Actifast dan 3 biji ibuprofen.

"Malam ini saya rasa badan terlalu panas dan tak boleh tidur, jadi saya paksa diri keluar sebab saya takut tak sedar esok.

"Saya tak diizinkan langsung jumpa doktor. Saya datang sebab betul-betul sakit. Saya datang serah diri, tak boleh ke tolong periksa saya?

"Takkan tak ada sedikit tolak ansur, jadi saya minta tolonglah ambil berat kepada insan yang memerlukan," katanya.

Sekali lagi beliau menegaskan perhatian yang diminta tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan soal publisiti.

"Saya minta maaf terlebih dahulu kalau ada yang tersinggung, apa saya buat bukan nak cari publisiti.

"Saya terpanggil buat sebab takut ramai lagi di luar sana perlukan bantuan perubatan tetapi dilayan sebegini," katanya.

Rata-rata netizen tampil memberikan pelbagai maklum balas, termasuk ada yang mempersoalkan tindakannya membuat rakaman di ruang kecemasan hospital.

    

Baca: Selepas Isu Demam 'Dihalau' Dari Hospital, Ini Perkembangan Terkini Shahir

     

Kredit video: Shahir Kena Halau Dari Hospital Walaupun Sudah 3 Hari Demam!

    

Sumber berita: [VIDEO] 3 Hari Demam, Shahir Dihalang Jumpa Doktor... "Saya Ke Hospital Pukul 2 Pagi Sampai Hampir Kemalangan Tapi ..."

    



Hakcipta iluminasi.com (2017)