Oleh pada 15 Sep 2017 kategori

Kredit foto: BH Online

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman mendedahkan kebakaran di pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung bukanlah disebabkan litar pintas seperti yang didakwa sebelum ini.

Jelasnya, Unit Forensik dan Suruhanjaya Tenaga yang menjalankan siasatan mendapati litar elektrik pada suis utama bangunan pusat tahfiz itu berada dalam keadaan baik.

Menguatkan lagi penafian adalah keterangan daripada mangsa terselamat yang mendedahkan punca kebakaran yang bermula dari luar pintu asrama.

Kita dapati cara api merebak agak pelik dan luar daripada kebiasaan dengan kadar api merebak adalah sangat cepat dan besar. Biasanya, jika disebabkan litar pintas, kotak fius utama akan 'tendang' dan ambil masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk api marak dan merebak. Berdasarkan maklumat mangsa yang selamat (saksi), kebakaran itu bermula dari luar bahagian pintu asrama itu yang menyebabkan mereka terperangkap. Tambahan pula ada dua tong gas di situ yang mungkin menjadi punca api lagi besar dan cepat merebak.
Sumber: Astro Gempak

Khirudin ditemui di lokasi kejadian semalam.

Terdahulu, kebakaran di pusat tahfiz itu mengorbankan 21 pelajar dan dua guru yang juga bertugas sebagai warden. 

Dalam pada itu, Khirudin berkata, dia mengesyaki ada punca lain dari luar bangunan yang mengakibatkan kebakaran.

Sehubungan dengan itu, siasatan lanjut menggunakan ujian makmal sedang dijalankan oleh pihak terbabit.

Biasanya kalau api bermula dari bahagian dalam, bilangan yang terkorban tidak ramai kerana mereka masih boleh keluar. Saksi beritahu mereka berusaha nak keluar tetapi api dah marak di luar pintu, sebab itu mereka terperangkap.
Sumber: Astro Gempak 



Hakcipta iluminasi.com (2017)