Oleh pada 17 Sep 2017 kategori

Kredit foto: Utusan Online

Perbuatan khianat didapati menjadi punca sebenar insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, hasil siasatan awal polis mendedahkan motif kejadian disebabkan suspek berang diejek oleh beberapa pelajar di pusat tahfiz itu.

Niat mereka (suspek) adalah untuk membakar tetapi disebabkan umur mereka yang masih muda, mereka tidak mengetahui akibat daripada tindakan mereka itu.
Sumber: Astro Awani

Amar Singh membuat kenyataan tersebut di sidang media khas yang berlangsung semalam.

Dalam pada itu, suspek yang ditahan seramai tujuh orang adalah di kalangan usia 11 hingga 18 tahun.

Selain dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah, majoriti didapati mengambil dadah jenis ganja.

Ujian saringan air kencing mendapati enam daripada suspek tersebut didapati positif dadah jenis ganja. Selain itu, dua daripada kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berhubung merusuh dan mencuri kenderaan.
Sumber: Astro Awani

Antara barang suspek yang berjaya dirampas adalah lima helai baju dan seluar, empat topi keledar, tiga buah motosikal dan tiga telefon bimbit.

Sementara itu, suspek yang ditahan akan direman sehingga 22 September ini, iaitu dalam tempoh tujuh hari.

Jelas Amar Singh, mereka meletakkan kepercayaan bahawa kes itu sudah selesai susulan penahanan tujuh suspek terlibat.

Namun, kami tetap berfikiran terbuka ketika meneliti bahan bukti dan kenyataan hasil siasatan.
Sumber: Astro Awani

Mengulas mengenai penemuan dua tong gas di kawasan pusat tahfiz itu, Amar Singh memberitahu pihaknya boleh mengesahkan tong gas diletakkan di tingkat atas pusat tahfiz untuk membantu proses pembakaran.

Kami boleh mengesahkan bahawa satu bahan pembakaran berasaskan hidrokarbon digunakan bagi mempercepatkan pembakaran.
Sumber: Astro Awani 



Hakcipta iluminasi.com (2017)