Kredit foto: Mstar & Instagram Karl Shafek
Pengacara dan pelakon Karl Shafek akui tidak sangka menjadi antara yang terperangkap di dalam pusat beli-belah Mid Valley sewaktu kebakaran yang berlaku pada malam Sabtu lalu.
Aktor berusia 37 tahun itu juga tidak tahu siren kecemasan yang dilaungkan tanpa henti kira-kira jam 7 petang itu adalah amaran kebakaran yang menuntut para pengunjung meninggalkan bangunan.
Sejurus sedar, dia menyiapkan urusannya di sebuah kedai pakaian dengan segera sebelum bergegas keluar.
"Ingatkan fire drill, tapi pelik pula kalau pengurusan buat fire drill ketika hujung minggu dan ramai pengunjung.
"Siren itu dibunyikan agak lama dan saya lihat semua premis menutup kedai tergesa-gesa dan meminta pengunjung untuk keluar dari bangunan.
"Malah, pengumuman juga dibuat dalam keadaan panik.
"Lantas, saya menyegerakan urusan di sebuah butik pakaian di tingkat lima Mid Valley ketika itu dan berlari keluar daripada bangunan. Semua orang tergesa-gesa bertempiaran mencari jalan keluar ketika itu," katanya menurut laporan portal Astro Gempak.
Karl mengulas mengenai kejadian kebakaran kecil di pusat beli-belah Mid Valley yang berpunca daripada sebuah kedai serbaneka yang terletak di aras LG.
Dalam pada itu, pengacara itu akui berasa panik menghadapi situasi cemas berkenaan.
Ini kerana Karl tidak pernah mengalami peristiwa seumpamanya sebelum ini.
"Saya sendiri pun blur tiba-tiba. Mungkin sebab tak pernah lalui situasi sebegini.
"Dalam kepala saya hanya mahu keluar daripada bangunan kerana risau kebakaran menjadi lebih buruk. Memang takut dan panik!" katanya lagi.
Akhirnya dia berjaya keluar menerusi pintu tengah, seterusnya meninggalkan premis tersebut sebelum pihak bomba menyusul datang sekitar jam 7.30 petang.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Sumber berita: Astro Gempak