Oleh pada 15 Sep 2017 kategori

Tragedi pusat tahfiz terbakar sehingga mengakibatkan kematian pelajar dan guru yang baru berlaku, bukanlah insiden pertama yang membabitkan kejadian serupa. Pada tahun 1989, berlaku kebakaran di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Khairiah Al-Halimiah di Yan, Kedah yang mengorbankan 27 nyawa.

Pelbagai perbincangan pada waktu itu telah dilakukan bagi mengenal pasti pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dalam insiden sehinggakan ada cadangan untuk mewujudkan Suruhanjaya Siasatan di-Raja bagi mengenalpasti punca.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun isu hangat itu akhirnya lenyap di telan zaman sehingga muncul kembali semalam selepas kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat yang mengorbankan 22 nyawa.

Mengapa ini kerap berlaku?

tahfiz terbakar rosak

Sudah dimaklumkan oleh pihak-pihak berkuasa yang pihak pengurusan pusat tahfiz sebenarnya tidak mempunyai sijil layak menduduki (CF) dan juga sijil keselamatan kebakaran (FC) daripada pihak bomba. Selain itu pusat tahfiz itu juga didapati melanggar beberapa syarat lain berkaitan premis asrama dan sekolah yang pelbagai.

Yang menyedihkan, dilaporkan Pusat Tahfiz itu sebenarnya tinggal di sana secara sementara bagi menunggu bangunan baru pusat mereka dibuka, hujung bulan ini.

Persoalannya, adakah boleh masyarakat menuding jari menyalahkan pihak pengurusan pusat tahfiz semata-mata?

Yuran percuma?

tahfiz terbakar selangor

Walaupun banyak pusat-pusat tahfiz berkelayakan dibuka, tetapi masih banyak pusat tahfiz yang dibuka tanpa berdaftar dengan kerajaan dan tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, sebelum dibuka. Mengapa perkara ini berlaku?

Kebanyakan pusat-pusat tahfiz yang dibuka ini sebenarnya dilihat terpaksa mengambil jalan-jalan pintas untuk terus beroperasi atas kekangan kewangan. Untuk memenuhi pelbagai syarat yang ditetapkan, peruntukan kewangan yang agak besar diperlukan bagi mengubah suai fasiliti dan bangunan sedia ada, untuk mendapatkan kelulusan pihak Jabatan Bomba.

Jika anda semua belum sedia maklum, sepanjang operasi mereka selama 15 tahun, Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah langsung tidak mengenakan sebarang bentuk yuran dan hanya banyak bergantung dengan penajaan penaung, derma orang ramai serta bantuan MAIWP. Selain itu, rasa ingin membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan juga sedikit sebanyak mendorong pusat-pusat tahfiz 'tidak berkelayakan' ini untuk terus menjalankan operasi mereka.

Perubahan mentaliti masyarakat

sekolah kuala ibai terbakar

Banyak komen-komen kurang enak kedengaran setiap kali berbicara tentang sebarang insititusi berteraskan Islam di negara kita, ditambah lagi dengan mentaliti masyarakat yang kurang gemar yuran tinggi dikenakan pada sebarang bentuk aktiviti bercorak Islam.

Kita semua tahu ada pihak tahfiz yang mampu menyediakan fasiliti terbaik pada pelajar mereka namun lebih banyak yang tidak mampu, sehingga memaksa pihak sekolah memohon agar guru, kakitangan dan anak-anak pelajar sendiri mengutip derma di merata-rata tempat. Itu adalah satu pemandangan biasa yang kita nampak.

Apa yang perlu kita ubah adalah stigma kita pada institusi Islam ini yang sebenarnya amat-amat daif dan berada dalam kondisi buruk tanpa penambahbaikan. Kekangan kewangan pusat-pusat ini membuatkan pengurusan pusat terpaksa menjalankan operasi dalam keadaan berisiko yang boleh mengulangi insiden-insiden buruk yang kerap berlaku.

Memenuhi keperluan pusat tahfiz

kebakaran tahfiz api marak

Langkah kerajaaan untuk memperkenalkan Dasar Tahfiz Negara yang kini masih dalam peringkat perbincangan adalah langkah terbaik yang memerlukan masa bagi pelaksanaannya. Dalam tempoh itu, pelajar-pelajar ini masih lagi memerlukan tempat dan pengurusan sekolah masih lagi perlu meneruskan operasi.

Kita boleh memberikan kritikan dan tohmahan terhadap kesilapan yang berlaku tetapi akhirnya nanti, apa yang berubah? Faktor utamanya di sini adalah masalah kewangan yang kerap melanda kerana pusat-pusat tahfiz tidak berdaftar ini hanya mengenakan jumlah yuran yang sangat minima atau percuma, yang tidak mungkin dapat digunakan bagi memperbaiki fasiliti.

Buat sementara ini, masyarakat kita perlu menyedari bantuan kewangan adalah satu-satunya jalan untuk memastikan nasib pusat-pusat tahfiz dan sekolah-sekolah agama Islam ini terbela. Dengan mencontohi masyarakat Cina yang ada kalanya dipaksa untuk menyumbang kepada pembangunan sekolah di dalam komuniti mereka sehingga lengkap kemudahan sekolah mereka, tanpa bantuan penuh kerajaan, masyarakat Islam Malaysia juga sepatutnya perlu mempunyai kesedaran pentingnya wang tunai disalur kepada mereka.

Lawatlah Pusat-Pusat Tahfiz di sekeliling anda

tiga beradik full 02

Jika anda bertuah tinggal di kawasan yang ada pusat tahfiz atau madrasah di sekelilingnya, pasti anda akan dapat melihat pelajar-pelajar mereka memenuhi surau atau masjid. Majoriti antara mereka mempunyai wajah yang cerah dan cukup ceria jika dibandingkan dengan keadaan tempat mereka tinggal dan belajar.

Pergilah melawat tempat mereka, saksikan sendiri bagaimana pusat-pusat tahfiz kampung ini berjaya mendidik anak-anak ini menghafaz al-Quran sambil mempelajari pelbagai ilmu lain dengan kadar yuran yang tak munasabah.

Masyarakat kita perlu buang stigma buruk terhadap pusat-pusat ini kerana tanpa mereka satu hari nanti, mungkin minima benar jumlah rakyat kita yang mampu mengingati al-Quran. Kesedaran kepada keselamatan fasiliti mereka itu bagus, tetapi kesedaran sahaja tidak akan membawa kepada apa-apa perubahan.

Ringankan beban yang mereka tanggung kerana dalam dunia yang semua perkara memerlukan wang, pusat-pusat tahfiz inilah yang menawarkan perkhidmatan secara percuma.




Hakcipta iluminasi.com (2017)