Kredit foto: Yahoo News
Kebakaran hutan yang mengerikan berlaku di Los Angeles, Amerika Syarikat mengakibatkan beberapa selebriti terkemuka Hollywood terpaksa angkat kaki meninggalkan kediaman mewah masing-masing!
Antara yang terlibat termasuk nama-nama besar seperti penyanyi Paris Hilton dan Lionel Richie dan bintang siri muzikal Glee, Lea Michele.
Paris Hilton menerusi laman Twitternya berkongsi video kebakaran besar yang berlaku, dan dalam masa sama merakamkan penghargaan buat anggota bomba yang sanggup merisikokan nyawa semata-mata untuk menyelamatkan mereka.
"Kebakaran ini sangat dahsyat! Rumah saya terpaksa dikosongkan dan haiwan kesayangan saya telah diselamatkan," tulisnya.
Kredit foto: Twitter Paris Hilton
Dalam pada itu, Lea Michele pula mengemaskini laman mikro itu dengan mendedahkan dia tidak habis berkemas kerana terburu-buru meninggalkan rumah.
Di kesempatan yang sama, beliau merakamkan penghargaan kepada rakan-rakannya yang bermurah hati menumpangkannya bermalam di kediaman mereka.
"Moga-moga semuanya yang berada di Los Angeles selamat. Hanya sempat menyelamatkan barang-barang tersayang sahaja," dedah Lea.
Kredit foto: Twitter Lea Michele
Manakala Lionel Richie pula membatalkan persembahan pentas di saat-saat akhir kerana terpaksa 'turun padang' membantu ahli keluarganya berpindah.
Enggan mengecewakan peminat, dia berjanji akan kembali ke pertunjukan pada hujung minggu ini.
"Oleh kerana kebakaran hutan di California dan perlu membantu keluarga saya menyelamatkan diri dan harta benda, saya terpaksa membatalkan persembahan saya malam ini," tulisnya dalam tweet itu.
Kredit foto: Twitter Lionel Richie
Sumber berita: Astro Gempak & E! Online