Walaupun lokasinya yang lebih berhampiran dengan Indonesia, wilayah Christmas Island bukan di bawah pemerintahan kerajaan berkenaan, sebaliknya Australia yang mempunyai kuasa terhadap pulau terbabit. Kaya dengan sejarahnya tersendiri, pulau ini menyimpan 1001 rahsia. Paling menarik, Christmas Island adalah saksi kepada sebuah fenomena yang jarang dapat kita lihat.
BESARKAN TEKS A- A+
Fenomena Penghijrahan Ketam Merah di Christmas Island, Australia
Setiap tahun, segerombolan ketam merah akan bergerak daripada tengah pulau ke laut untuk mengawan. Bermula sekitar lewat Oktober hingga awal Disember, ketika musim hujan, populasi ketam merah jantan di pulau berkenaan akan mula berarak. Mereka akan sampai dahulu ke pantai dan memulakan kerja menggali lubang bagi tujuan mengawan.
Ketam merah betina hanya akan sampai beberapa hari kemudian dan jumlah mereka adalah jauh lebih besar berbanding ketam jantan. Perhentian pertama untuk kedua-dua jantina ini adalah di pantai, di mana mereka perlu mengekalkan kelembapan badan/kulit pada suatu tahap.
Setiap lubang yang telah digali akan dihuni dan dijaga oleh ketam jantan sehinggalah ketam betina sampai. Proses mengawan mengambil masa beberapa gari, sebelum ketam jantan pulang ke pedalaman pulau meninggalkan ketam betina di dalam lubang sehingga sampai masa untuk melepaskan telur-telur ke laut, pada ketika air pasang bulan suku akhir tahun.
Sekiranya sesuatu mengganggu ketika proses mengawan sedang berlaku, kedua-dua ketam jantan dan betina akan kembali ke tengah pulau, dan hanya akan mencuba lagi pada bulan lunar seterusnya. Sekiranya proses berjaya, telur akan terhasil. Telur-telur ini, selepas dilepaskan ke laut, akan melalui beberapa kitaran perkembangan.
Bagi telur yang terselamat daripada menjadi makanan ikan pari kola (manta rays) dan ikan yu, mereka akan kembali ke pesisir pantai selepas kira-kira sebulan, dan akan memulakan perjalanan sendiri ke tengah pulau. Apabila sudah matang dan dewasa, dalam tempoh 4 ke 5 tahun usia, mereka akan bersama menyertai ketam-ketam lain dalam penghijrahan ke pantai.
Ketam merah ini terkenal dengan penghijrahan mereka ke pesisiran pantai. Cangkerang merah mereka yang bersinar ketika membuat pusingan di jalan, titi dan hutan menarik perhatian ramai. Kini, Christmas Island telah menjadi sebuah destinasi pelancongan bagi mereka yang bijak merancang waktu perjalanan percutian mereka.
Christmas Island dikatakan mempunyai populasi manusia seramai 1,500 orang, dan populasi ketam merah sekitar 45 juta, yang terdiri daripada satu spesis sahaja, daripada berbelas spesis yang ada di bumi. Bagi mereka yang pernah menyaksikan fenomena perpindahan itu, perkara pertama yang menarik perhatian mereka adalah bunyi 'klik' dan cakaran ketam tersebut di atas jalan. Ketam merah mempunyai saiz sebesar genggaman tangan manusia dewasa.
Usaha Penduduk Tempatan Melindungi Ketam Merah
Sejak akhir-akhir ini, penduduk tempatan yang hidup di samping ketam di Christmas Island mula menyumbang dalam memastikan penghijrahan ketam berjalan lancar. Mereka telah membina sebuah halangan di sepanjang 21 kilometer jalan raya pulau tersebut dan turut membina 31 terowong ketam bagi mengelakkan mereka dilanggar kereta.
Usaha mereka sebenarnya bukan sahaja melindungi ketam, malah turut membantu pemandu mengelak daripada melanggar ketam bercangkerang keras dan tajam yang berupaya menyebabkan tayar mereka pancit. Selain itu, mereka turut membina sebuah jambatan ketam sepanjang 5 meter, satu-satunya di dunia, bagi membimbing ketam melalui jalan yang selamat untuk ke pantai.
Kerajaan juga turut menyumbang dalam usaha berkenaan dengan meletakkan tanda-tanda amaran kepada penduduk dan pelancong untuk berhati-hati dengan kewujudan ketam di sana. Apabila diperlukan, kebanyakan jalan raya di pulau itu akan ditutup bagi memastikan ketam-ketam merah melintasi jalan dengan selamat.
Ketam Merah Kini Diancam Koloni Semut
Ketam ini tidak mempunyai pemangsa semula jadi di pulau berkenaan, namun seekor spesis semut penceroboh kini dilihat sebagai ancaman besar kepada populasi ketam. Semut yang dinamakan sebagai 'yellow crazy ant' ini jumlahnya berlipat kali ganda melebihi ketam merah, dan sebenarnya diperkenalkan oleh manusia yang melalui pulau berkenaan untuk ke Afrika, sekitar tahun 1915 hingga 1934.
Koloni semut yang ramai telah mengancam ekosistem di Christmas Island, kerana semut tersebut bukan sahaja menyerang dan memakan anak ketam kecil yang dalam perjalanan meninggalkan pantai, mereka turut meracun ketam dewasa dengan menyembur asid formik pada mata dan bahagian sambungan kaki ketam.
Terdapat beberapa langkah sedang diambil bagi mengurangkan populasi semut gila ini, dan walaupun ketam merah bukanlah sedang diambang kepupusan, namun ekosistem pulau tersebut harus dijaga bagi memastikan kelansungan semua spesis termasuklah ketam merah dan semut itu sendiri.
Indah kan ciptaan Tuhan!
ESKTRA - Video & Gambar Tambahan
Rujukan & Bacaan Tambahan: