Oleh pada 15 Jul 2019 kategori

Demam muzik Indonesia pernah melanda negara kita, menterbalikkan apa yang berlaku di negara mereka sekitar tahun 90-an di mana pemuzik Malaysia sangat diterima di republik tersebut.

Ekoran daripada populariti kugiran Indonesia yang masuk, pelbagai jenis kontroversi timbul seperti masalah pihak media yang lebih gemar memaparkan artis seberang serta penurunan hasil karya tempatan ekoran permintaan yang menurun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun begitu, kedatangan band Indonesia benar-benar membawakan kesegaran yang belum ada dalam industri muzik kita sebelum itu, di mana kugiran-kugiran ini berjaya membawakan lagu bermelodi moden dengan penggunaan Bahasa Melayu/Indonesia yang dekat dengan kita. Oleh kerana itulah lima kumpulan rock ini, pada penulis dianggap paling melekat di hati peminat muzik Malaysia.

1. Nidji

kumpulan nidji

Kumpulan Nidji merupakan antara kugiran yang memasuki fasa terakhir gelombang muzik rock Indonesia, membawakan irama mirip lagu rock Britain yang lebih ringkas serta lebih bersahaja.

Dikenali sebagai 'raja kepada lagu runut bunyi' di negara asal mereka, kumpulan Nidji mula terkenal dengan lagu 'Hapus Aku' yang terhasil dalam album sulung mereka yang keluar pada tahun 2006.

Pada tahun 2017, kumpulan ini mengumumkan mereka bakal mempersembahkan konsert terakhir di Malaysia yang berlangsung pada 2 Disember 2017. Pada waktu tersebut tidak diketahui apa sebabnya tetapi besar kemungkinan pengumuman itu sebenarnya berpunca daripada keputusan vokalis asal kumpulan Nidji, Giring Ganesha yang mahu menyertai politik sepenuh masa. Kumpulan Nidji masih aktif ketika ini, mengumumkan vokalis baru mereka Yusuf Ubay, seorang pemuda berusia 22 tahun pada bulan Februari tahun 2019.

2. Dewa/Dewa 19

kumpulan dewa

Berasal dari Surabaya, Jawa - kumpulan Dewa cukup terkenal kerana menampilkan dua nama yang cukup ikonik dalam industri hiburan Indonesia iaitu vokalis Ari Lasso yang kerap berdepan cabaran dalam hidupnya serta Ahmad Dhani, gitaris kumpulan Dewa yang terkenal dengan mulut celupar.

Walaupun Dewa sudah mula menghasilkan muzik sejak tahun 1992, mereka mula terkenal di Malaysia dengan album kelima mereka iaitu 'Bintang Lima' yang mempertaruhkan lagu 'Roman Picisan' dan lagu berhantu 'Separuh Nafas.'

Lagu-lagu Dewa kerap kali memaparkan gabungan elemen klasikal, hard rock serta sentuhan orkestra yang menjadikannya berlapis-lapis, membawakan tekstur yang matang serta unik dengan penggunaan istilah yang cantik bunyinya. Secara rasmi ketika ini, Dewa masih ada cuma setiap anggota kumpulan ini sibuk dengan hal sendiri.

Berbeza dengan hidup Ari Lasso yang tampak lebih bahagia kini, Ahmad Dhani yang gemar memberikan pandangan terhadap politik Indonesia memberikan kesan pada hidupnya. Selepas dipenjarakan kerana menghina penyokong Gabenor Jakarta, Basuki Purnama - dia didapati bersalah dan dikenakan penjara setahun 6 bulan. Selepas dibebaskan, Ahmad Dhani sekali lagi dipenjarakan selama setahun kerana mengkritik seteru politik - bermula 11 Jun 2019.

3. Peterpan

noah peterpan

Sebut saja nama Peter Pan, pasti ramai yang akan tersenyum sinis dengan kontroversi yang melanda vokalis kumpulan ini iaitu Ariel atau nama sebenarnya Nazril Irham. Bagaimanapun, demam Peter Pan yang melanda negara kita merupakan sesuatu yang layak kita katakan fenomena.

Faktor terbesar, album kedua mereka yang meletupkan nama kumpulan ini - 'Bintang di Surga' (2004) merupakan sebuah album yang padat dengan lagu hits dari mula hingga tamat. Penulis sendiri sampai naik muak mendengar lagu 'Mungkin Nanti' dinyanyikan orang kita.

Selepas vokalisnya dibebaskan, pada tahun 2012 kugiran Peterpan dijenamakan semula sebagai Noah berjaya mengekalkan momentum mereka. Album 'Seperti Seharusnya' yang diterbitkan pada tahun 2012 menjadi album keenam terlaris di Indonesia sepanjang zaman, menyertai 'Bintang di Surga' yang berada pada kedudukan ketiga.

4. Sheila on 7

sheila on 7

Di antara kesemua kugiran yang kami senaraikan ini, rasanya Sheila on 7 merupakan kugiran yang paling dikenali ramai. Walaupun vokalis kumpulan ini Duta lebih dikenali kerana wajahnya yang manis dan digilai ramai gadis Malaysia satu ketika dulu, tulang belakang kugiran ini adalah Eross Candra, pemain gitar Sheila on 7 yang menulis kebanyakan lagu mereka.

Kugiran ini yang diasaskan pada tahun 1998, mengambil keputusan untuk cuba merakamkan lagu demo bagi membolehkan mereka menjadi pemuzik professional. Usaha mereka berhasil setelah syarikat menawarkan kontrak lalu terhasillah album pertama mereka, menggunakan nama sendiri. Album kedua mereka 'Kisah Klasik Untuk Masa Depan' benar-benar meledakkan nama mereka, di Indonesia dan juga Malaysia.

Lagu 'Sephia' yang dijadikan judul dan runut bunyi kepada siri drama popular 'Sephia' lakonan Hans Isaac, Catriona Ross dan Ako Mustapha memahatkan demam fenomena Sheila on 7 di negara kita. Sehingga kini perbincangan tentang hantu dan misteri di sebalik itu tetap ada. Kami tidak tahu mengapa.

5. Padi

kumpulan padi reborn

Salah sebuah kugiran yang mempunyai karya yang unik, kumpulan Padi ditubuhkan pada tahun 1996. Apa yang jelas sejak mula, Padi gemar memaparkan gubahan lagu yang menggunakan susunan muzik yang kompleks, tidak bersahaja serta memerlukan teknik permainan yang teknikal dimainkan.

Album kedua mereka, 'Sesuatu Yang Tertunda' diterbitkan pada tahun 2001 memperkenalkan kugiran unik ini pada masyarakat Malaysia dengan single 'Sesuatu Yang Indah' dan 'Semua Tak Sama' menawarkan sesuatu yang berbeza, berbanding kugiran Indonesia lain ketika itu.

Selain itu, anak-anak Malaysia juga sebenarnya menjadi peminat Padi sejak kecil, selepas kumpulan itu menyanyikan lagu 'Sahabat Selamanya' yang menjadi runut bunyi kepada filem Upin & Ipin.

Selepas mengeluarkan album mereka pada 2007, Padi tidak lagi mengeluarkan album tetapi terus aktif bermain muzik sebelum senyap sekitar 2011 dan 2012. Pada tahun 2018, kumpulan ini kembali aktif dengan nama 'Padi Reborn' dengan siri jelajah konsert yang turut sama menjadikan Kuala Lumpur salah satu lokasinya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)