Oleh pada 08 Nov 2018 kategori

Pada tahun 2016, seorang pereka kasut bernama Liz Ciokajlo telah menerima satu tugasan dari Muzium Seni Moden di New York untuk melihat semula rekaan "the Moon Boot" iaitu kasut salji gebu yang diinspirasikan daripada kasut angkasawan Apollo.

Dilancarkan pada tahun 1972 semasa misi ke bulan sedang hangat menjadi buah mulut semua orang, kasut but ini menjadi sebuah ikon kepada 'era plastik' abad ke-20 dan para kurator muzium ingin mengambil satu pendekatan baru dengannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

liz ciakajlo

Ciokajlo perlu membayangkan dan mereka semula kasut but itu. Dia tahu, hanya biobahan sahaja yang mampu digunakan selepas berakhirnya era plastik ini. Walau bagaimanapun, pereka kasut tersohor ini tidak lagi menggunakan bulan sebagai inspirasi kerana generasi kini obses dengan penaklukan planet Marikh.

Menurut Ciokajlo, Marikh merupakan suatu lokasi di mana kita boleh berangan-angan dan membayangkan bagaimana kehidupan baru selain di Bumi.

Tugasan yang perlu disempurnakan itu membawanya kepada sejenis biobahan yang telah menarik perhatian ramai jurutera yang sedang berinovasi mencipta bahan binaan baru serta organisasi angkasa lepas seperti NASA dan Agensi Angkasa Eropah (ESA).

kasut diperbuat dari peluh dan kulat

kredit foto DailyMail

Rekaan terakhirnya yang berbentuk agak feminin namun kasar dan tinggi boleh dihasilkan di dalam kapal angkasa hanya menggunakan peluh manusia dan beberapa spora kulat. Ia sangat ideal untuk perjalanan selama tujuh bulan ke Marikh dengan bekalan keperluan yang terhad.

Biobahan yang luar biasa ini dipanggil miselium iaitu bahagian vegetatif pada kulat. Jika anda bayangkan cendawan sebagai "buah" kepada kulat, miselium pula boleh dianggap sebagai "akar" atau "batang" kulat tersebut. Ia kelihatan seperti bebenang putih yang berselerak. Setiap satunya dipanggil hifa yang berselirat antara tanah dan pelbagai bahan lain di mana kulat tumbuh. Secara kolektif, bebenang ini dipanggil miselium dan merupakan bahagian terbesar pada kulat.

fungus miselium 252

Miselium mempunyai pelbagai kegunaan. Ia merupakan ejen pengitar semula yang baik kerana mengambil makanan daripada subtrat (seperti habuk kayu dan bahan buangan agrikultur) untuk menghasilkan lebih banyak material serta mempunyai potensi untuk berkembang tanpa had dalam keadaan yang sesuai.

Selain itu, miselium boleh bertahan dalam tekanan lebih daripada konkrit konvensional, merupakan bahan penebat dan perintang api. Tambahan lagi, salah satu aspek terpenting miselium dalam seni bina angkasa lepas yang kini sedang dikaji pihak ESA ialah kebolehannya untuk mengeluarkan melanin, iaitu sejenis biomolekul yang boleh melindungi manusia daripada radiasi kosmik.

akar fungus miselium

Menurut seorang artis dan jurutera, Maurizio Montalti yang telah menyertai pasukan Ciokajlo, di Bumi, ia sudahpun banyak digunakan untuk menghasilkan panel siling, kulit, bahan pembungkusan dan bahan binaan manakala di angkasa lepas pula ia berpotensi tinggi untuk dijadikan bahan seni bina. Kebolehannya mereplikakan diri sendiri dapat menghasilkan lebih banyak bahan dalam masa yang singkat.

Untuk menghasilkan kasut but tersebut, Ciokajlo ingin menggunakan tubuh manusia sebagai sumber salah satu bahan dan akhirnya memilih peluh manusia. Penggunaan semula peluh manusia bukanlah perkara baru dalam eksplorasi angkasa lepas kerana Stesen Angkasa Antarabangsa telahpun menggunakan semula air kencing dan peluh angkasawan sebagai air yang boleh diminum. Namun, kali ini, Cikajlo ingin menggunakannya sebagai bahan untuk membuat kasut.

boot bulan liz ciakajlo 257

Reka bentuk kasut yang diberi nama "Caskia" ini masih dalam tahap hipotesis kerana kasut but sebenar yang dihantar kepada pihak muzium (yang kini dipamerkan di Muzium Rekaan London) hanya menggunakan miselium, namun masih belum sempat menggabungkan elemen peluh manusia disebabkan terpaksa mengejar waktu. Walau bagaimanapun, sains dan penyelidikan di sebaliknya tetap berlangsung.

Bahan miselium boleh terjadi dalam beberapa cara. Jika anda mempunyai sisa buangan pepejal seperti habuk kayu, anda hanya perlu mensterilkan habuk tersebut dan menambahkan kulat supaya ia mula bercambah. Hifa akan menjadi padat untuk menghasilkan bahan pejal berserat apabila ia dieramkan dalam persekitaran terkawal dengan suhu dan kelembapan sesuai. Inilah kegunaan miselium yang diharapkan oleh NASA dan ESA untuk pangkalan Marikh mereka.

kasut tumit oleh liz ciakajlo

Bagi kasut but "Caskia," sejenis kulat khusus daripada lebih lima juta spesies yang terdapat di dunia akan mengambil nutrien daripada peluh manusia selepas ditapis daripada kekotoran dan bendasing. Bahan 'lembap' yang terhasil akan dibentuk terus menggunakan kaki angkasawan kemudian akan terus-menerus mendapatkan nutrisi daripada penghasilan peluh.

Dalam kedua-dua kaedah penghasilan ini, pembiakan kulat boleh dihentikan dengan memanaskannya sehingga 70 ke 80 darjah Celsius seperti menggunakan oven di Bumi atau mendedahkannya kepada suhu tinggi di Marikh atau angkasa lepas.

Di Bumi, banyak projek telah menggunakan miselium sebagai salah satu komponen struktur binaan. Misalnya, satu usaha sama antara Institut Teknologi Karlsruhe (KIT) dan Insitut Teknologi Persekutuan Swiss (ETH) menggunakan teknologi cetakan 3D untuk menghasilkan struktur bercabang yang boleh menampung sebuah bumbung.

Jika projek NASA dan ESA ini berjaya, spora kulat mungkin menjadi titik permulaan bagi kehidupan baru dan penempatan manusia di planet Marikh.

Rujukan:

1. BBC

2. Clotmag

3. Press Reader




Hakcipta iluminasi.com (2017)