Kredit foto: BH Online
Kakak penyanyi Aiman Tino, Fara Hezel menegaskan tidak wujud sebarang penghinaaan terhadap industri muzik menerusi lagu duet terbaru mereka berjudul Terasa Cinta.
Menurut Fara, 21, lagu ciptaan ibu bapa mereka itu sekadar kelainan yang cuba dibawa dalam genre muzik masing-masing.
"Assalammulaikum, pertama sekali saya nak mohon maaf kepada pihak yang mengecam @official_aimantino (Aiman Tino) disebabkan membawa genre hip hop yang dianggap sebagai penghinaan kepada industri.
"Lagu Terasa Cinta yang ditulis sepenuhnya oleh ibu bapa kami bukanlah untuk menghina genre ini malah kami cuba untuk membuat kelainan untuk warna industri muzik sekarang.
"Kami cuba selitkan rap dalam lagu tersebut tapi tak sangka menjadi isu sedemikian," luah Fara menerusi kiriman laman sosial Instagram, menjawab tuduhan komposer dan anggota VE, Damian Mikhail.
Kredit foto: Instagram Fara Hezel
Aiman dihentam Damian yang menyifatkan tindakannya menyanyi rap sebagai satu pencemaran dan penghinaan bagi industri muzik hip hop.
Dalam kecaman yang ditulis di Facebook itu, Damian berkata, kalau Aiman menyanyi di hadapannya, dia akan ‘boo’.
Pun begitu, Damian menerusi sebuah portal hiburan menafikan kritikannya ditujukan kepada Aiman.
Dalam pada itu, Fara meminta pihak yang menuduh lagu mereka sebagai pencemaran dalam genre muzik supaya tampil memberikan tunjuk ajar daripada sekadar mengecam.
"Kepada pihak yang menganggap ianya satu pencemaran untuk muzik hip hop mohon beri tunjuk ajar kepada Aiman Tino. Jangan kecam, tak baik.
"Kami masih baru perlu tunjuk ajar daripada otai-otai industri muzik. Baru saja nak cipta nama jangan terus menghukum.
"Tegur secara baik Insya-Allah akan dapat diterima dgn ikhlas," ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada para peminat yang tidak jemu memberikan sokongan.
Sumber berita: Mstar