Oleh pada 23 Apr 2018 kategori

aiman tino terkena penyakit misteri 1

Kredit foto: Instagram Aiman Tino

Merangkul satu persatu kejayaan di usia remaja, penyanyi Aiman Tino rupa-rupanya menyimpan cerita bagaimana dia berasa pelik dengan gangguan vokal yang dialami lewat ini.

Menganggap dirinya barangkali dikunjungi penyakit misteri, itulah kemungkinan yang layak difikirkan penyanyi berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor ini, terutamanya selepas menyedari masalah vokal yang dihadapi terjadi menjelang persembahan pentasnya.

Aiman atau nama sebenarnya, Muhammad Aiman Yusri mendakwa pemeriksaan doktor yang dijalankan tidak mengesan apa-apa kecederaan di dalam tekaknya.

aiman tino terkena penyakit misteri 2

Kredit foto: Instagram Aiman Tino

"Ya betul, suara saya terganggu dan menjadi garau.

"Mulanya, saya masih positif dan menganggap saya keletihan sehingga kehilangan suara. Saya juga akui tidak cukup rehat selepas Ku Rela Dibenci menjadi siulan ramai.

"Dulu, saya memenuhi undangan nyanyian sehingga tiga acara setiap hari. Saya terkejar-kejar dan penatnya hanya Tuhan yang tahu.

"Saya fikir mungkin saya letih dan kurang berehat. Daripada segi psikologi pula, jika akal fikiran mengatakan diri terlalu penat, kehilangan suara adalah perkara biasa.

"Bagaimanapun, ada beberapa ciri yang memberikan petanda saya mungkin terkena penyakit misteri," katanya memetik laporan BH Online.

Aiman mendakwa, sepanjang tempoh rehatnya di rumah, suaranya kedengaran seperti biasa sebelum situasi bertukar sebaliknya pada hari persembahan.

aiman tino terkena penyakit misteri 3

Kredit foto: Instagram Aiman Tino

"Saya sudah melakukan pemeriksaan di hospital. Doktor memasukkan kamera untuk melihat mungkin ada kecederaan pada tekak saya, tetapi tiada apa-apa ditemui mereka.

"Vokal saya masih terganggu dan ada kala mengeluarkan suara garau. Ketika itu, saya masih memikirkan mungkin saya penat, tetapi apa yang pelik, suara saya 'okay' sekiranya berehat di rumah selama beberapa hari.

"Bagaimanapun, suara mula kedengaran lain apabila mahu mengadakan persembahan. Ikut logiknya, saya sudah berehat selama beberapa hari, tentunya tidak lagi kepenatan. Tetapi, kenapa suara saya tiba-tiba bertukar atau hilang?" katanya.

Tambah penyanyi lagu Ku Sesat Dalam Rindu itu, dia yang disarankan bertemu pakar perubatan Islam atau ustaz, bagaimanapun belum berkesempatan berbuat demikian.

"Saya bagaimanapun belum sempat bertemu dengan mereka. Lagipun, saya tidak tahu mahu merujuk pada siapa, saya bukannya 'kaki bomoh'.

"Sehingga hari ini, saya masih mampu bertahan. Jauh di sudut hati, saya menyerahkannya pada kuasa Allah. Tengok bagaimana keadaannya dan saya mungkin tidak boleh terus membiarkannya jika ia semakin teruk," katanya.

Aiman berkata, beliau kini lebih berwaspada dengan orang sekeliling yang tidak dikenali dan mengambil pendekatan membawa kedua ibu bapanya ke mana sahaja sesi persembahan agar tiada yang berani mengambil kesempatan.

"Mungkin di depan saya, ada pihak yang senyum. Tetapi di belakang, saya tidak tahu isi hati masing-masing atau apa yang mereka lakukan? Saya pula tidak mahu menuduh sesiapa dan tak pernah menganggap orang sebagai jahat. Apa pun, saya lebih berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali.

"Disebabkan itulah, saya perlukan ibu bapa menemani saya ke mana saja saya pergi, terutama jika terbabit dengan persembahan.

"Saya masih remaja dan mungkin ada yang anggap saya budak-budak. Jadi, orang pun takut mahu mengambil kesempatan jika saya bersama ibu atau bapa," katanya.

Menyentuh perkembangan dunia seni, anak keempat daripada 10 beradik ini akui sudah jatuh cinta dengan dunia lakonan selepas menjayakan siri televisyen arahan Erma Fatima, Mak Cun.

"Saya pernah meluahkan hasrat pada ibu untuk mencuba bidang lakonan. Tidak sangka, pertemuan dengan Erma di Langkawi membuka jalan buat saya menceburi bidang ini.

"Walaupun pada awalnya ia sudah menimbulkan salah faham apabila babak dilempang pelakon berpengalaman, Fazlina Ahmad Daud, menjadi pertikaian peminat, tetapi saya tidak melihatnya sebagai perkara yang harus diperbesarkan.

"Saya sendiri yang memberitahu Fazlina, saya sukar mahu menitiskan air mata dan memintanya membantu saya. Babak itu hanya diambil sekali saja, tetapi menjadi.

"Penangan Fazlina membuatkan saya betul-betul menangis. Itulah yang saya inginkan, saya tidak mahu berlakon dengan buat-buat menangis. Apa pun, saya seronok mendapat pengalaman berharga apabila bekerja dengan pelakon dan pengarah berpengalaman," katanya.


tags : , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)