Oleh pada 29 Aug 2018 kategori

Dalam agama Islam, minuman alkohol adalah diharamkan sama sekali seperti yang termaktub dalam Al-Quran. Pengharaman ini adalah disebabkan pelbagai kemudaratan yang ada padanya. Kami juga pernah menulis penjelasan saintifik mengapa arak diharamkan ke atas manusia untuk menjelaskan bab ini dari sudut sains.

Sejak sekian lamanya, terdapat juga golongan yang mengambil minuman beralkohol kerana dakwaan terdapat kebaikan padanya. Pengambilan minuman beralkohol secara sedikit didakwa boleh melindungi daripada penyakit jantung. Adakah manfaat ini benar seperti yang didakwa?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau bagaimanapun, dalam satu kajian terbaru mendapati bahawa sebenarnya risiko penyakit kanser dan pelbagai penyakit lain sebenarnya lebih tinggi bagi mereka yang meminum alkohol. Dalam erti kata lain, mudarat daripada pengambilan minuman beralkohol lebih tinggi daripada manfaatnya.

Kajian paling lengkap masa kini

ketagihan arak

Menurut kumpulan penyelidik itu, kajian yang dijalankan mereka adalah paling lengkap dan menyeluruh kerana mengambil kira pelbagai faktor lain dalam kajian mereka. Hasil daripada kajian ini telah dimuatkan dalam laporan "Alcohol use and burden for 195 countries and territories, 1990–2016: a systematic analysis for the Global Burden of Disease Study 2016" yang diterbitkan di laman web Lancet.com.

Kajian ini telah dilakukan untuk mengetahui kadar pengambilan alkohol dan kesannya pada kesihatan di 195 buah negara antara tahun 1990 dan 2016, yakni selama 26 tahun. Responden untuk kajian ini terdiri daripada mereka yang berumur 15 hingga 96 tahun.

Dalam penyelidikan ini, pada mulanya para penyelidik cuba membandingkan tahap kesihatan mereka yang langsung tidak mengambil minuman beralkohol dan mereka yang mengambilnya sebanyak 1 gelas sehari.

Daripada perbandingan antara kedua golongan ini, para penyelidik dapati bahawa daripada 100,000 responden yang tidak meminum alkohol, 914 daripadanya mendapat penyakit yang mempunyai kaitan dengan pengambilan alkohol seperti kanser, penyakit kardiovaskular, kemalangan, mencederakan diri sendiri dan lain-lain.

arak memabukkan

Sebagai perbandingan, bilangan responden yang mendapat penyakit kanser dan beberapa penyakit lain berkaitan alkohol pula adalah 918, iaitu 4 orang lebih tinggi daripada kumpulan yang langsung tidak meminum minuman beralkohol.

Bagi mengetahui kesan pertambahan kuantiti pengambilan alkohol kepada kesihatan, maka tahap kesihatan golongan yang mengambil 2 minuman beralkohol dan 5 minuman beralkohol sehari juga dikaji. 2 kumpulan responden dengan tahap pengambilan alkohol ini dikaji bagi mengenalpasti sekiranya terdapat kaitan antara pertambahan kuantiti minuman beralkohol dengan peningkatan risiko mendapat penyakit.

Daripada penyelidikan ini, responden yang meminum 2 minuman beralkohol setiap hari merekodkan pertambahan 63 orang yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan. Sementara itu, bagi responden yang meminum 5 minuman beralkohol setiap hari, terdapat pertambahan 338 orang yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan.

Mudarat minuman alkohol lebih tinggi daripada manfaatnya

alkohol haram

Ketua penyelidik kajian ini, Dr Max Griswold daripada University of Washington merumuskan kajian ini dengan berkata:

Beberapa kajian sebelum ini mendapati terdapat beberapa kebaikan pengambilan alkohol sekiranya diambil pada kadar yang sedikit. Walau bagaimanapaun, kajian kami mendapati bahawa risiko untuk mempunyai pelbagai masalah penyakit meningkat dengan peningkatan pengambilan minuman beralkohol tanpa mengira berapa pun kuantitinya.

Beliau turut menyatakan bahawa terdapat hubungan kuat antara penggunaan alkohol dan risiko kanser, kecederaan, dan penyakit berjangkit dan mudarat daripada pengambilan minuman beralkohol ini lagi tinggi daripada manfaatnya.

Dalam erti kata lain, walaupun risiko kesihatan yang dikaitkan dengan alkohol bermula kecil dengan satu minuman setiap hari, risiko ini kemudiannya meningkat dengan cepat apabila orang minum lebih banyak. 

Kredit:

  1. BBC
  2. CNN



Hakcipta iluminasi.com (2017)