Oleh pada 17 Sep 2018 kategori

Mungkin kedengaran pelik untuk mengatakan menaiki roller coaster di taman tema mampu mengubati penyakit batu karang, tetapi itulah penemuan terbaru yang telah dimuatkan dalam laporan yang diterbitkan oleh Journal of the American Osteopathic Association.

Dalam laporan bertajuk "Validation of a Functional Pyelocalyceal Renal Model for the Evaluation of Renal Calculi Passage While Riding a Roller Coaster" yang diterbitkan pada tahun 2016 itu, kumpulan pengkaji ini mendapati menaiki roller coaster "Big Thunder Mountain Railroad" di Taman Tema Disney World mampu mengubati batu karang yang bersaiz kecil.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa itu penyakit Batu Karang?

sampel batu karang

Batu karang adalah gumpalan kristal garam mineral yang terhasil akibat mendapan. Saiznya pula bergantung, ada yang halus sehalus butir pasir dan dalam sesetengah kes yang ekstrim, saiznya juga boleh menjadi sebesar sebiji bola golf. Ianya boleh terjadi pada mana-mana bahagian tubuh manusia seperti buah pinggang (dipanggil batu karang) dan hempedu (batu hempedu).

Terdapat banyak sebab yang menyebabkan terhasilnya batu karang ini antaranya kurang pengambilan air kosong, pengambilan garam yang berlebihan dalam makanan, pengambilan makanan yang mengandungi asid urik dan sebagainya. Kerosakan fungsi buah pinggang turut boleh meningkatkan risiko mendapat batu karang.

Bagi memastikan seseorang itu mempunyai batu karang, kebiasaannya ujian air kencing akan dilakukan oleh doktor. Daripada sampel air kencing ini, doktor dapat memeriksa sekiranya terdapat darah atau nanah dalam air yang memberi indikasi terdapatnya kewujudan batu karang.

sistem urinari

Pada peringkat awal, pesakit biasanya akan diberikan ubat tahan sakit dan ubat untuk menghakis batu karang tersebut. Doktor juga akan meminta pesakit untuk meminum lebih banyak air kosong. Lama-kelamaan, batu karang tersebut akan mengecil dan dikeluarkan melalui air kencing. Dalam proses ini, batu karang ini akan bergerak daripada dari buah pinggang ke ureter dan ke pundi kencing, dan kemudian keluar dari badan melalui saluran uretra.

Bagi sesetengah orang, proses ini begitu menyakitkan. Sementara itu, bagi individu yang pernah menghidap penyakit ini, risiko untuk penyakit ini berulang pada masa akan datang adalah tinggi. Bagaimanapun, ianya dapat dicegah dengan menjaga pengambilan makanan dan minuman.

Inspirasi untuk menjalankan kajian ini

big thunder mountain railroad roller coaster 99

Sebelum kajian ini dibuat, tiada sesiapa yang dapat mengaitkan antara tunggangan roller coaster dan rawatan untuk penyakit batu karang. Namun, kumpulan pengkaji ini mendapat idea untuk melakukan kajian lanjut berdasarkan beberapa laporan kesihatan seorang pesakit batu karang yang sembuh selepas menaiki roller coaster.

Menurut salah seorang penulis kajian ini, Dr. Wartinger daripada Michigan State University, beliau dapati bahawa beberapa orang pesakitnya melaporkan batu karang mereka berjaya disembuhkan selepas menaiki roller coaster "Big Thunder Mountain Railroad" yang terdapat di Taman Tema Disney World yang terletak di Florida.

Paling menarik perhatiannya adalah seorang pesakitnya yang sembuh selepas menaiki roller coaster ini. Bukan satu kali, tapi sebanyak tiga kali berturut-turut. Perkara ini menguatkan lagi keinginannya untuk tahuh  sekiranya menunggang roller coaster benar-benar efektif menyembuhkan penyakit ini.

Namun, untuk menjalankan kajian seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana perkara seperti ini baru pertama kali dilaporkan dan ketiadaan model sebenar untuk menjalankan kajian. Malah, terdapat juga keraguan sekiranya laporan bahawa pesakit tersebut sembuh setiap kali selepas menaiki roller coaster sekadar kebetulan semata-mata.

Penggunaan buah pinggang klon

klon ginjal

Bagi mewujudkan model sebenar buah pinggang, Dr. Wartinger telah bekerjasama dengan Dr. Marc Mitchell, seorang ahli urologi untuk menghasilkan buah pinggang  klon yang diperbuat daripada silikon. Buah pinggang tiruan yang dihasilkan mereka mempunyai saiz dan bentuk sebenar buah pinggang pesakit-pesakitnya.

Bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku, kedua mereka telah menunggang roller coaster "Big Thunder Mountain" sebanyak 20 kali. Model buah pinggang klon itu telah diletakkan dalam beg khas di kedudukan sebenar buah pinggang dalam badan manusia. Untuk setiap tunggangan, mereka akan meletakkan 3 biji batu berlainan saiz karang dalam setiap model bagi setiap tunggangan.

Saiz batu karang yang digunakan itu adalah kecil (4.5 mm kubik), sederhana (13.5 mm kubik) dan besar (64.6 mm kubik). Dalam setiap tunggangan, susunan ketiga-tiga batu ini akan diubah kombinasi susunannya. Contohnya, pada tunggangan pertama, batu karang bersaiz besar akan diletakkan pada bahagian atas, batu bersaiz sederhana pada bahagian tengah dan batu bersaiz besar pada bahagian bawah.

batu karang 269

Posisi ini akan diubah pada setiap tunggangan bagi memastikan keputusan yang lebih tepat dapat dihasilkan selain dapat mengurangkan ralat pada kajian tersebut. Terdapat beberapa penemuan menarik daripada kajian pelik yang dilakukan mereka ini. Dalam kebanyakan kes, batu karang tersebut telah bergerak daripada buah pinggang ke saluran ureter yang bersambungan dengan pundi kencing.

Menariknya, kajian itu menunjukkan kadar peratusan kejayaan tersebut adalah lebih tinggi sekiranya mereka duduk di bahagian tempat duduk belakang roller coaster. Apabila duduk di bahagian belakang roller coaster, peratus kejayaan batu karang itu berjaya dikeluarkan adalah sekitar 64% berbanding hanya 17% sekiranya mereka duduk di kerusi hadapan.

Peratusan yang lebih tinggi ini mungkin kerana gegaran atau hentakan yang lebih kuat dirasai bagi mereka yang duduk di bahagian belakang. Walau bagaimanapun, daripada kajian ini mereka dapati hanya batu karang yang mempunyai saiz kecil sahaja akan berjaya dikeluarkan.

Ketika artikel ini ditulis, kumpulan pengkaji ini dikatakan telah melakukan eksperimen ini hampir 200 kali dan keputusan yang diperolehi adalah konsisten ketika eksperimen ini dilakukan sebanyak 20 kali. Mereka juga berminat melakukan kajian lanjutan untuk mengetahui sekiranya roller coaster di taman tema lain seluruh dunia turut mempunyai kesan yang sama terhadap pesakit batu karang.

Kredit: 

  1. Journal of the American Osteopathic Association
  2. Live Science
  3. NBC News
  4. New York Times



Hakcipta iluminasi.com (2017)