Produk jenama IKEA mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di negara kita, sehinggakan kita mempunyai empat buah cawangan IKEA bersaiz gergasi; di Cheras, Damansara, Batu Kawan dan Tebrau, Johor. Sebesar-besar Indonesia pun, baru ada dua IKEA di sana.

Menawarkan perabot pasang sendiri pada harga yang dikatakan berpatutan, salah satu tarikan utama membeli produk IKEA adalah disebabkan oleh usaha syarikat tersebut dalam menyediakan perkhidmatan pelanggan yang baik. Walaupun demikian, produk IKEA tetap tidak lari daripada masalah - seringkali berdepan kontroversi yang datang daripada popularitinya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

ikea disaman teruk kerana menyebabkan kematian

Pada 7 Januari 2020, daripada satu perbicaraan mahkamah yang berlangsung di Amerika Syarikat - IKEA diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar kepada sebuah keluarga RM188 juta. Mahkamah mendapati produk kabinet laci IKEA di bawah siri Malm, telah menyebabkan kematian seorang bayi berusia dua tahun.

Jumlah itu merupakan amaun pampasan tertinggi akibat kecuaian yang menyebabkan kematian, pernah dibayar untuk seorang bayi/kanak-kanak di dalam sejarah Amerika Syarikat.

Kes kematian Josef Dudek

bayi meninggal dunia ikea

Pada bulan Mei tahun 2017, Craig Dudek membaringkan anaknya, Josef di bilik selepas mendapati anaknya sudah nyenyak lena. Diletakkan tidak jauh daripada kabinet laci IKEA setinggi 30 inci yang mereka miliki, Craig tidak menjangkakan sesuatu yang buruk boleh berlaku.

Apa yang mereka tidak sedar ketika itu, produk milik mereka sebenarnya sudah pun diarahkan oleh pihak IKEA untuk dipulangkan kembali sejak bulan Jun tahun 2016. Terdapat enam model kesemuanya dalam siri kabinet laci Malm keluaran IKEA dan kesemua model yang dikeluarkan sejak tahun 2002, perlu dikembalikan atau dipasangkan dengan pemegang di dinding.

ilustrasi produk malm ikea jatuh

Arahan itu pula dikeluarkan selepas beberapa laporan melibatkan kematian kanak-kanak dan bayi mula kedengaran. IKEA telahpun disaman tiga keluarga yang kematian anak dan kalah dalam perbicaraan, mengakibatkan mereka diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM204 juta, untuk dibahagikan kepada tiga keluarga tersebut.

Selepas laporan kematian pertama didedahkan, IKEA telah berusaha untuk menjalankan program bagi memastikan pengguna memasangkan pemegang dinding ke setiap kabinet laci yang ada, namun untuk sebuah produk yang telah dikeluarkan sejak tahun 2002 - entah berapa juta unit agaknya terjual keseluruhannya.

Di Amerika Syarikat saja, ada 17.3 juta unit telah berjaya dijual dalam tempoh hampir 15 tahun. Salah satunya terletak di kediaman keluarga Dudek.

Kecuaian besar dalam rekaan keselamatan perabot

ujian kestabilan produk ikea

Dalam kes kematian Josef Dudek, selepas mahkamah meneliti semua kes-kes yang telah berlaku dan usaha IKEA untuk menangani masalah yang timbul akibat produk tersebut - IKEA didapati bersalah disebabkan gagal untuk mengambil langkah sepatutnya dalam menambah baik ciri keselamatan yang ada pada produk mereka.

Walaupun pada tahun 2015, IKEA bertindak memberikan pemegang dinding kepada pembeli secara percuma, rekaan asas kabinet itu sendiri dipercayai tidak stabil melainkan diketatkan ke dinding. Menasihatkan pengguna agar hanya menggunakan kabinet laci itu seandainya pemegang dipasangkan, mahkamah tetap menganggap rekaan tersebut tidak menepati piawaian keselamatan yang diharapkan.

Kes saman yang dimulakan oleh pasangan Dudek pada tahun 2018, selepas kematian anak mereka mempersoalkan peranan IKEA yang menyedari siri produk mereka berbahaya dan mempunyai masalah tetapi terus menjualnya kepada orang ramai.

Peguam kepada keluarga itu juga menyifatkan IKEA sedar tentang masalah itu, selepas IKEA sendiri mengakui risiko penggunaannya dan menasihatkan pengguna agar tidak memasangkannya di bilik tidur anak kecil.

Adakah produk serupa masih di jual di Malaysia?

Setakat carian kami, tiada rekod menunjukkan wujudnya usaha serupa operasi IKEA di Malaysia dalam melakukan program pemulangan semula produk kontroversi ini.

Melalui satu kenyataan di laman media sosial pada tahun 2016, IKEA Malaysia memperjelaskan bahawa produk kabinet laci mereka tetap menepati regulasi keselamatan - asalkan dipasang dengan pemegang dinding bagi mengelakkan kejadian terbalik berlaku.

Itu yang menjadi persoalan kepada kami - mengapakah tiada arahan pengembalian semula dilakukan di negara kita, seandainya arahan sama telah pun dikeluarkan di Amerika Syarikat dan Kanada?

wajah mangsa perabot ikea

Setakat ini, hanya 1.3 juta pengguna dilaporkan bertindak bagi menyelesaikan masalah ini - sama ada melalui pemulangan semula kepada IKEA ataupun dengan pemasangan pemegang dinding. Selebihnya? Belum ada sebarang maklum balas walaupun usaha untuk memanggil semula atau memastikan pengguna sedar risiko pemasangan tidak selamat giat dijalankan.

Siri produk laci Malm masih dijual di negara kita bermula dengan harga RM399 sehingga RM699. Selepas anda mengetahui berkenaan kes saman melibatkan kematian Josef Dudek yang merekodkan jumlah pampasan ganti rugi terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat - apa pandangan anda?

Perlukah produk itu ditarik balik atau kesedaran pengguna yang perlu dipertingkatkan?

Rujukan

Ikea to pay family $46m after child killed by falling drawers

Ikea killer dresses and America's hidden recall crisis




Hakcipta iluminasi.com (2017)