IKEA merupakan sebuah syarikat gergasi dalam penjualan perabot dan perhiasan dalaman rumah. Syarikat ini ditubuhkan oleh Ingvar Kamprad dari Sweden ketika beliau baru sahaja berumur 17 tahun. Sila baca artikel kami Sejarah IKEA, Syarikat Perabot Terbesar Dunia untuk mengetahui sejarah menarik syarikat ini.

Berbanding syarikat lain, IKEA menggunakan konsep menarik dan unik dimana setiap perabot yang dibeli adalah jenis pasang siap. Ini bermakna, pembeli perlu memasang sendiri perabot yang dibeli apabila tiba dirumah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Konsep ini secara umumnya mempunyai dua kelebihan. Pertama, pembeli boleh membawa pulang sendiri barangan yang dibeli lalu menjimatkan kos penghantaran. Kedua, sekiranya ingin berpindah ke rumah baru, mereka boleh mencerai dan mencabut bahagian-bahagian perabot tersebut dan memasangnya kembali apabila barang tersebut sudah dipindahkan ke tempat baru.

IKEA hanya tempat untuk orang kaya?

perabot ikea

Pada awal-awal pembukaan IKEA di Malaysia, rata-rata rakyat Malaysia memandang IKEA sebagai sebuah kedai perabot yang ekslusif. Dalam erti kata lain, IKEA bukanlah tempat pilihan yang pertama untuk mencari perabot dan perhiasan dalaman yang lain.

Walau bagaimanapun, persepsi tersebut sama sekali berubah sejak kebelakangan ini. Malah, IKEA kini mungkin menjadi pilihan pertama sekiranya anda ingin mencari perabut. Malah, golongan pelajar juga kebanyakannya memilih IKEA untuk membeli barangan perhiasan dalaman rumah. 

Realitinya, kebanyakan IKEA memang dijual pada harga yang lebih mahal daripada perabot yang dijual oleh syarikat-syarikat lain. Mungkin hanya segelintir sahaja barangan seperti bantal, selimut, tong sampah, kerusi dan lain-lain yang mungkin dijual pada harga mampu milik.

Persoalannya, bagaimanakah IKEA berjaya menarik minat golongan pertengahan untuk datang dan membeli di IKEA? Apakah strategi yang digunakan IKEA untuk mengubah tanggapan masyarakat bahawa IKEA adalah sebuah kedai perabot mampu milik?

Menjual harga makanan pada harga murah

meatball ikea

Mungkin anda perasan, selain perabot IKEA juga kini popular sebagai destinasi tempat makan. Malah, makanan bebola daging (meatball) IKEA juga boleh dikatakan sangat popular. Ada yang sanggup datang ke IKEA semata-mata untuk menikmati bebola daging ini sahaja. 

Selain bebola daging ini, IKEA juga menjual pelbagai makanan terutamanya makanan barat seperti sandwich, chicken chop dan pasta. Khusus untuk IKEA di Malaysia, terdapat juga makanan dengan cita rasa tempatan seperti nasi ayam dan nasi kerabu yang dijual.

Harga makanan-makanan yang dijual ini pula tidaklah terlalu mahal. Maka, timbullah persoalan, mengapakah IKEA yang merupakan sebuah syarikat menjual perabot secara tiba-tiba menjual makanan? Adakah ini semata-mata cabang baru perniagaan mereka?

IKEA tidak kisah rugi menjual makanan

makanan ikea

Persoalan ini telah dijawab oleh Chris Spear dalam laman web Quora. Quora merupakan sebuah laman web yang menyediakan platform soal-jawab kepada para pengguna. Pengguna laman web ini terdiri daripada pelbagai golongan termasuklah golongan profesional. 

Chris Spear menerusi responnya dalam laman web Quorta merupakan seorang bekas pekerja di IKEA dalam bahagian operasi servis makanan. Menurut beliau, IKEA menjual pelbagai makanan pada harga yang murah untuk memberi persepsi kepada orang ramai bahawa barangan yang dijual di IKEA kesemuanya adalah murah dan mampu milik.

Ini merupakan satu teknik psikologi yang digunakan agar orang ramai lebih terbuka dan yakin untuk datang dan berbelanja di IKEA. Malah, menurut beliau lagi makanan yang dijual biasanya mempunyai margin keuntungan yang kecil. IKEA juga tidak kisah jika makanan yang dijual itu tidak menguntungkan mereka kerana tujuannya dijual adalah untuk menarik kedatangan orang ramai ke gudang mereka semata-mata.

ikea meatballs malaysia damansara 175

Sebagai contoh, sebuah set sofa dijual pada harga RM5000. Adakah harga ini mahal atau murah? Bergantung, sekiranya anda pernah membeli sofa sebelum ini harga tersebut mungkin mahal dan anda mampu ianya boleh dibeli oleh orang ramai di kedai perabot yang lain. Sekiranya anda tidak pernah membeli sofa, anda mungkin menyangka harga tersebut berpatutan.

Dengan menjual makanan pada harga murah, ianya memberi tanggapan kepada orang ramai bahawa barangan dan perabot yang dijual oleh IKEA tentulah murah dan berpatutan! Inilah realiti teknik psikologi yang digunakan oleh IKEA. Walaupun mereka mendapat sedikit keuntungan daripada jualan makanan, IKEA mendapat keuntungan besar berkali-kali ganda daripada produk utama mereka iaitu perabot.

Tidak kisah orang ramai datang untuk makan semata-mata

kedai makan ikea

Mungkin ada yang berpendapat, segelintir orang hanya mahu makan di IKEA dan terus keluar tanpa membeli sebarang barangan lain. Perkara ini mungkin merugikan IKEA. Sebenarnya pihak IKEA langsung tidak kisah akan perkara ini malah sudah menjangkanya.

Namun, dengan menjual makanan yang bukan sahaja sedap dan murah, pelanggan tersebut pastinya akan datang berkali-kali pada masa hadapan. Dan pastinya, akan sampai satu masa mereka tetap akan membeli barangan lain di IKEA.

Malah, hidangan yang sedap dan murah ini juga merupakan teknik pemasaran percuma dimana pelanggan biasanya akan berkongsi dan bercerita tentang makanan hebat di IKEA kepada kenalan mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menarik lebih ramai lagi untuk datang ke IKEA buat pertama kalinya.

Kredit:

  1. Business Insider
  2. News Australia



Hakcipta iluminasi.com (2017)