Penulis boleh dikatakan gemar juga ke pasaraya IKEA. Lokasinya terletak berdekatan dengan rumah penulis. Kebanyakan masa penulis di IKEA sebenarnya bukanlah nak beli perabot sangat. Kita semua tahu majoriti orang ke IKEA membawa tujuan serupa; nak makan meatball, nak beli barang IKEA yang murah-murah, nak cuba curi idea rekaan dalaman dan kabinet dapur IKEA atau nak beli beg biru IKEA untuk dibuat beli-belah. Yang betul nak beli perabot mungkin 3 daripada 10 orang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Beg biru IKEA yang dinamakan 'Frakta' menjadi antara produk paling popular yang dijual, berikutan kualitinya serta harganya yang jauh lebih murah berbanding beg guna semula pasaraya lain. Tahukah anda kisah dan fakta menarik tentang beg tersebut?

Beg biru yang banyak berjasa pada dunia

beg biru ikea 186

Malaysia menerima pembukaan gedung IKEA yang pertama yang terletak di Kompleks 1Utama Damansara pada tahun 1996, sebelum berpindah ke kompleks sendiri tidak jauh daripada lokasi asalnya pada tahun 2003. Beg biru Frakta pula secara kebetulan diperkenalkan pada tahun yang sama mulanya IKEA bertapak di Malaysia.

Walaupun kita mengenali beg ikonik ini dengan warna birunya, bagi pengunjung IKEA mereka akan dibekalkan dengan beg serupa yang berwarna kuning dan bertali biru namun hanya versi biru dijual.

Sekiranya anda ikuti promosi IKEA, akan ada masanya penjualan beg berwarna kuning dibuka pada orang ramai yangt berminat hendak mendapatkannya. Bagaimanapun, beg biru IKEA lebih lejenlah - kerana menjadi de facto standard beg orang ramai.

Rekaan buruk tapi diingati

beg ikea redesign 93n14

Kenapa beg Frakta agak buruk sebenarnya rekaannya? Sudahlah tali penyangkutnya disulamkan dengan logo IKEA berulang-berulang. Tekstur beg itu juga bising, menghasilkan bunyi renyuk yang kuat.

Walaupun demikian, bagi mereka yang memiliki beg ini - mengakui keutuhannya mengangkut bebanan berat. Terkenal amat sukar koyak serta lasak, kalau dah kotor basuh saja beg biru itu dengan air. Yang penting, beg Frakta ini boleh dilipat bila hendak disimpan, jadi ia sangat menjimatkan ruang. Kalau koyak? Pergi ke IKEA dan tukar yang baru secara percuma.

Tahukah anda berapakah muatan yang boleh ditampung oleh beg Frakta secara rasmi? Untuk saiz terbesar yang ada, muatan maksima dicadangkan adalah 25 kg.

Harganya pun murah saja, RM2 untuk yang terkecil dan RM2.50 untuk yang terbesar. Bila negeri Selangor memulakan peraturan tiada beg plastik di pasaraya, penulis pasti ramai orang Selangor cepat-cepat ke IKEA membeli beg Frakta ini.

Apa maknanya Frakta? Senang saja sebenarnya. Sekiranya anda buka kamus dan terjemahkan perkataan itu daripada bahasa Sweden ke bahasa Melayu - anda akan dapat terjemahannya bersamaan dengan 'angkat' atau 'jinjing.'

Memulakan fenomena fesyen

topeng muka ikea frakta

Salah satu tren yang kerap kali berlaku melibatkan beg Frakta IKEA adalah cabaran untuk menggunakannya dalam produk-produk lain, khasnya fesyen. Sudah banyak produk fesyen berasaskan Frakta yang dijual dalam pasaran.

Tren menjadikan beg Frakta sebagai alat fesyen sebenarnya bermula selepas kontroversi yang timbul apabila jenama mewah Balenciaga menawarkan sebuah beg yang hampir serupa dengan beg IKEA ini, pada harga RM9,500. Tak ada typo di situ.

frakta air jordan

Selepas itu, banyak pereka fesyen mula menggunakan beg Frakta sebagai bahan asas rekaan mereka. Lahirlah topi Frakta, yang dijual pada harga RM160 seunit dan hanya 150 unit dihasilkan. Manakala sebuah syarikat pereka kasut merekabentuk semula sepasang kasut Nike Air Jordan dan memberikannya sentuhan fabrik dan tali daripada beg Frakta. Buruk benar rupanya!

Ada juga beberapa keluaran lain yang cuba mengasimilikasikan bahan Frakta untuk menghasilkan produk baru seperti seluar dalam, topeng muka dan juga jaket yang pada penulis, nampak boleh tahan juga rekaannya.

Bina semula raja beg beli-belah serba guna

ikea frakta rekaan semula

Dengan angka jualan 3 juta setiap tahun hanya di Amerika Syarikat sahaja, harus diakui Frakta sebenarnya hodoh. Warnanya terlalu terang dan tulisan IKEA yang ada memburukkan rekaannya. Usaha untuk mengubah rekaan Frakta sebenarnya sudah pun selesai pada tahun 2016, selepas sebuah firma rekaan Denmark bernama Hay dilantik memodenkan rekaan beg ikonik itu.

Mengekalkan bentuk yang ada, firma Hay mengubah warna biru dan kuning yang terkenal, menggantikannya dengan warna tali berwarna hijau dan fabrik berwarna putih kehijau-hijauan. Rekaan ini ditontonkan kepada orang ramai pada tahun 2016, dikatakan akan mula dijual pada tahun 2017 dan tidak akan menggantikan rekaan lamanya; akan dijual sebagai alternatif lain.

ikea frakta jaket

Kami sedar, artikel ini menceritakan tentang sebuah beg. Bagaimanapun, artikel ini ditulis bukan untuk sekadar menceritakan tentang beg Frakta, tetapi sebenarnya ditulis agar lebih ramai orang kita dapat mengambil berat prinsip rekaan sesuatu produk - walau sekecil mana pun peranannya. Jika kita berbincang tentang rekaan beg plastik, pasti tak ramai yang mahu mengambil berat tentangnya.

Namun pereka IKEA nampak sangat-sangat mengambil berat proses penghasilannya, bermula daripada rekaannya yang memudahkan, sangat praktikal serta dijual pada harga yang sangat murah. Semua elemen yang dipandang ringan inilah sebenarnya yang menjadikan Frakta salah satu produk terlaris IKEA sejak dulu sehingga sekarang.

Setiap hari kita akan berdepan dengan sesuatu masalah. Beg biru ikonik yang hodoh bernama Frakta ini amat berjaya kerana perekanya menawarkan solusi kepada masalah harian itu, dalam cara yang mudah dan murah. Sekiranya anda mahu produk anda berjaya - jadikan itu matlamat anda.




Hakcipta iluminasi.com (2017)