Oleh pada 30 Jul 2019 kategori

Tidak ramai yang mengetahui kisah di sebalik filem The Last Samurai lakonan Tom Cruise yang popular pada tahun 2003. Watak Kapten Algren yang dibawa Cruise sebenarnya berdasarkan watak nyata seorang pegawai tentera Perancis bernama Jules Brunet. 

Perang Boshin

Pada abad ke-19, Jepun adalah sebuah negara tertutup dan hubungan dengan dunia luar adalah amat terbatas. Namun, semuanya berubah apabila seorang komandan laut Amerika iaitu Matthew Perry muncul di pelabuhan Tokyo dengan armada kapal-kapal moden pada tahun 1853.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Buat pertama kalinya, Jepun terpaksa membuka dirinya ke dunia luar. Setahun kemudian, Jepun menandatangani Perjanjian Kanagawa yang membenarkan kapal-kapal Amerika untuk berlabuh di pelabuhan Jepun. Amerika juga telah menubuhkan pejabat konsulatnya di Shimoda.

Keadaan ini mengejutkan Jepun dan seterusnya memisahkan negara ini sama ada ia harus dimodenkan seperti negara lain atau kekal tradisional. Hasil pepecahan ini, berlakunya Perang Boshin yang juga dikenali sebagai Revolusi Jepun pada tahun 1868-1869.

perang boshin

Perang Boshin

Di satu pihak, tokoh-tokoh berkuasa cuba membaratkan Jepun dengan memulihkan kuasa Maharaja Meiji. Di pihak bertentangan pula ialah pemerintahan Shogun Tokugawa yang ingin meneruskan pemerintahan tentera elit Samurai yang memerintah Jepun sejak tahun 1192.

Walaupun pemimpin Shogun Tokugawa iaitu Yoshinobu bersetuju untuk menyerahkan kuasa kepada maharaja, peralihan damai itu menjadi ganas apabila Maharaja diyakinkan untuk mengeluarkan keputusan bagi membubarkan penguasaan Tokugawa itu.

Protes yang ditunjukkan Shogun Tokugawa telah menyebabkan berlakunya perang. Pada waktu itu, Jules Brunet sudahpun berada di Jepun ketika perang mula tercetus.

Peranan Jules Brunet dalam kisah benar The Last Samurai

pegawai tentera perancis jules brunet

Pegawai tentera Perancis Jules Brunet

Dilahirkan pada 2 Januari 1838 di Belfort, Perancis, Jules Brunet telah memulakan kerjaya ketenteraannya dalam pasukan artileri (meriam). Dia mula terlibat dalam perang semasa campur tangan Perancis di Mexico dari 1862-1864 di mana dia dianugerahkan Légion d'honneur, penghormatan tertinggi ketenteraan Perancis.

Pada tahun 1867, pemerintahan Shogun Tokugawa telah meminta pertolongan dari Napoleon III (anak saudara Napoleon Bonaparte) yang memerintah Empayar Perancis Kedua untuk memodenkan tentera mereka. Brunet adalah pakar artileri yang dihantar bersama satu pasukan penasihat tentera Perancis yang lain.

Kumpulan itu ditugaskan untuk melatih tentera baru Shogun tentang cara menggunakan senjata dan taktik moden. Malangnya bagi unit tentera baru itu, perang saudara tercetus hanya setahun kemudian antara kerajaan Shogun dan kerajaan Maharaja.

jules brunet bersama samurai ketika perang boshin

Jules Brunet, duduk dua dari kiri bersama Samurai ketika Perang Boshin

Pada 27 Januari 1868, Brunet dan Kapten Andre Cazeneuve, mengiringi Shogun dan tenteranya berarak ke ibu kota Kyoto. Tujuan mereka adalah untuk menghantar surat kepada Maharaja untuk menarik balik keputusannya melucutkan kekuasaan Shogun Tokugawa.

Namun, tentera Shogun itu tidak dibenarkan masuk dan ditahan oleh tentera pembesar Satsuma dan Choshu yang merupakan dalang di sebalik keputusan Maharaja Meiji. Tentera Satsuma dan Choshu kemudian diarahkan untuk melepaskan tembakan ke arah tentera Shogun.

Kejadian itu merupakan konflik pertama dalam Perang Boshin yang dikenali sebagai Pertempuran Toba-Fushimi. Walaupun Shogun mempunyai kekuatan seramai 15,000 orang berbanding tentera Satsuma-Choshu yang hanya berjumlah 5,000 sahaja tetapi mereka mempunyai satu kelemahan kritikal iaitu kelengkapan senjata.

gatling gun tentera satsuma choshu

Senapang Gatling yang digunakan tentera Satsuma-Choshu

Tentera Shogun ketika itu menggunakan senjata yang ketinggalan zaman seperti pedang dan tombak manakala tentera Maharaja pula menggunakan senjata yang lebih moden seperti senapang patah, meriam dan senapang Gatling.

Pertempuran itu berlangsung selama empat hari dan kemenangan berpihak pada tentera Maharaja. Ini menyebabkan ramai pembesar Jepun untuk beralih arah dari pihak Shogun kepada Maharaja Meiji. Jules Brunet dan Laksamana Shogun, Enomoto Takeaki, telah melarikan diri ke utara ke ibu kota Edo (kini Tokyo) menaiki kapal perang Fujisan.

Hidup bersama Samurai

samurai shogun semasa perang boshin

Samurai Shogun semasa Perang Boshin

Ketika ini, negara-negara asing termasuk Perancis bersumpah untuk menjadi berkecuali dalam konflik ini. Maharaja Meiji yang kembali berkuasa memerintahkan penasihat Perancis untuk pulang kerana mereka melatih musuh-musuhnya iaitu tentera Shogun Tokugawa.

Walaupun kebanyakan rakannya bersetuju tetapi Brunet enggan. Dia memilih untuk tinggal dan berjuang bersama Tokugawa dan menyatakan hasratnya itu melalui surat yang ditulisnya kepada Napoleon III.

Sehingga hari ini, tidak diketahui motif sebenar mengapa Brunet bertindak sedemikian. Jika dilihat dari wataknya, Brunet mungkin terkesan dengan semangat ketenteraan Samurai Tokugawa dan merasakan adalah tugasnya untuk membantu mereka. Walau apapun, dia kini dalam bahaya tanpa perlindungan daripada kerajaan Perancis.

Kejatuhan Samurai

tokugawa yoshinobu

Tokugawa Yoshinobu, pemimpin Shogun Tokugawa

Di Edo, tentera imperial sekali lagi menang besar apabila Yoshinobu selaku pemimpin Shogun Tokugawa membuat keputusan untuk tunduk kepada Maharaja dengan menyerahkan kota itu. Kini, hanya pasukan kecil tentera Shogun yang masih terus bertempur.

Walaupun begitu, Laksamana Shogun, Enomoto Takeaki, masih enggan menyerah diri dan menuju ke utara dengan harapan mendapat kerjasama dari suku Samurai Aizu. Mereka menjadi teras kepada Gabungan Utara yang disertai baki pembesar-pembesar yang enggan tunduk kepada Maharaja.

Gabungan itu terus berjuang dengan berani menentang kuasa imperial di Utara Jepun. Malangnya, mereka juga turut kalah kerana tidak mempunyai senjata moden menjelang November 1868.

enomoto takeaki

Enomoto Takeaki, Laksamana Shogun Tokugawa

Brunet dan Enomoto kemudian melarikan diri pula ke utara Hokkaido. Di sini, pemimpin Tokugawa yang tersisa menubuhkan Republik Ezo yang meneruskan perjuangan mereka menentang kuasa maharaja. Walaupun Brunet memilih pihak yang besar kemungkinan untuk kalah tetapi menyerah bukanlah satu pilihan.

Pertempuran besar terakhir Perang Boshin berlaku di bandar pelabuhan Hakodate, Hokkaido. Peperangan ini berlanjutan selama setengah tahun dari Disember 1868 hingga Jun 1869. Kira-kira 7,000 tentera Maharaja bertempur melawan 3,000 pemberontak Tokugawa. Sekali lagi disebabkan jurang teknologi senjata, pihak Tokugawa kalah walaupun sudah melakukan yang terbaik.

Jules Brunet melarikan diri dari Jepun

tentera shogun menerima latihan daripada pegawai perancis

Tentera Shogun menerima latihan daripada Brunet dan rakan-rakannya

Sebagai pejuang berprofil tinggi di pihak yang dianggap pemberontak, Brunet kini antara orang paling dikehendaki di Jepun. Mujurlah, sebuah kapal Perancis berjaya membawanya keluar dari Hokkaido tepat pada masanya. Dia dibawa ke Saigon, Vietnam, sebelum kembali ke Perancis.

Walaupun kerajaan imperial Jepun menuntut Brunet menerima hukuman kerana sokongannya terhadap Shogun dalam perang, kerajaan Perancis tidak melakukannya kerana kisah Brunet telah mendapai sokongan orang ramai.

Enam bulan kemudian, dia dimasukkan semula dalam Tentera Perancis dan menyertai Perang Franco-Prussian dari 1870-1871 di mana dia menjadi tawanan ketika Pengepungan Metz.

jules brunet 754

Brunet terus memainkan peranan penting dalam ketenteraan Perancis. Sementara itu, bekas rakannya Enomoto Takeaki telah diampunkan dan dinaikkan pangkat kepada Timbalan Laksamana Angkatan Tentera Laut Imperial Jepun. Dia kemudian menggunakan pangkatnya untuk mempengaruhi kerajaan Jepun untuk mengampunkan Brunet.

Dalam 17 tahun seterusnya, Jules Brunet telah dinaikkan pangkat sebanyak beberapa kali. Dia mempunyai karier hebat sebagai seorang tentera sehinggalah kematiannya pada tahun 1911. Walaupun kisahnya tidak diceritakan dengan begitu tepat dalam filem The Last Samurai tetapi ia merupakan peringatan hebat untuk dirinya.

Rujukan:

1. War History Online

2. Isaac Meyer

3. Deviant Art




Hakcipta iluminasi.com (2017)