Kredit foto: Instagram Wan Dazrin & Instagram Aliff Syukri
Pendakwah Wan Dazrin menegur usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri kerana disifatkannya telah melakukan penipuan secara terang-terangan dalam perniagaan.
Wan Dazrin Wan Din berkata, perniagaan penutup hidung dan mulut (face mask) yang dijalankan Aliff adalah tidak jujur dan satu dosa besar serta haram di sisi Islam.
"Sesungguhnya Datuk Aliff Syukri telah menipu dengan penjualan face mask. Ini bukan lagi satu kelucuan, ini satu pendustaan yang terang-terangan wujud ketika mengiklankan produknya ketika berniaga.
"Perbuatan Datuk Aliff Syukri jelas haram dan jika berterusan, maka ia akan menjadi bagian dari dosa besar... dia perlu bertaubat pada Allah SWT dan meminta maaf pada semua yang telah mendengar marketing penipuan dalam penjualan produk face mask yang mungkin akan mengancam nyawa buat siapa yang telah membelinya.
"Jelas, air menitis dengan laju (bocor) walaupun hanya diletakkan sedikit sahaja. Kemudian, cepat-cepat disorokkan ketepi bila nampak kebocoran berlaku disitu dan mengatakan ia produk berkualiti. Sudahlah jual produk yang defective (tidak sempurna), kemudian menipu dalam penghebahan penjualan pula," katanya.
Baca: Biodata Usahawan Kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri
Baca: Biodata Datin Shahida, Isteri Datuk Seri Aliff Syukri
Kredit foto: Instagram Wan Dazrin
Wan Dazrin membuat kenyataan menerusi entri laman Instagram yang dikongsi pada Ahad.
Ia berikutan video Instagram siaran langsung Aliff yang sebelum ini tular kerana demonstrasi air yang dicurahnya ke penutup mulut dan hidung itu tidak menjadi.
Aliff mendakwa topeng muka berkenaan mampu menahan serapan air, namun lain pula jadinya apabila air yang dicurahkan terus menitis ke bawah.
Ia mengundang kemarahan orang ramai kerana menganggap usahawan itu telah mempromosikan produknya secara berlebihan-lebihan.
Dalam pada itu, Wan Dazrin berkata, pemakai topeng yang dijual Aliff berkemungkinan bakal terdedah kepada bahaya.
Pendakwah kelahiran program Da'i TV3 itu meminta jutawan itu segera bertaubat, lalu menghentikan percubaannya untuk menipu para pengguna.
"Sesungguhnya Datuk Aliff telah mencipta rantaian dosa yang tidak terperi jika berniaga seperti ini. Face mask adalah sangat penting untuk membasmi kuman dan virus dari orang yang memakainya.
"Mana mungkin face mask yang dijual oleh Datuk Aliff tersebut dapat menjalankan peranan untuk melindungi orang lain dari si pemakainya dan ini bahaya, bahkan mungkin akan terus memberi ancaman penyakit pada yang lain.
"Saya dibenarkan tegur terbuka dalam kes seperti ini kerana ia satu hal yang membawa keburukan pada semua. Datuk Aliff, sila hentikan penjualan produk face mask ini... bertaubatlah kepada Allah, takutlah pada azab orang-orang yang menipu dalam perniagaan," katanya.
Di kesempatan sama, Wan Dazrin yang memohon kesedaran Aliff, menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati dalam melakukan pembelian topeng muka selaras dengan piawaian yang ditetapkan dari badan kesihatan dunia.
"Hari ini Allah SWT mungkin memberi kamu nikmat, tapi ingat, tidak semua nikmat itu baik untuk kamu di hari akhirat, terkadang ia rupanya bagian dari 'Istidraj'. Berhati-hatilah, ramai orang yang berniaga tergelincir jatuh masuk ke dalam neraka dan menerima azab yang perit dari Allah SWT.
"Kepada seluruh rakyat Malaysia, berhentilah dari membeli produk ini dan belilah face mask yang mematuhi piawaian sahaja, sesungguhnya dia telah menipu ketika berniaga dan orang-orang seperti ini tidak layak lagi dihormati dalam perniagaannya.
"Kita dibenarkan utk bersangka buruk kepada peniaga yang jelas dan terang-terangan menipu dalam perniagaan untuk lebih 'Ihtiyat' (berhati-hati dengannya). Semoga Allah jaga kita semua dari tipu daya seperti ini," katanya.
Sumber berita: Tolong berhenti menipu! Dai Wan tegur Aliff Syukri jual topeng bocor - “Perbuatan jelas haram dan akan jadi bagian dari dosa besar”