Oleh pada 24 Oct 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Akademi Fantasia & Instagram Datuk Aliff Syukri

Baru sahaja menutup tirainya Ahad lalu, program AF Megastar mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan netizen.

Rata-rata peminat pertandingan berkenaan mempertikaikan hadiah wang tunai yang hanya diberikan kepada juara, sedangkan empat finalis akhir lain pulang dengan tangan kosong.

Lebih hangat apabila penaja utama pertandingan itu, D'Herbs milik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman menjadi sasaran kemarahan netizen di media sosial.

aliff syukri kedekut bagi hadiah af megastar astro jawab 2

Kredit foto: Instagram Akademi Fantasia

Mengulas isu itu, Aliff menerusi kiriman terbaru Instagramnya menjelaskan situasi sebenar yang tidak diketahui ramai.

"Jangan salahkan saya. Kalau anda rasa hebat sangat, anda sahaja yang taja!

"Saya menaja berjuta-juta (ringgit). Hak hadiah semua bukan hak saya. Suka-suka kamu semua saja nak kutuk saya kedekutlah, bagi hadiah kat seorang pemenang sajalah.

"Kau ingat AF itu rancangan Aliff Syukri Kamarzaman ke? Tu rancangan Astro. Ingat bila kita taja, kita boleh buat suka-suka ke apa yang kita nak?

"Saya ni bayar berjuta untuk taja jadi kalau anda semua tak tahu baik anda diam sahaja," dedahnya beremosi.

Dalam pada itu, Ketua Format dan Program Realiti Astro, Namanzee Harris dalam sidang media yang berlangsung memberitahu semua finalis yang bertanding di peringkat akhir mendapat habuan masing-masing.

Malah, bintang AF Megastar yang beraksi di konsert mingguan juga menerima bayaran elaun dan bukanlah bertanding secara percuma.

"Kita anggap semua peserta artis profesional dan membayar mereka semua dengan jumlah sepatutnya setiap minggu.

"Walaupun kita hanya umumkan hadiah juara sahaja tetapi sebenarnya empat lagi finalis turut mendapat hadiah sama rata kerana tiada tempat kedua atau ketiga dalam AF Megastar.

"Jadi ia bukan isu sama ada hanya Idayu sahaja mendapat hadiah," ujarnya.

Pada konsert akhir lalu, Idayu yang dinobatkan sebagai juara mendapat ganjaran wang tunai RM100,000, pakej percutian 10 hari tujuh malam untuk dua orang ke Turki serta hadiah sampingan dan trofi daripada Astro.

Empat peserta lain yang turut bertanding ialah Marsha, Bob, Syamel dan Shahir.

Sumber berita: Mstar 




Hakcipta iluminasi.com (2017)