Oleh pada 21 Sep 2019 kategori

Jayabaya adalah seorang raja Hindu yang memerintah kerajaan Kediri purba (Jawa Timur) selama 24 tahun dari 1135 hingga 1179 Masihi. Dia terkenal kerana menjadikan kerajaan Jawa Timur sangat maju berbanding sebelum-sebelumnya.

raja jayabaya nostradamus indonesia 113

Selain itu, Jayabaya juga diingati kerana ramalan-ramalannya yang terkenal. Antara ramalannya yang menjadi kenyataan adalah kedatangan Belanda yang menjajah pulau-pulau Indonesia, 800 tahun selepas kematiannya. Dia merupakan antara raja paling terkenal dalam sejarah Indonesia.

Raja Kediri yang tersohor

Jayabaya berjaya memulihkan kedudukan sosial setelah Jawa bergelut dengan konflik yang besar. Permusuhan antara dua raja bersaudara yang memerintah di dua pulau bertentangan telah menyababkan Jawa terjerumus dalam perang. Apabila Jayabaya menjadi raja Kediri, dia berhasil menyatukan kedua-dua kerajaan.

peninggalan kerajaan kediri

Tapak peninggalan kerajaan Kediri

Di bawah pemerintahannya, Kediri menjadi makmur dan pertanian berkembang dengan pesat. Kekayaan dan pengaruh kerajaan Kediri didokumentasikan pada teks-teks Cina abad ke-13 yang ditulis oleh Zhou Qufei.

Dalam bukunya, Lingwai Daida, Zhou menulis tentang kerajaan Jawa yang makmur dan setaraf dengan kekayaan kerajaan China ketika itu. Ahli sejarah percaya Zhou menulis tentang kerajaan Kediri yang diperintah raja Jayabaya.

hikayat bharatayuddha

Jayabaya juga terkenal kerana minatnya yang mendalam terhadap seni, khususnya karya sesusasteraan Hindu pada masa itu. Dia sangat menyanjungi penyair-penyair terkenal pada zamannya seperti Empu Sedah dan saudaranya, Empu Penuluh. 

Empu Edah dan Empu Penuluh terkenal kerana menulis buku Bharatayudha iaitu kisah epik India, Mahabharata, dalam bahasa jawa kuno. Dalam buku mereka, nama Raja Jayabaya disematkan sebagai penaung mereka.

Nostradamus Indonesia

ramalan jayabaya

Seperti raja-raja sebelumnya, Jayabaya juga mendakwa dirinya adalah dari keturunan tuhan yang dihantar untuk memerintah bumi. Beberapa teks sejarah mendakwa Jayabaya adalah cucu-cicit tuhan kebijaksanaan Hindu iaitu Brahma, manakala sebahagian lagi mendakwa dia adalah jelmaan semula Wisnu iaitu dewa yang menjaga keseimbangan baik dan buruk dunia.

Atas dakwaan ini, kepercayaan rakyat semakin kuat bahawa Jayabaya memiliki kemampuan ajaib. Raja itu dikatakan menulis sendiri satu siri ramalan yang dikenali sebagai Serat Jayabaya. Salah satu salinan tertua Serat Jayabaya telah diterjemahkan pada tahun 1835, 700 tahun selepas raja itu hidup.

nostradamus

Nostradamus

Sesetengah ramalan Jayabaya agak samar-samar dan sukar untuk ditafsirkan, sama seperti Nostradamus. Bagi yang tidak mengenalinya, Nostrdamus atau Michel de Nostredame (1503-1566) adalah seorang ahli astrologi yang menulis buku Les Propheties. Di dalamnya terkandung 942 puisi yang meramal kejadian masa hadapan. Ada beberapa ramalan terkenalnya menjadi kenyataan.

Namun, ramalan Jayabaya masih sangat popular dan penting secara politik. Ramalannya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap kebudayaan Indonesia khususnya Jawa selama beberapa abad kemudian.

Sesetengah lagi ramalan Jayabaya agak terperinci dan ada yang menjadi kenyataan. Ada ramalannya yang sangat tepat sehingga Jayabaya dianggap sebagai mistik di kalangan orang Jawa moden.

Ramalan menjadi kenyataan

belanda menjajah indonesia

Belanda menjajah Indonesia

Salah satu ramalan Jayabaya yang paling terkenal ialah tentang ketibaan orang kulit putih yang akan menjajah Jawa untuk masa yang sangat lama. Ramalan ini tepat menceritakan tentang Indonesia dijajah Belanda yang tiba di kepulauan itu pada 1595, lebih daripada 400 tahun selepas Jayabaya meramalnya.

Ramalan seterusnya pula menceritakan tentang orang berkulit kuning dari utara. Kedatangan mereka di Jawa mengakhiri kekejaman orang kulit putih di kepulauan itu. Namun, kedatangan kedua ini tidak begitu lama, hanya seperti jangka hayat tanaman jagung.

jepun menjajah indonesia

Ramalan ini sesuai dengan kedatangan Jepun yang menyerang Indonesia semasa Perang Dunia Kedua. Jepun yang menjajah Indonesia selama beberapa tahun (lebih daripada jangka hayat jagung yang hanya beberapa bulan) telah mengakhiri penjajahan Belanda ke atas Indonesia.

Beberapa lagi ramalan Jayabaya dilihat mempunyai persamaan dengan apa yang berlaku pada hari ini. Dia meramalkan ramai anak dara lanjut usia, janda-janda melahirkan anak tanpa suami (hasil luar nikah), wanita berpakaian lelaki, seks bebas menjadi biasa, rasuah berleluasa, kapal berlayar di udara (pesawat), gerabak bergerak tanpa kuda (kereta api) dan banyak lagi.

Ratu Adil

ratu adil

Ketika ini, kebanyakan ramalan Jayabaya telah berlaku di Indonesia. Ada satu lagi ramalan Serat Jayabaya yang dipercayai sesetengah orang, khususnya masyarakat Jawa masih lagi belum berlaku.

Jayabaya meramalkan tentang kedatangan seorang individu digelar "Ratu Adil" yang akan menyatukan seluruh Indonesia dan membawa negara itu kembali ke zaman keemasannya. Menurut Jayabaya, individu ini akan menjadi pemimpin terbesar yang pernah ada di tanah Jawa.

prabu jayabaya

Ramalan Ratu Adil ini sering menjadi agenda politik di Indonesia terutamanya ketika menghadapi kemelut politik. Ramalan ini pernah digunakan untuk membangkitkan semangat rakyat Indonesia ketika memperjuangkan kemerdekaan pada tahun 1945. Selain itu, setiap pemimpin negara itu merasakan diri mereka adalah "Ratu Adil" dalam ramalan Jayabaya.

Antara ramalan pelik Jayabaya yang dipercayai segelintir orang di Indonesia ialah tentang pengakhiran dunia. Jayabaya meramalkan bencana terakhir dunia akan berlaku pada tahun 2100 iaitu 81 tahun daripada sekarang.

Rujukan:

1. Raja Jayabaya a.k.a Nostradamus Indonesia

2. Ramalan Jayabaya yang menjadi kenyataan

3. Ramalan Raja Jayabaya mengenai Jawa dan Indonesia



Hakcipta iluminasi.com (2017)