Nusantara yang luas di Indonesia adalah tempat yang mempunyai pelbagai tradisi dan budaya yang unik. Diasingkan oleh laut, setiap pulau mempunyai bahasa, adat dan cara hidup mereka tersendiri.
Agama juga memberi impak ke atas asimilasi budaya dan mewujudkan masyarakat yang paling pelbagai di dunia. Dari situ timbul pelbagai upacara keagamaan yang unik dan mungkin agak asing bagi dunia luar. Kali ini kami ingin kupaskan mengenai salah satu ritual unik yang berlaku di Indonesia.
BESARKAN TEKS A- A+
Perayaan Yadnya Kasada
Pada sami melakukan perarakan di kaki gunung Bromo
Pesta atau perayaan Yadnya Kasada yang unik ini dilakukan di puncak Gunung Bromo yang merupakan salah satu gunung berapi yang aktif di Indonesia. Ritual memberi korban dan barang sesembahan akan dilakukan dengan membalingnya ke dalam kawah gunung berapi tersebut. Namun, tidak semua sesembahan berjaya sampai ke bawah.
Setiap bulan Jun, penganut Hindu suku Tengger di Probolinggo, Jawa Timur, Indonesia akan menyambut perayaan ini selama sebulan. Pada hari ke-14 perayaan ini, orang Tengger akan membuat perjalanan ke lereng-lereng Gurung Bromo untuk melakukan ritual korban mereka.
Penganut melemparkan bahan sesembahan mereka
Di sana, para penganut akan melemparkan harta benda mereka termasuk tanaman, ternakan, barangan, dan juga wang ke dalam kawah gunung berapi itu. Mereka percaya ia adalah cara terbaik untuk membebaskan masyarakat daripada sebarang penyakit dan bencana alam.
Namun, bagi sesetengah penduduk berdekatan yang agak oportunis, mereka tidak begitu percayakan ritual ini. Daripada melepaskan harta benda mereka untuk dijadikan sebagai korban, mereka sanggup untuk memasuki kawah gunung berapi yang aktif ini untuk meraih keuntungan daripada ritual korban harta benda yang paling luar biasa di dunia ini.
Legenda Roro Anteng dan Joko Seger
Patung Roko Anteng dan Joko Seger
Legenda menceritakan bahawa perayaan ini bermula sejak dari kurun ke-15 lagi. Kisahnya bermula apabila seorang raja Majapahit telah meninggalkan negerinya bersama permaisurinya dan beberapa orang pengikut setianya kerana kalah dalam perperangan. Mereka kemudian berhijrah ke lereng Gunung Bromo dan membangunkan penempatan baru di sana.
Pasangan diraja ini telah dikurniakan anak kedua yang diberi nama Puteri Roro Anteng dan dia membesar menjadi seorang wanita yang cantik. Apabila meningkat dewasa, dia telah dijodohkan untuk berkahwin dengan salah seorang jejaka di tempatnya yang bernama Joko Seger, anak kepada Brahmana.
Patung tinggalan dari kerajaan Majapahit
Setelah kematian ayahnya, Puteri Roro Anteng dan suaminya diangkat menjadi pemerintah. Suku Tengger yang baru ditubuhkan di bawah pemerintahan mereka telah berkembang biak dan membangun dengan pesat sekali. Namun, nasib pasangan diraja itu tidaklah begitu baik kerana mereka tidak dikurniakan cahaya mata setelah sekian lama berkahwin.
Terdesak untuk mendapatkan zuriat, pasangan itu telah mendaki puncak Gunung Bromo untuk menawarkan sesembahan mereka dan berdoa kepada Ida Sang Hyang Widhi Wasa, dewa tertinggi dalam agama Hindu di Indonesia dengan harapan permintaan mereka dimakbulkan.
Patung Sang Hyang Widhi
Diceritakan bahawa selepas itu dewa Sang Hyang Widhi memperkenankan doa mereka tetapi dengan syarat mereka perlulah mengorbankan anak mereka yang paling bongsu dengan mencampakkannya ke dalam kawah gunung berapi itu.
Roro Anteng dan Joko Seger bersetuju dan telah dikurniakan dengan anak seramai 25 orang. Demi memenuhi syarat perjanjian yang telah dipersetujui dengan dewa Sang Hyang Widhi, mereka telah mengorbankan anak bongsu mereka iaitu Kesuma untuk dijadikan korban dewa gunung itu.
Kebanggaan Suku Tengger
Suku Tengger di Desa Ngadas
Sejak dari kejadian itu, suku Tengger telah berkumpul setiap tahun untuk melakukan korban dengan menawarkan makanan, ternakan, barangan dan wang kepada Sang Hyang Widhi agar doa mereka diperkenankan selain dijauhkan penyakit dan bala bencana.
Perayaan Yadnya Kasada ini dikendalikan oleh orang Tengger yang antaranya adalah para penduduk Desa Ngadas dan dipercayai sebagai keturunan diraja kerajaan Majapahit yang suatu masa dahulu kuat dan terkenal di Jawa Timur pada kurun ke-13.
Candi Wringin Lawang
Setelah kejatuhan Empayar Majapahit, mereka telah melarikan diri dan berlindung di sebuah kuil ikonik di Gunung Bromo iaitu kuil Wringin Lawang di mana upacara perasmian perayaan Yadnya Kasada ini diadakan.
Walaupun Majoriti masyarakat Jawa pada hari ini telah memeluk agama Islam, namun suku unik ini masih terus berpegang pada keyakinan kuno mereka dari zaman Majapahit sampai ke hari ini.
Para penganut mendaki Gunung Bromo
Seperti penganut Hindu di Bali, suku Tengger menyembah Ida Sang Hyadi Widhi Wasa yang dianggap mereka sebagai tuhan, bersama dewa-dewa Trimuti yang lain seperti Brahma, Shiva, Vishny dan unsur-unsur tambahan Animisme dan Buddha Mahayana.
Pada pertengahan sambutan perayaan Yadnya Kasada ini, penganut-penganut Hindu Tengger akan mengembara ke Gunung Bromo sebelum matahari terbit lagi dan akan berdoa bersama-sama di atas puncak gunung sebelum membuang korban dan sesembahan mereka ke dalam kawah.
Penduduk tempatan menunggu untuk menyambut barang yang dibuang
Walaupun terdapat bahaya yang jelas, penduduk tempatan tidak melepaskan peluang untuk turun ke kawasan berhampiran kawah bagi menangkap dan menyambut barangan yang dibuang dari atas dan dipercayai akan membawa tuah.
Ekonomi pelancongan penduduk setempat
Menjelang perayaan ini, pelbagai pengusaha serta ejen pelancongan telah menyediakan pakej pelancongan berhubung perayaan yang bakal diadakan nanti. Pihak hotel dan pengusaha pengangkutan juga tidak terlepas menawarkan perkhidmatan yang bersesuaian untuk membawa para pengunjung bagi melihat atau mengambil bahagian dalam perayaan tradisi ini yang sentiasa menarik ribuan orang untuk datang baik dari dalam mahupun luar negara.
Tarian tradisional khas perayaan Yadnya Kasada
Terletak sekitar empat jam perjalanan dari Surabaya iaitu ibu kota Jawa Timur, Gunung Bromo di Kabupaten Probolinggo ini merupakan sebahagian daripada Taman Nasional Bromo-Tengger-Semeru yang merangkumi keluasan 800km persegi. Gunung Bromo ini juga dapat diakses melalui Kota Malang.
Walaupun gunung berapi aktif Bromo dengan ketinggian 2,392 meter ini mungkin kecil dibandingkan dengan gunung berapi lain di Indonesia, pemandangan dan landskap dramatiknya akan membuatkan para pengunjung akan berasa kagum.
Rujukan:
1. The Guardian
3. Daily Mail
4. Time