Penulisan ini ditulis Kapten Dhany Sarip TUDM, seorang Pegawai Undang-Undang TUDM di laman Facebook beliau dan pihak iluminasi mendapat kebenaran untuk mengulang siar penulisan ini untuk manfaat bersama. Penulisan ini telah disunting bagi memudahkan pembacaan.

Di antara salah satu pekerjaan yang paling sukar dan berbahaya di dunia adalah menjadi seorang tentera. Seperti yang umum tahu, tugas dan tanggungjawab tentera adalah menjaga dan memastikan keselamatan negara serta orang awam terjamin.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ia termasuklah berhadapan dengan krisis dan perang di sempadan negara. Tak kiralah sama ada tentera darat, udara atau laut, tugas mereka tersangatlah berat dan sukar.

Jadi, jangan sesekali menyertai angkatan tentera, melainkan anda betul-betul bersedia kerana:

1. Anda tidak boleh memohon untuk berhenti sesuka hati

jangan mimpi nak jadi tentera jika tak mampu 9 perkara ini 2

Profesion tentera bukan seperti pekerjaan lain. Dunia ketenteraan tidak seperti profesion lain yang membenarkan pekerjanya untuk memohon berhenti.

Tidak kira sama ada pemberhentian melalui notis, atau berpindah tempat kerja secara mengejut tanpa notis; itu bukanlah sebahagian dari etika kerja warga tentera. 

Warga tentera terikat dengan suatu tempoh perkhidmatan berdasarkan jenis pentauliahan. Tempoh tersebut adalah saling berbeza; 10 tahun, 13 tahun, 21 tahun dan lain-lain.

Walau berapa lama pun tempoh yang telah ditetapkan, warga tentera wajib untuk menghabiskan tempoh perkhidmatan tersebut. Justeru sekali bersama tentera, maka selamanya bersama tentera sehinggalah mencapai Tarikh Tamat Perkhidmatan (TTP).

Namun begitu dalam keadaan tertentu, warga tentera boleh diberhentikan atas beberapa sebab. Misalnya masalah perubatan yang telah disahkan oleh Lembaga Perubatan atau sabit kesalahan oleh Mahkamah Tentera dan telah dijatuhkan hukuman dibuang dari perkhidmatan.

2. Warga tentera tidak hanya tertakluk pada undang-undang awam meliputi undang-undang sivil dan undang-undang syariah

jangan mimpi nak jadi tentera jika tak mampu 9 perkara ini 3

Tetapi juga perlu patuh pada undang-undang tentera, yakni Akta Angkatan Tentera 1972 sebagai rujukan utama.

Warga tentera cukup sinonim dengan disiplin. Tanpa kualiti disiplin yang cemerlang, masakan warga tentera mampu untuk menjadi benteng pertahanan Negara; sama ada semasa dalam tempoh perkhidmatan giat atau tidak.

Perkhidmatan giat bermaksud dalam masa sedang bertempur di medan perang atau berada di suatu wilayah yang bergolak demi memelihara keamanan.

Di antara aspek utama yang menguji tahap disiplin warga tentera ialah kepatuhan terhadap undang-undang. Berbanding masyarakat awam, warga tentera perlu mematuhi satu lagi jenis undang-undang yakni Undang-Undang Tentera. Rujukan undang-undang ini adalah Akta Angkatan Tentera 1972 berserta undang-undang subsidiari yang lain.

Hakikatnya, terdapat sejumlah rujukan undang-undang yang perlu dipatuhi warga tentera selain akta tersebut. Contohnya adalah Kaedah-Kaedah Angkatan Tentera (KKAT), Peraturan-Peraturan Angkatan Tentera (PPAT), Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT), Perintah Tetap Pasukan, Direktif Panglima dan bermacam lagi.

Bayangkan berapa banyak beban yang perlu dipikul di pundak? Sedangkan undang-undang awam yang belum tentu berjaya diikuti sepebuhnya, didatangkan pula Undang-Undang Tentera. Namun tidak mustahil jika anda memang beriltizam untuk menjadi sebahagian dari famili besar Angkatan Tentera Malaysia.

3. Cuti dalam tentera hanyalah satu keistimewaan, bukan hak milik

jangan mimpi nak jadi tentera jika tak mampu 9 perkara ini 4

Anda boleh dipanggil kembali bertugas pada bila-bila masa. Namun begitu, kebajikan anda tetap akan dijaga dengan sebaiknya.

Ini adalah cabaran utama yang berkait rapat dengan moral warga tentera. Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa isu ini seringkali menjadi punca mengapa warga tentera melakukan kesalahan tidak hadir ke tempat kerja.

Sememangnya setiap pekerja di mana-mana lapangan pekerjaan mengimpikan beberapa hari cuti dalam setahun untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Termasuk juga warga tentera yang juga seorang manusia yang pastinya mempunyai nilai manusiawi.

Namun begitu, ada kalanya warga tentera tidak diberikan cuti kerana terlibat dengan tugasan tertentu, Khususnya mereka yang sedang bersibuk kerana terlibat dalam operasi atau sedang memikul senjata di perbatasan Negara.

Ini adalah harga yang terpaksa dibayar oleh warga tentera semata-mata untuk memastikan seisi rakyat dapat tidur lena lantaran bebas dari ancaman musuh atau anasir luar yang memudaratkan. Agar Malaysia yang tercinta bisa mengecapi keamanan.

Ada juga warga tentera yang sudah pulang bercuti, tetapi dipanggil semula untuk masuk bertugas. Ini terpaksa dilakukan juga dengan penuh keakuran, kerana cuti bagi warga tentera hanyalah suatu keistimewaan, bukan hak milik yang boleh dituntut sewenang-wenangnya.

4. Tidak hadir ke tempat kerja adalah satu kesalahan dalam tentera

jangan mimpi nak jadi tentera jika tak mampu 9 perkara ini 5

Kegagalan untuk tidak hadir ke tempat kerja dalam tempoh bawah enam jam adalah kesalahan di bawah Seksyen 58 Akta Angkatan Tentera 1972 iaitu Kesalahan Tidak Menghadiri Kewajipan atau Perbarisan.

Manakala dari tempoh 6 jam hingga 21 hari, kesalahan adalah di bawah Seksyen 55 Akta Angkatan Tentera 1972 iaitu Tidak Hadir Tanpa Cuti.

Untuk tempoh 22 hari dan seterusnya, dikira sebagai Tinggal Tugas di bawah Seksyen 54 Akta Angkatan Tentera 1972.

Tidak hadir ke tempat kerja mungkin kelihatan enteng bagi sesetengah pihak, tetapi tidak dalam perkhidmatan tentera. Malahan, Sijil Sakit yang diperolehi dari hospital atau klinik luar tidak boleh diterima dengan mudah melainkan mendapat pengesahan dari Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT).

Betapa tegasnya perkhidmatan tentera demi mengawal kehadiran warga tentera ke tempat kerja. Kegagalan untuk hadir ke tempat kerja tanpa justifikasi yang kukuh boleh menyebabkan pelaku didakwa dan dijatuhkan hukuman tertentu.

5. Dibicarakan terus oleh Pegawai Memerintah

jangan mimpi nak jadi tentera jika tak mampu 9 perkara ini 6

Ada sesetengah kesalahan yang dilakukan oleh warga tentera, oleh dibicarakan secara terus boleh Komander Rendah atau Pegawai Memerintah mengikut pangkat dan jenis kesalahan.

Sistem Undang-Undang Tentera terdiri dari beberapa peringkat. Dari serendah-rendah peringkat Komander Rendah dan diikuti Pegawai Memerintah, sebagai suatu penegasan bahawa tahap disiplin warga tentera sentiasa diperhatikan oleh pegawai atasan masing-masing.

Seandainya warga tentera terlibat dalam sebarang salah laku, maka bersedialah untuk dibicarakan.

6. Mahkamah Tentera juga menanti warga tentera yang melakukan kesalahan tertentu

jangan mimpi nak jadi tentera jika tak mampu 9 perkara ini 7

Peringkat yang lebih tinggi dalam sistem Undang-Undang Tentera adalah Mahkamah Tentera. Tidak ubah seperti mahkamah awam, pelaku kesalahan akan dibicarakan di mahkamah ini mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Contoh hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Tentera adalah; hukuman penjara tidak lebih dari tempoh empat belas tahun, dibuang kerja dengan keji dari perkhidmatan, dibuang dari perkhidmatan, lucutan kekananan pangkat, denda, amaran keras dan amaran.

Keberatan hukuman adalah bergantung pada tahap kesalahan yang telah dilakukan.

7. Bukan badan beruniform semata-mata

jangan mimpi nak jadi tentera jika tak mampu 9 perkara ini 8

Tentera bukan badan beruniform semata-mata, tetapi angkatan bersenjata yang bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan Malaysia.

Justeru, aspek disiplin sangat dititik beratkan. Sesetengah salah laku tampak remeh, tapi hakikatnya tinggi nilainya dalam menentukan kejituan disiplin warga tentera.  

Tahukah anda bahawa perkara-perkara tersebut dikira sebagai kesalahan dalam perkhidmatan tentera?

  1. Berpura-pura sakit sehingga menyebabkan diri tidak boleh berkhidmat (Seksyen 59 Akta Angkatan Tentera 1972)
  2. Mabuk semasa dalam premis tentera (Seksyen 60 Akta Angkatan Tentera 1972)
  3. Menyatakan maklumat tanpa kebenaran (Seksyen 79 Akta Angkatan Tentera 1972)
  4. Menganiaya pegawai atau anggota tentera yang berpangkat lebih rendah (Seksyen 81 Akta Angkatan Tentera 1972)

Itu belum ambil kira lagi perkara-perkara yang kelihatan lebih remeh. Antaranya:

  1. Memakai pakaian kepala bagi melengkapkan uniform seperti beret, ‘bowler hat’, ‘peak cap’ semasa memandu atau menjadi penumpang dalam kawasan premis tentera.
  2. Memberi hormat kepada pegawai atasan, sama ada dalam bentuk tabik hormat (salute) atau menegakkan tubuh dan mendada (chest up) berdasarkan kesesuaian.
  3. Melapor diri di Balai Pengawal sebelum keluar pangkalan bagi anggota bujang.

Macam mana? Boleh patuhi?

8. Perlanggaran disiplin boleh dikenakan tindakan undang-undang

jangan mimpi nak jadi tentera jika tak mampu 9 perkara ini 9

Justeru warga tentera perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Sebagaimana yang ditegaskan sebelum ini, setiap salah laku yang telah dilakukan oleh warga tentera akan diambil tindakan yang sewajarnya demi mendisiplinkan warga tentera.

Maka, warga tentera perlu sentiasa beringat agar rekod perkhidmatan mereka kekal bersih dari sebarang noda permasalahan disiplin.

9. Uniform yang tersarung di tubuh, pangkat yang disemat di bahu bukan kebanggaan semata-mata

jangan mimpi nak jadi tentera jika tak mampu 9 perkara ini 0

Ia ada amanah yang perlu dipikul. Jangan jadi tentera yang langsung tidak boleh dijentik. Ada pun budaya buli dan salahguna kuasa yang sering menjadi kerisauan, undang-undang untuk mengekang sentiasa ada.

Warga tentera perlu mengetahui hak mereka dua-dua salah laku yang berkait rapat dengan isu kemanusiaan dan integriti ini. Pastikan saluran yang betul diguna pakai agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil.

Kesimpulan

Justeru jika rasa tidak mampu, jangan sekali-kali bermimpi untuk cop sepuluh jari. Kelak anda akan menutup peluang kepada mereka yang benar-benar layak dan berupaya untuk menyarung uniform sebagai warga tentera.

Tetapi jika anda bersiap siaga untuk hidup sebagai seorang soldadu, selamat datang ke Angkatan Tentera Malaysia!

Nota: Penulisan ini adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili organisasi ATM, TUDM atau mana-mana entiti yang bernaung di bawahnya




Hakcipta iluminasi.com (2017)