Tanggungjawab ibu bapa adalah mendidik dan memelihara anak-anak dengan penuh kasih sayang. Tanggungjawab menjaga anak perempuan adalah di bawah tanggungjawab bapa, selagi mana perempuan tersebut belum berkahwin. Apabila sudah berkahwin, maka tanggungjawab menjaga dan memelihara seorang perempuan itu terletak sepenuhnya pada suami.
Dalam Islam, walaupun sudah berkahwin, tanggungjawab no 1 seorang lelaki dan suami itu tetap pada ibu bapanya, diikuti pula oleh isterinya. Namun begitu, itu tidak bermakna ibu bapa boleh memaksa anak lelaki mereka melebihkan mereka sehingga mengabaikan isteri sendiri.
BESARKAN TEKS A- A+
Malangnya, ini realiti yang terjadi dalam masyarakat. Mengikut statistik, banyak kes perceraian yang sebenarnya berpunca daripada ibu bapa sendiri. Artikel ini ditujukan kepada golongan muda yang sudah mahupun yang akan menjadi ibu bapa suatu hari nanti, dan bakal mendapat menantu apabila anak-anak sudah besar kelak.
1. Mencampuri Urusan Rumah Tangga Anak-Anak
Apabila anak-anak sudah berkahwin, adalah menjadi satu kemestian bagi suami dan isteri untuk berbincang sebelum membuat sesuatu keputusan. Sebagai ibu bapa, sekiranya tidak diminta pendapat lebih baik kiranya kita diam sahaja. Sekiranya anak atau menantu bertanyakan pendapat kita, barulah kita memberi pendapat.
Malangnya, ada ibu bapa yang suka mencampuri urusan rumah tangga anak-anak. Mereka mempertikaikan keputusan yang dibuat anak-anak sehingga si suami dan isteri bertelagah. Ya, memang benar seorang anak wajib mendengar kata ibu bapa namun ibu bapa tiada hak sama sekali membuat keputusan dalam rumah tangga anak-anak.
2. Membebankan anak-anak dengan hutang
Sebagai seorang anak yang baik, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membalas jasa ibu bapa. Ya, memang jasa mereka tidak terbalas tetapi balaslah sekadar yang termampu tidak kira dengan wang, tenaga ataupun masa. Malangnya, ada ibu bapa yang suka mengambil kesempatan terhadap anak-anak dengan membebankan mereka dengan hutang.
Mereka meminta-minta sesuatu sehingga menyebabkan anak-anak terpaksa berhutang atau ikat perut. Golongan ibu bapa ini adalah golongan zalim yang berpendapat setiap permintaan mereka harus dituruti tanpa memikirkan bahawa anak mereka juga mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga mereka sendiri. Usahlah menyusahkan anak-anak, mereka juga mempunyai komitment lain yang memerlukan duit.
3. Mengongkong anak-anak
Apabila sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, kehidupan anak-anak tidak lagi tertakluk terhadap kebenaran ibu bapa sendiri. Sebaliknya, mereka hanya perlukan persetujuan pasangan mereka. Malangnya, ada sesetengah ibu bapa yang suka mengongkong anak-anak mereka.
Kes ini banyak terjadi apabila si anak dan pasangannya tinggal di rumah ibu bapa. Segala gerak-geri anak dan pasangannya mahu dikawal. Ada juga beberapa kes pelik tetapi benar-benar berlaku seperti ibu bapa tidak benarkan suami tidur dengan isteri, ibu bapa tidak benarkan anak-anak balik ke rumah mertua dan sebagainya.
4. Pilih bulu
Kebanyakan anak-anak zaman sekarang berkahwin dengan pilihan mereka sendiri. Sekiranya ibu bapa yakin dengan anak mereka sendiri, mereka juga harus yakin pilihan anak mereka adalah yang terbaik buat diri mereka. Malangnya, ada ibu bapa yang melayan menantu dengan cara dan layanan yang berbeza. Sebagai contoh, sekiranya menantu tersebut seorang yang bekerjaya dan berjaya, mereka akan dilayan dengan baik sekali sebaliknya sekiranya seorang menantu itu hanyalah seorang berpendapatan rendah atau tidak digemari oleh ibu bapa, maka dilayannya seperti orang asing.
Kepada ibu bapa, ingatlah bahawa pilihan anak-anak untuk berkahwin dengan pasangan adalah yang terbaik buat diri mereka. Anggaplah ianya sudah ketentuan jodoh. Janganlah kita menjadi kolot seperti mahukan seorang menantu yang bekerja sebagai cikgu atau mahukan seorang menantu dari kawasan berdekatan sahaja kerana semua kriteria itu tidak menjamin kebahagiaan. Cukuplah seorang yang dapat menjaga dan membuat anak kita bahagia dalam perkahwinan dan rumah tangga yang dibina.
Sesungguhnya pesanan ini ditujukan kepada golongan muda-mudi seperti kebanyakan pembaca yang akan mendapat menantu satu hari nanti.