Oleh pada 08 Nov 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Muzik Muzik

Lagu Jangan Menangis nyanyian Aizat Amdan masih layak bertanding di Anugerah Juara Lagu (AJL) meskipun pernah diterbitkan dalam bahasa Mandarin sebelum ini.

Kata Penerbit Eksekutif Muzik Muzik 32, Nurul Huda Khalid, ini berikutan karya itu bukanlah lagu saduran serta tidak melanggar syarat pencalonan AJL.

"Kami juga baru tahu tentang lagu itu semalam, namun ia bukan sesuatu yang melanggar syarat pertandingan.

"Lagu versi asal dalam bahasa Mandarin itu adalah daripada komposer yang sama dan bukan lagu saduran. Kalau ia lagu saduran memang tidak layak," katanya memetik laporan Mstar Online.

Terdahulu, isu lagu dalam genre balada itu menjadi tular pada Selasa selepas diwar-warkan pernah terbit dalam versi Mandarin pada tahun 2015.

Dalam pada itu, Nurul Huda menegaskan, lagu tersebut juga tidak pernah dicalonkan dalam penerbitan Muzik-Muzik musim lalu.

"Syarat untuk menyertai AJL salah satunya ialah lagu itu belum pernah menghantar pencalonan untuk bertanding.

"Ia seperti lagu Anak Kampung nyanyian Jimmy Palikat yang pernah diterbitkan beberapa tahun sebelum One Nation Emcee nyanyikannya semula.

"Kami terima penyertaan mereka kerana sebelum ini lagu tersebut tidak pernah dipertandingkan," jelasnya.

Jangan Menangis adalah ciptaan Aizat Amdan bersama Mike Chan dan Faizal Tahir.

Sebelum ini iaitu pada tahun 2015, melodi yang sama pernah didendangkan penyanyi dari China, Hua Chen Yu dalam versi Mandarin berjudul King & Beggar.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)