Kredit foto: Media Hiburan & Instagram Fattah Amin
Penyanyi dan komposer Aizat Amdan mempunyai pendapat tersendiri berkenaan kebolehan vokal aktor Fattah Amin.
Menurut Aizat atau nama penuhnya Muhammad Aizat Amdan, kecaman yang diberikan sesetengah pihak terhadap pelakon itu tidak adil memandangkan Fattah mempunyai kualiti vokal yang tidak terdapat pada penyanyi lain.
"Sebenarnya agak tidak wajar apabila pelbagai kecaman dilemparkan kepada Fattah kerana bagi saya Fattah mempunyai mutu vokal yang unik daripada orang lain.
"Jujur saya katakan lagu Wanita Terakhir itu bukan mudah untuk saya nyanyikan dan hanya Fattah sahaja yang boleh bawakan lagu itu dengan caranya yang tersendiri," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.
Aizat membuat kenyataan tersebut di Program Jom Bercuti Bersama Aizat Amdan Dan Nastia yang berlangsung di Hotel Frangipani Langkawi Resort And Spa, Kedah, baru-baru ini.
Kredit foto: Instagram Aizat Amdan
Dalam program itu, enam peminat bertuah dibawa bercuti bersama artis pujaan mereka di Pulau Langkawi.
Projek itu dianjurkan atas kerjasama Warner Music Malaysia, Astro Gempak dan Hotel Frangipani Langkawi Resort And Spa.
Dalam pada itu, Aizat melahirkan perasaan kagum dengan kesungguhan pelakon Hero Seorang Cinderella itu dalam memperbaiki kelemahan nyanyiannya.
Malah Aizat yang juga merupakan komposer kepada lagu-lagu Fattah menyifatkan aktor itu mempunyai aura untuk lebih maju ke hadapan.
"Bagi saya setiap orang boleh menyanyi termasuklah Fattah dan saya nampak dia ada kesungguhan serta sedang berusaha menjadi seorang penghibur serba boleh.
"Saya nampak dia berusaha kearah itu dan tidak dinafikan Fattah mempunyai aura tersendiri untuk lebih berjaya pada masa akan datang," katanya lagi.
Sumber berita: Astro Gempak