Pembentukan sistem imuniti semulajadi badan melalui pembentukan antibodi dipercayai merupakan senjata utama manusia melawan jangkitan virus penyebab Covid-19.

Selain itu, peranan vaksin yang sedang diusahakan lebih 70 syarikat di seluruh dunia dipercayai bakal mampu menjadi perisai awal seandainya jangkitan ini merebak kembali di masa hadapan.

Pada ketika ini, pembentukan antibodi semulajadi merupakan kaedah utama bagi pihak perubatan mengenalpasti adakah jangkitan pernah berlaku pada seseorang. Dengan kewujudan antibodi dalam badan, isyarat tu menandakan badan sedang atau pernah melawan virus SARS-CoV-2.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Persoalannya di sini - adakah pembentukan sistem imuniti badan selepas jangkitan benar-benar mampu melindungi kita atau sebaliknya?

Berapakah jangka hayat antibodi Covid-19?

covid 19 antibodi imuniti

Anda perasan tak, masa kita kecil mak ayah kita ada yang berusaha menjangkitkan kita dengan penyakit demam campak (chickenpox) supaya kita tidak lagi akan dijangkiti penyakit itu bila dewasa? Mesti ada yang pernah lalui situasi tu. Kenapa itu dilakukan?

Ini kerana jangkitan demam campak akan menyebabkan seseorang individu itu akan mempunyai sistem perlindungan sendiri melalui pembentukan antibodi yang melindungi kita sepanjang hayat. Hanya dalam kes-kes kecil saja, seseorang individu mampu dijangkiti demam campak untuk kali kedua.

Dalam kes jangkitan penyakit tetanus yang menyebabkan rahang seseorang terkunci sehingga mampu membawa maut, proses vaksinasi perlu dilakukan secara berkala. Ini disebabkan oleh ketidakmampuan tubuh kita menghasilkan antibodi yang mencukupi/berpadanan untuk membuatkan kita lali kepada jangkitan sama.

Usaha untuk menjangkitkan kita agar dijangkiti demam campak akan menghasilkan sistem imuniti yang dikategorikan sebagai imuniti pasif. Suntikan vaksin melawan tetanus pula dilabelkan sebagai imuniti aktif.

Semua antibodi yang terbentuk sama ada bentuk aktif atau pasif mempunyai tempoh dan jangka hayat yang berbeza, bertugas sepanjang hayat ataupun hanya untuk satu tempoh tertentu.

Bagaimana dengan antibodi Covid-19?

Kes-kes jangkitan semula Covid-19

covid 19 jangkitan semula korea selatan

Kita sedang melalui bulan ke 5 fasa jangkitan Covid-19 sekiranya laporan pertama jangkitannya diambil sebagai titik mula. Dalam tempoh 5 bulan ini, masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang kesimpulan tentang sifat-sifat antibodi yang terhasil akibat jangkitan Covid-19.

Walaupun demikian, gambaran awal apakah sistem imuniti yang bakal terbentuk selepas jangkitan berlaku memberikan rasa kurang enak.

Ini berdasarkan kepada kes-kes jangkitan semula yang berlaku kepada pesakit yang dipercayai sembuh di Korea Selatan menyulitkan situasi. Secara rasmi negara itu melaporkan 111 kes sebegitu ditemui pada pesakit mereka.

Seandainya kes sebegitu dijadikan ukuran, ini menandakan keupayaan sistem imuniti bersifat pasif yang terbentuk belum memadai untuk melawan jangkitan sepenuhnya.

Bagaimanapun, pendapat beberapa pakar perubatan lain di negara tersebut pula menyifatkan ujian yang dijalankan selepas pesakit dirawat, tidak cukup sensitif untuk mengesan kehadiran virus sehingga menyebabkan keputusan ujian negatif membolehkan pesakit pulang.

Dalam erti kata lain, ada kesilapan berlaku.

Bagaimanapun, satu lagi kajian di Shenzhen menunjukkan wujudnya kes-kes serupa, apabila 38 daripada 262 pesakit didapati kembali positif jangkitan Covid-19 selepas dibenarkan pulang ke rumah.

Penemuan-penemuan ini menyokong antara penemuan terawal di Wuhan pada bulan Februari 2020, apabila 4 orang petugas perubatan China didapati positif semula jangkitan selepas tempoh 5 hari dibenarkan pulang ke rumah dan diisytihar sembuh.

Dalam kes itu - semasa jangkitan kali pertama, kumpulan pesakit menampakkan simptom-simptom yang biasa kedengaran seperti batuk, demam dan masalah pernafasan. Dalam jangkitan kedua, mereka langsung tidak menampakkan sebarang simptom walaupun mereka sebenarnya masih (atau kembali) dijangkiti dan positif apabila diuji.Setakat ini kita belum ada kata putus mereka kembali dijangkiti atau sebenarnya mereka telah dibenarkan pulang terlebih awal, tanpa benar-benar sembuh. Itulah situasnya sekarang ini.

Apa yang kita tahu dan belum tahu tentang imuniti terhadap Covid-19?

wanita topeng muka jangkitan covid 19

Sekiranya durasi imuniti jangkitan SARS 2003 dan MERS 2012 dijadikan ukuran, dianggarkan antibodi seseorang yang terhasil berdasarkan dua wabak itu mampu bertahan 2 tahun atau 3 tahun.

Kajian peringkat awal yang sedang dijalankan kumpulan penyelidik di Pusat Penyelidikan Perubatan Erasmus, Rotterdam, Belanda serta penyelidikan yang dilakukan oleh kumpulan penyelidik dari Harvard, menganggarkan kemampuan antibodi yang terbentuk secara pasif untuk melawan jangkitan Covid-19 mampu bertahan sekurang-kurangnya 1 tahun.

Durasi ketahanan antibodi itu pula bergantung kepada tahap kesihatan seseorang, mungkin lebih lama atau lebih singkat.

Berbeza dengan jangkitan SARS yang berlaku pada tahun 2003, Covid-19 diramalkan akan terus berlaku dalam skala lebih kecil untuk tempoh beberapa tahun disebabkan oleh cara transmisi virus yang senang berpindah dari seorang individu kepada individu lain.

Kadar jangkitannya pula dijangka akan mula perlahan selepas semakin ramai individu membentuk imuniti pasif semulajadi, akibat daripada jangkitan yang berlaku.

Kaedah yang lebih cepat berbanding bergantung dengan imuniti pasif adalah melalui suntikan vaksin. Malangnya, vaksin juga masih dalam peringkat pembangunan. Kita juga tidak dapat menjawab soalan adakah kita akan perlu mengambil vaksin secara berkala atau hanya sekali cucuk selamanya terjaga?

Walau apa pun, harap tidak adalah mak ayah yang sengaja jangkitkan anak dengan Covid-19 dengan harapan dia akan kebal selepas itu, ya?

Rujukan

They Recovered From the Coronavirus. Were They Infected Again?

Why SARS will not return: a polemic




Hakcipta iluminasi.com (2017)