Ruang angkasa dipenuhi dengan pelbagai misteri yang mendorong para penyelidik mengkajinya. Namun, terdapat satu fenomena yang dikenali sebagai fast radio burst atau FRB mungkin yang paling sukar difahami.

Denyutan radio yang berlaku dalam masa singkat ini datang jauh dari luar Galaksi Bima Sakti. Ia hanya bertahan selama 1 per 1000 saat atau 1 milisaat. Lebih misteri lagi, isyarat radio ini ada kalanya berulang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Fast Radio Burst yang misteri

Dalam kebanyakan kes, pengulangan isyarat radio ini berlaku secara sekali-sekala dan tanpa corak. Walau bagaimanapun, sekumpulan penyelidik dari Kanada telah mengesan satu isyarat yang berulang secara berkala setiap 16 hari.

Denyutan radio itu dipercayai berasal dari galaksi yang terletak sejauh 500 juta tahun cahaya dari Bumi. Ia berjaya dikesan oleh Institut Max Planck for Radio Astronomy tetapi mereka tidak tahu apa penyebabnya.

FRB (fast radio burst) dikesan buat pertama kalinya pada tahun 2007 menggunakan teleskop radio. Walaupun para saintis telah merekodkan puluhan FRB selama beberapa tahun pemantauan, tidak ada satupun dari FRB ini yang dapat dikaitkan menjadi teori menarik mengenai sumbernya.

teleskop radio kanada

Teleskop radio Kanada

Kini, kumpulan penyelidik dari Kanada itu menggunakan teleskop berteknologi tinggi yang direka khas untuk mengesan FRB seperti ini. Teknologi terbaru ini membantu mereka menjawab persoalan FRB yang kompleks sedikit demi sedikit.

Antara September 2018 hingga Oktober 2019, mereka berjaya mengesan sebanyak 28 FRB di mana ia mempunyai corak yang hampir sama. Mereka menamakan isyarat ini sebagai FRB 180916.J0158+65.

Berulang setiap 16 hari

Isyarat radio itu dikesan berlaku setiap jam selama empat hari berturut-turut. Ia akan berhenti dan bersambung semula 12 hari kemudian. Kitaran yang sama akan bermula setiap 16.35 hari dan berterusan lebih daripada satu tahun.

Pasukan Eksperimen Pemetaan Intensiti Hidrogen Kanada telah bekerjasama dengan pasukan Projek Fast Radio Burst untuk menerbitkan risalah yang meneroka beberapa kemungkinan bagi mencari penjelasan di sebalik FRB misteri yang berulang ini.

frb

Menurut para saintis, isyarat berkala itu bukannya satu kebetulan. Malah, kitaran 16.35 hari itu merupakan petunjuk penting yang boleh menunjukkan dari manakah asalnya sumber denyutan itu.

Setakat ini, pakar bersepakat bahawa isyarat itu bukanlah terhasil daripada bencana di angkasa lepas seperti letusan supernova yang secara puratanya berlaku setiap 50 tahun sekali.

Pelbagai teori yang diambil kira

Kemungkinan lain yang dipertimbangkan adalah isyarat itu terhasil daripada gerakan orbit. Memandangkan benda di angkasa lepas mengorbit pada satu jangka waktu, mungkin objek seperti bintang atau pendamping planet di pinggir galaksi yang mempunyai kitaran 16 hari menghasilkan denyutan itu.

Penulis juga mengusulkan bahawa bintang neutron atau bintang OB juga boleh menghasilkan denyutan isyarat radio tetapi gelombang itu akan tersekat apabila ia berlanggar dengan objek lain. 

pelanggaran bintang neutron

Pelanggaran bintang neutron

Bintang-bintang neutron adalah antara bintang terkecil di alam semesta dan terhasil daripada sisa letupan supernova. Diameternya hanyalah sebesar sebuah bandar tetapi sangat padat dengan jisim yang lebih besar daripada matahari kita.

Bintang jenis OB pula adalah bintang besar, panas dan mempunyai jangka hayat yang singkat. Interaksi antara kedua-dua jenis bintang ini mungkin menjadi hipotesis penyelidik mengenai kemungkinan denyutan itu hadir secara berkala.

Makhluk asing berkomunikasi dengan manusia

Lebih menarik lagi, ada yang mempercayai bahawa isyarat radio itu berasal dari tamadun asing (alien). Disebabkan pengaruh media dan filem, orang ramai lebih cenderung mengatakan gelombang radio aneh yang sampai ke Bumi itu adalah cara makhluk asing cuba berkomunikasi dengan manusia.

Namun, para saintis menolak teori itu kerana FRB ini tidak mungkin dihantar oleh makhluk dunia lain. Ini FRB terhasil daripada peristiwa kosmologi yang ekstrem dan tidak mungkin dihasilkan secara manual walaupun oleh makhluk asing yang mempunyai teknologi tinggi (itupun jika makhluk asing wujud).

makhluk asing 216

Walaupun masih belum menemui jawapan tepat, para penyelidik percaya bahawa pemerhatian pada masa hadapan dapat membantu mereka merungkai segala persoalan.

Bahkan, usaha mereka memahami denyutan radio misteri ini juga membantu para astronomi mengetahui lebih banyak tentang perkara lain mengenai alam semesta ini. 

Semakin banyak FRB yang dikesan, semakin baik mereka dapat menggunakan isyarat itu untuk memetakan bagaimana jirim beredar di seluruh alam semesta.




Hakcipta iluminasi.com (2017)