Kredit foto: Instagram Sajat
Agensi pelancongan, Albayttravel Sdn Bhd tampil menjelaskan isu berkaitan usahawan sensasi, Nur Sajat yang berpenampilan wanita ketika menunaikan umrah.
Pihak Albayttravel berkata, mereka hanya membantu dalam memudahkan urusan umrah di samping telah memberi saranan berhubung garis panduan yang ditetapkan.
“Sekiranya lelaki semestinya dengan penampilan lelaki sebaliknya untuk perempuan. Jadi sepanjang pelepasan semuanya mengikut garis panduan ditetapkan, cuma sebaliknya berlaku bila di sana,” ulas mereka.
Kenyataan itu dibuat melalui ruangan komen salah satu kiriman mereka di akaun Facebook (FB).
Ia sebagai menjawab ketidakpuasan hati rata-rata netizen yang menggelarkan mereka sebagai penunggang agama.
Dalam pada itu, pihak agensi berkenaan memohon agar netizen mendoakan yang terbaik buat usahawan itu dan yang bersamanya supaya mendapat hidayah daripada Allah SWT.
Kredit foto: Instagram Sajat
“Mudahan di sana Allah SWT tunjukkan kebenaran. Hanya dia dan Allah SWT yang kenali dia dan kami di Albayt Travel hanya bantu permudahkan urusan tetamu Allah.
“Yang selebihnya hanya Allah yang tahu. Sama-sama doakan supaya Allah tunjukkan jalan yang benar kepadanya. Doakan yang baik-baik mudahan Allah SWT berikan yang terbaik buat mereka,” tulis mereka lagi.
Terdahulu, laman sosial kecoh mengenai perkongsian gambar Sajat di Instagram yang mengenakan telekung dan lengkap berjubah serta bertudung labuh.
Beliau dilaporkan sedang mengikuti rombongan mengerjakan umrah di Mekah bersama keluarga dan sahabat handai.
Usahawan itu sebelum ini terpalit dengan isu jantina walaupun sering menegaskan dirinya adalah seorang wanita.