Oleh pada 03 Feb 2020 kategori

Kredit foto: Instagram Sajat

    

Agensi pelancongan Albayt Travel Sdn Bhd mendedahkan usahawan sensasi, Nur Sajat kini masih berada di Mekah.

Sofwan Che Seman selaku pemilik agensi yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan Sajat sekeluarga berkata, Sajat bersama rombongannya bakal kembali ke Malaysia pada Jumaat ini.

    

sajat lelaki

Kredit foto: Instagram Sajat

    

"Dia masih berada di sana. Namun mutawif kita yang mengikuti rombongan itu sudah pesan kepada Sajat supaya mengubah penampilannya dan kembali kepada fitrah yang asal.

"Bagaimanapun sehingga kini saya masih belum menerima maklum balas perkembangan terkini berhubung isu berkenaan," katanya kepada portal Mstar, hari ini.

Dalam pada itu, Sofwan berkata, pihaknya sudah merujuk perkara tersebut kepada konsulat Malaysia di Jeddah, Arab Saudi bagi tindakan susulan.

Selain itu, Sofwan turut membuat laporan polis di Kota Bahru, Kelantan bagi memberi pencerahan berhubung isu yang hangat diperkatakan itu.

Petikan katanya dalam laporan polis itu berbunyi:-

"Pada mulanya Sajat dah ahli kumpulannya telah dimaklumkan lebih awal berkenaan perbezaan pengurusan dan tatacara hukum hakam ibadah umrah serta ziarah mengikut jantina berbeza yang perlu dipatuhi.

"Mereka juga telah bersetuju serta akur dengan arahan pihak syarikat kami. Bagaimanapun setibanya di Madinah, Sajat dan dua orang lagi rakannya didapati melanggar garis panduan yang telah ditetapkan dengan memakai busana wanita di tempat awam dan Masjid Nabawi.

"Ini menimbulkan reaksi negatif daripada masyarakat terhadap syarikat kami".

Dalam laporan polis sama, Sofwan memberitahu bahawa Sajat enggan membuat sebarang ulasan kerana tidak ingin mengeruhkan lagi keadaan.

"Pihak Albayt Travel mengarahkan pihak Sajat dan ahli kumpulannya membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap insiden yang berlaku tetapi mutawif beritahu saya bahawa Sajat ingin mendiamkan diri kerana tidak ingin mengeruhkan lagi keadaan," katanya.

Terdahulu, laman sosial kecoh mengenai perkongsian gambar usahawan itu di Instagram yang mengenakan telekung dan lengkap berjubah serta bertudung labuh, ketika mengerjakan umrah.

Sebelum ini, pemilik nama Muhammad Sajjad Kamaruzzaman ini terpalit dengan isu jantina walaupun sering menegaskan dirinya adalah seorang wanita.

     

Sumber berita: Sajat masih di Makkah, agensi umrah arah mutawif ‘slow talk’ - “Kami minta dia ubah penampilan, kembali kepada fitrah”

    




Hakcipta iluminasi.com (2017)