Oleh pada 04 Feb 2020 kategori

Kredit foto: Instagram Sajat

    

Golongan transgender (mukhannas) yang mengerjakan umrah dengan tidak mengikut jantina asal, dikira haram dan berdosa.

Walaupun mengikut rukun, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, beliau (merujuk kepada Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau dipanggil Nur Sajat) boleh dikenakan dam kerana melanggar wajib umrah.

Hal ini berlandaskan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-28 Musim Haji 1433H dalam kertas kerja bertajuk ‘Khunsa Dan Mukhannas Dalam Permasalahan Ibadat Haji’.

“Muzakarah menyimpulkan bahawa bagi mukhannas semula jadi atau yang disengajakan, telah melakukan pembedahan tukar jantina atau tidak dan kes menukar jantina dengan melakukan pembedahan bukan disebabkan keharusan syarak, maka hukum individu itu termasuk ibadat haji dan umrah hendaklah mengikut hukum asal kejadian dirinya.

“Dalam konteks isu ini, Muhammad Sajjad wajib secara syarak sebagaimana termaktub dalam al-Quran dan hadis, untuk beribadah serta berpakaian seperti lelaki,” katanya menerusi kenyataan di akaun Facebook, hari ini.

Terdahulu, usahawan kosmetik itu mencetuskan kontroversi apabila berpakaian seperti jemaah wanita ketika menunaikan umrah di Mekah.

Dalam pada itu, Zulkifli meminta agar Sajat menzahirkan diri sebagai lelaki, serta beribadat dengan penuh istiqamah sepanjang berada di sana.

    

nur sajat 397

Kredit foto: Instagram Sajat

    

“Saya mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan kebaikan, taufik dan hidayah kepada Muhammad Sajjad dan jadikanlah umrah kali ini satu titik perubahan dalam kehidupan,” katanya.

Berkenaan imej Malaysia, Zulkifli mengakui isu itu memberi impak terhadap pandangan negara luar yang sebelum ini cukup menghormati Malaysia dalam soal pengurusan haji dan umrah.

“Imej Malaysia sebagai negara yang disegani dari sudut pengurusan haji dan umrah perlulah terus dipelihara.

“Sebarang tindakan dilakukan jemaah haji dan umrah, boleh memberi impak kepada hubungan baik serta kerjasama Malaysia dengan Arab Saudi.

“Oleh itu, jangan sesekali menyebabkan tercetus sangkaan buruk terhadap Malaysia,” tegasnya.

Sementara itu, hasil pertemuan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), semalam, mendapati jantina Muhammad Sajjad didaftarkan sebagai lelaki seperti yang tertera di kad pengenalan.

“Semakan lanjut pada sijil kelahiran beliau juga mendapati penama dilahirkan sebagai lelaki.

“Hingga kini, tidak ada dokumen rasmi perubatan dikemukakan Muhammad Sajjad bagi membuktikan bahawa beliau adalah wanita.

“Berdasarkan arahan JPN bilangan 9/2007 perenggan 5.7.1., pindaan jantina dalam kad pengenalan adalah tidak dibenarkan kecuali atas perintah mahkamah,” katanya.

Sehubungan itu, Zulkifli berkata, pendirian PMWP terhadap jantina Sajat adalah merujuk kepada maklumat dalam kad pengenalan dan sijil kelahirannya.

    

Sumber berita: Tunai umrah tidak ikut jantina asal haram, berdosa - Mufti

     




Hakcipta iluminasi.com (2017)