Kami yakin ramai di antara pembaca kami menyimpan impian untuk memiliki sesuatu yang telah lama anda idamkan.  Biar kami teka, apa yang anda idamkan mestilah barang atau produk baru kan?

Bukan barangan terpakai. Siapa yang mengidam nak beli barangan terpakai kan? 

Tetapi realitinya ada sesetengah kategori barang, lebih baik cari yang terpakai. Bukan saja kualitinya sama, anda juga mampu menjimatkan wang ringgit anda.  Ini senarai 8 barang yang kami rasa sesuai dibeli second hand berbanding beli baru.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Basikal

basikal barangan terpakai

Mengayuh basikal adalah satu trend yang popular.

Bila dah jadi trend, ramai orang erpusu-pusu cuba menjadi seorang pengayuh selepas kena racun dengan kawan untuk dapatkan road-bike terbaik yang ada. 8 daripada 10 orang yang kena racun, biasanya mula perlahan mengayuh dalam bulan kedua. 

Banyak sebenarnya iklan jualan basikal terpakai di internet. Mesti ada juga kenalan atau rakan anda yang dah hilang semangat akan menjual basikal ribuan ringgit mereka pada harga diskaun, asal dapat terjual. Waktu inilah anda beli. 

Dua bulan kemudian, anda pun akan jual semula bila dah semangat mengayuh luntur di telan masa. Sekurang-kurangnya, kerugian anda tak besar mana.

2. Barangan komputer

komponen komputer barangan terpakai berbaloi

Harga barangan komputer ketika artikel ini ditulis semakin stabil, berbanding setahun dua yang lalu. Lambakan barangan terpakai komponen seperti prosesor, memori dan kad grafik kembali rancak berlangsung merendahkan harganya. 

Peralatan komputer termasuklah komputer riba cukup berbaloi untuk anda dapatkan yang terpakai, asalkan anda tahu serba sedikit tentang spesifikasi.

Pengeluar akan mengeluarkan edisi baru setiap tahun dengan harga yang mampu membuatkan anda pitam. Jadi sasarkan pembelian anda kepada komponen atau komputer riba 2 ke 3 generasi sebelumnya.

Anda tak jauh sangat ketinggalan dari segi kemampuan dan anda hanya membayar 1/5 sahaja harga berbanding harga jualan asalnya.

3. Buku

buku terpakai

Walaupun negara kita mempunyai penganjuran pesta buku yang meriah, jualan sedemikian tidak mampu menandingi nilai ditawarkan kedai jualan buku terpakai. 

Asalkan kondisi bukunya masih baik khususnya novel, harga jualan terpakai biasanya diperolehi di antara RM2 ke RM10 berbanding harga buku baru yang dijual RM18 ke atas. Sebagai bonus, kita turut sama mengurangkan penggunaan kertas.

Mungkin pasaran buku terpakai dilihat sebagai tindakankurang menyokong penerbitan buku di negara kita, tetapi nak buat macam mana; buku asal boleh dibaca dah memadai walaupun kondisinya tak sesempurna mana.

4. Kenderaan

kereta terpakai

Setiap kali menelaah iklan kereta terpakai, penulis tersenyum membaca iklan yang menggunakan ayat promosi 'lady owner' sebagai daya penarik. 

Membeli kenderaan terpakai memang sangat bergantung kepada nasib kita. Ada kalanya sesebuah kereta nampak elok dari luar tetapi komponen enjinnya tak pernah dijaga. Ada juga kereta enjin elok, tetapi ruangan dalamannya mampu membuatkan kita muntah pula.

Jika nak beli kenderaan terpakai, rahsianya mudah saja.

Periksa rekod servis dan semak di mana servis biasanya dilakukan serta kekerapannya. Sekiranya penjual tidak mampu menyediakan rekod servis, hubungi pusat servis bertauliah jenama kereta itu dengan nombor pendaftarannya.

Seandainya nombor pendaftaran kenderaan itu tiada dalam rekod, jangan beli.

Ini kerana seandainya pemilik asal tidak peduli di mana dia menyelenggara kenderaannya ketika waranti, besar kemungkinan dia tak peduli pun keadaan kenderaan sendiri.

5. Alat muzik

peralatan muzik curi

Sama seperti basikal, sekiranya anda baru nak berjinak-jinak dengan peralatan muzik jangan mudah kena racun dengan kawan-kawan.

Beli yang terpakai saja dulu kerana anda sendiri tak tahu berapa lama minat itu boleh bertahan. Tak kisahlah anda cuba nak belajar main gitar, keyboard, piano atau dram, kesemuanya berbaloi untuk anda beli terpakai kerana kelengkapan yang dipasang biasanya tahan lama.

Jika anda sanggup beli alat muzik tiupan terpakai seperti seruling atau harmonika, itu bergantung kepada anda ya. Kami tak sanggup.

6. Baju anak-anak kecil

baju bayi kanak kanak terpakai

Mak ayah mahu menyediakan yang terbaik untuk anak mereka. Bila sebut terbaik, mestilah yang baru. Tetapi itu tak terbaik untuk kocek. 

Majoriti ibu bapa akan menyedari pakaian anak kecil bawah usia 4 tahun selalunya hanya mampu dipakai jangka masa pendek akibat tumbesaran fizikal yang cepat. 

Kaedah paling mudah adalah untuk membeli pakaian terpakai untuk anak-anak anda. Bestnya, memang ada kedai bundle yang memfokuskan kepada jualan pakaian terpakai kanak-kanak.

Harga pakaian kanak-kanak baru khususnya baju dress bayi perempuan selalunya memang tak masuk akal. Harga pakaian kanak-kanak memang mahal-mahal harganya!

7. Alat senaman

peralatan senaman terpakai

Seperti basikal dan peralatan muzik, bukan semua orang mempunyai kesabaran untuk kekal mengamalkan senaman dengan alat senaman yang dibeli.

Samalah seperti yuran keahlian gimnasium penulis yang dipotong bulan-bulan tapi perginya hanyalah 6 bulan 2 kali. Sekiranya anda teringin nak mempunyai gimnasium mini sendiri di rumah, beli saja peralatan terpakai.

Besar kemungkinan ramai yang menjualnya, dek rasa rimas dengan peralatan senaman mereka yang dah berhabuk dan hanya memakan ruang dalaman rumah semata-mata.

8. Kayu golf

beg set golf terpakai

Jika anda seorang pemain golf, tak ada keperluan untuk anda beli set kayu golf baru di kedai. Beli saja di kedai barangan terpakai.

Tak dapatlah koleksi satu set lengkap anda perolehi, tetapi mesti ada saiz kayu yang anda cari untuk anda jadikan koleksi. Harganya pun jauh murah jika dibandingkan dengan harga jualan baru.

Yang penting, wajah mesti tampak berkeyakinan ketika menghayun. Kawan-kawan anda baik yang berpangkat VIP atau sekadar staff baru nak cuba-cuba main, bukannya tahu pun anda guna kayu terpakai. Kayu dah ada, cukup lah.

Sekarang nak kena kumpul duit untuk beli keahlian kelab golf pula. Doakan penulis berjaya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)