Oleh pada 05 Oct 2022 kategori

Sebagai peminat barangan bundle atau barangan terpakai, melihat kenaikan harga jualan di 'gedung-gedung' bundle yang dikunjungi membuatkan penulis ada banyak persoalan.

Jika lebih sedekad dahulu kita mampu ke kedai bundle dengan wang RM30, keluar dengan berhelai-helai baju t-shirt dan kemeja yang masih ada kualiti dan kadangkala baru, kini pengusaha bundle nampaknya sudah mewujudkan kategori jualan yang ada segregasi antara jualan biasa dan jualan premium.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sehinggakan ungkapan 'demo tak kenal bare' sering disebut apabila kita membicarakan tentang harga pakaian atau barangan bundle yang tak masuk akal.

Sudahlah terpakai, kadangkala kondisinya lusuh - tetapi harganya tetap tinggi. Kenapa ini berlaku?

Pasaran barangan terpakai yang semakin membesar

thrift store kedai barangan terpakai

Dalam dunia perniagaan, satu istilah yang dilihat semakin popular adalah industri 'recommerce' industri fesyen.

'Recommerce' merujuk kepada usaha sesetengah pengeluar pakaian yang mahu mewujudkan program khas sendiri jualan semula pakaian terpakai di bawah jenama atau label mereka, kepada pembeli secara dalaman.

Menariknya, jenama yang sudah mula menjalankan program sebegini di Amerika Syarikat sedang meningkat tahun ke tahun, daripada 5 jenama pada tahun 2019 kini sudah mencecah 41 jenama bagi tahun 2022.

Perubahan ini berpunca daripada trend pembeli yang telah berubah khususnya di kalangan generasi muda, yang menjadikan barangan terpakai bukan setakat alternatif, bahkan pilihan utama dalam mendapatkan barangan keperluan berjenama.

Semua perubahan ini didorong dua faktor; kekangan kewangan yang melanda anak muda dan juga peningkatan kesedaran tentang pentingnya kitar semula.

Dianggarkan pasaran pakaian terpakai akan semakin berkembang, dengan pertambahan pembeli yang semakin selesa menggunakan barangan terpakai, dianggarkan nilai pasaran barangan terpakai bakal naik sehingga 16 kali ganda menjelang tahun 2026.

Apa kaitan semua ini dengan usahawan bundle di Malaysia?

pakaian bundle

Sesuatu yang unik dan berkait dengan peniaga bundle kita adalah penglibatan mereka dalam industri ini sejak mula, sama ada mereka sedar atau tidak sedar impak yang mereka lakukan.

Menurut laporan New York Times pada bulan Februari tahun 2022, terdapat ramai peniaga barangan terpakai menjalankan perniagaan menggunakan platform dagangan dalam talian seperti Etsy, eBay dan Grailed, yang popular dikalangan peminat barangan terpakai.

Apa yang menghairankan penyelidik industri fesyen di Amerika Syarikat, peniaga Malaysia merupakan kumpulan penjual barangan terpakai paling aktif meniagakan produk selaman mereka ke pasaran Amerika Syarikat.

Tawaran ini mengakibatkan ramai penggiat fesyen di sana yang ingin mendapatkan produk pakaian berjenama lama dan tidak lagi dikeluarkan, banyak berurusan dengan peniaga bundle dari negara kita untuk melengkapkan koleksi yang mereka cari.

Apabila dah banyak permintaan, apa lagi akan berlaku kan? Harga pun akan naik sehingga memberi kesan kepada pasaran bundle tempatan.

Trend peniaga bundle memanfaatkan barangan rare

kedai bundle tempatan laris

Kemampuan pengusaha bundle di negara kita untuk mendapatkan koleksi barangan yang unik dan dicari-cari, diiktiraf sesetengah penggiat industri fesyen di sana.

Bagaimanapun berbeza dengan kita yang biasanya membeli barangan bundle demi menjimatkan bajet, pembeli dari Amerika Syarikat pula sanggup untuk membayar di antara $20 (RM90) ke $60 (RM250) untuk satu helai pakaian berjenama yang ada keunikannya walaupun status barangan itu terpakai.

Sedikit sebanyak, urusniaga sebegini memberikan kelebihan kepada pembeli dari luar untuk mendapatkan koleksi barangan yang dicari, berbanding kita yang mungkin melihat angka itu sebagai terlalu tinggi untuk barang second-hand.

Lagipun, ramai di antara kita beli untuk dipakai. Mereka pula membelinya untuk dijadikan koleksi. Kesan persaingan yang dirasai kita ini memberi kelebihan besar kepada pengusaha bundle tempatan untuk menjana pendapatan lumayan.

Sehinggakan ramai peniaga dikatakan mampu menampung kos yang telah dikeluarkan untuk membeli satu bundle baju, selepas berjaya menjual hanya satu helai pakaian yang dicari-cari ramai pembeli luar.

Dari luar, ke Malaysia dan ke luar semula

peniaga bundle jual tshirt rm37 ribu

Gambar baju vintage berharga RM37k kredit Kosmo

Sistem jualan ini mewujudkan satu situasi yang agak melucukan kitarannya.

Kebanyakan barangan terpakai di Malaysia hadir dari negara seperti Amerika Syarikat dan Jepun, hasil daripada derma, buangan atau proses kitar semula di sana.

Selepas beberapa proses saringan dan sampai ke Malaysia, guni-guni pakaian terpakai ini kemudiannya dibeli pengusaha bundle tempatan yang akan melakukan saringan sendiri bagi mengasingkan produk bersifat premium dengan yang dikategorikan biasa.

Jika ada yang dikenalpasti berpotensi, pengusaha tempatan akan menjual semula pakaian terbuang ini, kadangkala kembali ke negara asalnya bergantung kepada permintaan dengan harga berlipat kali ganda lebih tinggi.

Lebih untung bagi pengusaha di negara kita, barangan berjenama dari Jepun yang selalunya sampai ke Malaysia, juga mempunyai permintaan hangat di Amerika Syarikat ekoran keunikannya serta ketiadaan produk sebegitu dalam pasaran sana.

Situasi ini jelas menguntungkan pengusaha bundle tempatan, yang diakui oleh media Amerika Syarikat sendiri berjaya memenuhi kehendak pelanggan khususnya penggiat industri fesyen serta cekap menghidu peluang terhidang.

Namun bagi peminat sejati barangan bundle di Malaysia, poket kita pasti akan terasa kesannya jika kita perlu bersaing dengan permintaan dari negara maju.

Walaupun demikian tak bolehlah kita nak salahkan peniaga bundle yang menjual barangan terpakai pada harga yang kita rasa tak munasabah. Ini kerana mereka tahu di pasaran luar, ada yang berebut mahu mendapatkannya pada harga berlipat kali ganda daripada apa yang kita sanggup bayar.

Apa yang kita boleh buat setiap kali berkunjung ke kedai bundle, adalah hadkan saja pembelian kita di rak yang paling depan dan paling murah, mengelakkan diri dari membeli koleksi-koleksi barangan yang telah diasingkan atau digantung di dinding.

Ye lah. Kalau dah harganya $100, takkanlah dia nak terima tawaran RM100 kita pula.

Nasib baiklah bagi penulis, baju t-shirt RM5 masih boleh diperolehi walaupun ada yang kualitinya tak ubah seperti kain buruk. Pakai setahun, nak buang pun tak adalah terasa sangat ruginya.

Rujukan

thredUP Resale Report - Secondhand Is Becoming a Global Phenomenon




Hakcipta iluminasi.com (2017)