Kredit foto: Mstar
Tidak berputus asa, Hamizah Mohd Ramli, 27, isteri kepada Mohammad Ashraf atau lebih mesra disapa Acap optimis suaminya akan pulang suatu hari nanti.
“Saya yakin suami (Mohammad Ashraf Hassan,29) akan balik dan selamat, itulah doa saya tanpa henti, setakat ini masih belum ada apa-apa (perkembangan terkini), doakan suami saya,” katanya.
Selepas berdiam diri sejak hari pertama kehilangan lelaki itu, Hamizah akhirnya terbuka hati berkongsi perasaannya kepada NSTP pada hari ini.
Dia berkata, Acap tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik sebelum kejadian, apatah lagi ini bukanlah penyertaan sulung pemuda itu dalam acara sedemikian.
Kredit foto: Facebook Denny Lang
“Dia macam biasa sebab ini bukan (acara) pertama kali disertainya, untuk larian ini, baru pertama kali dia sertai,” katanya.
Hamizah yang juga Juruteknologi Makmal di Hospital Muar, Johor, berkata, anaknya, Aisyah yang sudah menjengah usia setahun lebih kini, sering bertanyakan di mana Acap yang 24 hari tidak ditemuinya.
“Dia memang rapat dengan ‘daddy’ dia, setiap hari cari tapi saya tetap positif, saya cakap ‘daddy’ balik malam ini.
“Setiap hari saya cakap macam itu, kata-kata kita pun satu doa” katanya.
Kecewa dengan penyebaran khabar angin kononnya rumah tangga mereka bermasalah hingga memungkinkan kepada episod kehilangan itu, Hamizah bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut serta menganggapnya sebagai fitnah semata-mata.
“Semua yang baik saya anggap doa, yang tak baik saya positif, mungkin itu cara Allah SWT nak tambah pahala suami saya, mungkin mempercepatkan suami saya dijumpai.
“Saya cuba positifkan diri, masa inilah dugaan Allah SWT itu datang dari pelbagai sudut, sentiasa ambil positif, bersangka baik dengan Tuhan,” katanya.
Sumber berita: Harian Metro