Kredit foto: Media Hiburan

Tahun 2018 yang membuka tirai memberikan ujian baru buat jutawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri, apabila kereta mewah Rolls Royce Ghost miliknya menjadi antara 20 kenderaan yang disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Patuh di Bangsar, Kuala Lumpur, dua hari lalu.

Difahamkan, kereta tersebut yang disewa oleh warganegara Australia, disita atas kesalahan kawasan pengisytiharan penggunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM), selain disaman kerana nombor plat yang tidak mematuhi spesifikasi.

Bercakap menerusi Instagram Live, Aliff meluahkan rasa kesal kerana kecaman hebat yang diterimanya di media sosial.

"Orang yang kutuk saya tu dah bagus sangat ke? Dah sempurna sangat ke?

"Kata saya kafirlah. Kata saya jahatlah. Kadang-kadang tengok sifat manusia ni kan.." luahnya dalam video itu.

Difahamkan, Aliff kini sedang berada di Bali, Indonesia atas urusan perniagaan.

Dalam pada itu, menerusi satu lagi kenyataan yang dikeluarkan dalam kiriman Instagram semalam, pengasas syarikat D'Herbs ini memaklumkan bakal membuat kenyataan rasmi pada hari ini.

"Sedang fokus pada percutian saya. Esok saya balik Malaysia saya cerita pasal kereta yang tidak sahih khabar berita itu. Siapa nak saya beri penjelasan?" tulisnya.

Sementara itu, menerusi laporan BH Online, Aliff dikatakan telahpun menyerahkan kes itu kepada peguamnya. 

"Buat masa ini, Datuk Aliff belum mempunyai kenyataan berkaitan isu ini. Pihak peguam beliau sedang berurusan mengenai perkara ini dan belum ada kenyataan rasmi dibuat," kata pihak pengurusan beliau menerusi kiriman aplikasi WhatsApp kepada portal berkenaan.

Sumber berita: BH Online & Instagram Aliff Syukri 




Hakcipta iluminasi.com (2017)