Kredit foto: forum.lowyat.net & Mstar
Baru-baru ini industri hiburan telah dikejutkan dengan kehadiran anak kepada penyanyi lagenda Saleem Iklim iaitu Syafiq Farhain.
Pembabitan Syafiq menerusi aplikasi Smule berjaya menarik perhatian ramai kerana vokalnya yang dikatakan iras-iras Saleem.
Nama Syafiq mula menjadi sebutan kerana kebolehannya menyanyikan lagu-lagu ayahnya dengan baik, malah beliau turut menerima undangan persembahan yang menuntutnya untuk membawakan lagu-lagu Saleem.
Senario itu nyata mengundang ketidakpuasan hati Saleem. Meskipun tidak menyatakan secara jelas, ramai yang percaya kenyataan Saleem dalam rancangan hiburan Melodi baru-baru ini ditujukan kepada anaknya.
Dalam temubual tersebut, Saleem mempertikaikan seorang penyanyi baru yang menumpang popularitinya dengan membawakan lagu-lagunya dalam persembahan.
Kredit foto: beritaharian.sg
Terkini, pengarah urusan syarikat rakaman Syafiq, MVM Production iaitu Rumhadi Rumlan dalam kenyataannya mendedahkan beliau telahpun mengadakan perjumpaan terlebih dahulu dengan Saleem sebelum rakaman temubual Saleem bersama pihak Melodi baru-baru ini.
Kami faham dengan apa yang dia mahu, memang benar ramai penganjur yang mahukan Syafiq menyanyikan lagu-lagu Saleem. Kami akan pastikan ia tidak akan berulang dan Syafiq akan menyanyikan lagu dia sendiri dan lagu-lagu penyanyi lain. Walaupun pada hakikatnya Saleem sebenarnya tiada hak kerana hak menyanyikan lagu itu terletak pada syarikat rakaman bukan penyanyi, namun kami hormat dan faham.
Sumber: Mstar
Difahamkan, Saleem juga bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang jika permintaannya diendahkan.
Dalam satu temubual lain, ibu tiri Syafiq, isteri Saleem pula tampil membuat pendedahan mengapa Saleem melarang keras Syafiq daripada menggunakan namanya dan menyanyikan lagu-lagunya dalam persembahan.
Saya tidak kisah apa orang luar nak cakap kerana mereka tidak tahu apa yang berlaku. Syafiq kena ingat dia pernah menuduh bapanya dengan perkara-perkara yang tidak baik satu masa dahulu dan dia sendiri malu nak mengaku Saleem sebagai bapanya. Perkara ini menyebabkan Saleem marah kepadanya. Bila sudah masuk dalam industri dia pula ambil kesempatan dan jalan singkat ini.
Kredit foto: Mstar
Bukan Saleem yang bawa Syafiq tapi saya yang ingin membantu dia menjadi penyanyi. Sebagai seorang wanita saya ada sifat keibuan yang ingin membantu. Tapi saya kesal apabila pihak itu telah menggunakan nama Saleem pula dari segi mempromosikan produk mereka.
Sumber: Mstar
Tambah Julia, periuk nasi Saleem terjejas kerana Syafiq kerap dipanggil oleh pihak penganjur acara untuk menyanyikan lagu-lagu Saleem dengan harga yang murah.
Apapun kami berharap isu ini dapat ditangani secara baik oleh kedua-dua pihak.