biodata saleem dan lirik lagu suci dalam debu 1

Penyanyi Saleem atau nama penuhnya, A. M. Salim Abdul Majeed merupakan vokalis kumpulan Iklim yang popular sekitar era 1990-an.

Bekas anak didik penggubah terkenal, Wan Zul ini pernah mencipta populariti luar biasa bersama Iklim sehingga mendapat perhatian di Republik Indonesia, Singapura, Brunei, selatan Thailand, dan Kepulauan Cocos, Australia.

Dilahirkan pada 31 Ogos 1961 di Permaisuri, Setiu, Terengganu, penyanyi yang mempunyai darah kacukan India Muslim dan Melayu sebelah ibu itu asalnya bercita-cita ingin menjadi nelayan sebelum akhirnya menyara kehidupan sebagai penolong tukang masak di institusi pengajian tinggi ITM Dungun, Terengganu.

Namun rezeki berpihak kepadanya apabila mendapat peluang untuk menceburi dunia hiburan sehingga meniti populariti hebat setara dengan rakan seangkatan seperti Jamal Abdillah, kumpulan Ekamatra dan Wings.

Saleem bersama Iklim yang mula muncul pada tahun 1989 dengan membawakan lagu-lagu bergenre rock perlahan (slow rock) mempunyai deretan lagu yang 'malar segar' sehingga ke hari ini.

Antaranya termasuk Suci Dalam Debu, Di Pintu Mahligai, Bukan Aku Tak Cinta, Hakikat Sebuah Cinta, Gerhana Cinta Luka dan Bukan Ku Tak Sudi.

Bagaimanapun Iklim mengalami zaman kejatuhan dipercayai pada pertengahan dekad 1990-an (1996) selepas isu kemalangan jalan raya membabitkan nyawa seorang anggota tentera darat Malaysia.

Rentetan itu, mereka akhirnya berpecah apatah lagi Saleem sedang dibebani masalah disiplin dan isu ketagihan dadah.

Karier solo Saleem kembali menyinar selepas mendapat kepercayaan daripada syarikat Warner Music of Malaysia untuk penghasilan album solo 'Maaf/Juwita' pada tahun 1998 iaitu selepas beliau dibebaskan daripada penjara kerana pengambilan dadah yang berlebihan.

Antara lagu popular Saleem selaku penyanyi solo ialah Juwita, Air Mata Kasih dan Maaf. 

Penyanyi bersuara emas itu kemudiannya kembali aktif merakamkan beberapa buah album termasuk 'Bunga Emas' yang menyatukannya kembali bersama Iklim.

Namun, pada pertengahan tahun 2004, dunia hiburan sekali lagi digemparkan dengan penangkapan beliau buat kali kedua kerana masalah dadah yang kemudiannya membawanya ke penjara Kajang.

Ia menjadi pengajaran terbesar buat Saleem yang kelihatan betul-betul serik apatah lagi mengenangkan usia kehidupannya yang makin lanjut.

Peminat dunia hiburan tidak pernah mengenepikan untuk menerima semula Saleem walau apapun kerana bakatnya yang tidak ternilai atau boleh dikatakan mempunyai karakter vokal yang 'satu-satunya' iaitu merdu, serak-serak basah, parau dan sedikit sengau yang 'mahal'.

Baru-baru ini iaitu pada 14 Oktober 2018, sebagaimana diketahui umum, anak seni bertaraf lagenda ini telahpun menghembuskan nafas terakhirnya di usia 57 tahun selepas hampir sebulan terlibat dalam kemalangan motorsikal pada 21 September 2018.

Sekalung takziah buat warga keluarga arwah. Manakala buat peminat, ia pastinya satu tragedi sedih yang sukar untuk ditelan.

LIRIK LAGU SUDI DALAM DEBU - SALEEM IKLIM

             

Engkau bagai air yang jernih

Di dalam bekas yang berdebu

Zahirnya kotoran itu terlihat

Kesucian terlindung jua

              

Cinta bukan hanya di mata

Cinta hadir di dalam jiwa

Biarlah salah di mata mereka

Biar perbezaan terlihat antara kita

               

Kuharapkan kau kan terima

Walau dipandang hina

Namun hakikat cinta kita

Kita yang rasa

                

Suatu hari nanti

Pastikan bercahaya

Pintu akan terbuka

Kita langkah bersama

                

Di situ kita lihat

Bersinarlah hakikat

Debu jadi permata

Hina jadi mulia

                  

Bukan khayalan yang aku berikan

Tapi keyakinan yang nyata

Kerana cinta lautan berapi

Pasti akan kurenang jua

               

biodata saleem dan lirik lagu suci dalam debu 2

biodata saleem dan lirik lagu suci dalam debu 3

biodata saleem dan lirik lagu suci dalam debu 4

biodata saleem dan lirik lagu suci dalam debu 5

biodata saleem dan lirik lagu suci dalam debu 6

Kredit: 

1. Wikipedia Saleem 

2. Instagram Saleem



Hakcipta iluminasi.com (2017)