Ketika televisyen pertama kali datang ke Israel pada tahun 1968, dunia sudah beralih ke siaran televisyen berwarna. Namun, pada waktu itu kerajaan Israel berpendapat bahawa siaran berwarna adalah perbelanjaan yang tidak wajar yang sebaiknya dielakkan.

Jadi walaupun mempunyai kemampuan untuk menyiarkan siaran berwarna pada ketika itu, satu-satunya saluran nasional Israel yang wujud pada ketika itu dengan sengaja membuang warna dari semua program disiarkan mereka selama lebih daripada 20 tahun, termasuklah program-program yang mereka beli atau terima dari luar negara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Skeptikal terhadap pengaruh televisyen

orang yahudi

Televisyen datang ke Israel di bawah keraguan dan perasaan penuh skeptikal. Kerajaan menganggap televisyen sebagai ancaman - mereka bimbang televisyen akan mengubah ciri politik, sosial dan budaya Israel.

Mereka merasakan bahawa siaran televisyen akan memberikan tekanan ekonomi yang tidak perlu kepada negara dan pembelian televisyen secara besar-besaran akan menjadi beban ekonomi bagi penduduk juga. Televisyen, menurut mereka, adalah kemewahan yang hanya sesuai dengan negeri kaya dan sudah mempunyai ekonomi yang stabil.

Kerajaan juga takut bahawa rancangan televisyen terutamanya dari barat akan mempengaruhi budaya Ibrani dan mengubah pandangan politik orang tempatan. Tambahan pula, televisyen akan mengurangkan jumlah masa yang dihabiskan orang untuk membaca, pergi ke teater dan mengambil bahagian dalam kegiatan sosial, sehingga mengancam norma tradisional dan kehidupan bersama keluarga.

Strategi anti-propaganda

sejarah televisyen di israel 886

Ahli politik menunda untuk memperkenalkan siaran televisyen berwarna selama mungkin sehingga ianya dirasakan satu keperluan semasa konflik 1967 dengan Arab. Ketiadaan sistem penyiaran berpusat bermaksud bahawa berita mengenai perang tidak dapat disebarkan dengan cepat di kalangan warganegaranya.

Selain itu, kerajaan juga menyedari mereka memerlukan alat untuk memerangi propaganda Arab. Ramai orang Palestin yang tinggal di wilayah jajahannya memiliki set televisyen di mana mereka menerima program dari negara-negara Arab dan Jordan mula menyiarkan berita dalam bahasa Ibrani untuk penonton Israel.

Pihak berkuasa Israel memutuskan bahawa mereka tidak mampu membiarkan orang awam terdedah secara eksklusif kepada siaran dari jiran yang bermusuhan. Hanya saluran televisyen Israel yang dikendalikan oleh kerajaan yang dapat memberikan serangan balas dalam perang psikologi ini.

Oleh itu, pada 2 Mei 1968, Lembaga Penyiaran Israel melancarkan siaran awam pertamanya. Saluran televisyen pertama Israel, yang dikenali sebagai Saluran Satu, disiarkan dalam warna hitam dan putih walaupun siaran warna sudah menjadi satu standard di seluruh dunia pada waktu itu. 

Sejarah siaran televisyen berwarna

sejarah televisyen berwarna

Di Amerika Syarikat, ketiga-tiga rangkaian siaran utama - NBC, ABC dan CBS menyiarkan siaran program berwarna sepenuhnya dan rangkaian penyiaran awam seperti NET menggunakan warna untuk sebahagian besar program mereka. Pada tahun 1955, dua puluh ribu set televisyen warna dibeli di AS dan pada tahun 1966 angka ini telah melepasi angka 5 juta.

Menjelang tahun 1972, jumlah set televisyen warna yang dijual di Amerika Syarikat melebihi penjualan televisyen hitam putih dan lebih daripada lima puluh peratus isi rumah televisyen di Amerika Syarikat mempunyai set televisyen warna.

Di UK, siaran program televisyen berwarna pertama dimulakan pada tahun 1967 oleh BBC. Penyiaran berwarna bermula di Jepun pada tahun 1960 dan di Kesatuan Soviet pada tahun 1967. Apabila semakin banyak negara mula beralih ke siaran berwarna, syarikat penyiaran menyedari bahawa tidak ekonomik untuk menaik taraf sistem penyiaran hitam dan putih sedia ada menjadi warna kerana harganya lebih mahal daripada pelaburan awal membangunkan peralatan tersebut.

Hasilnya, Persidangan Penyiaran Komanwel tahun 1972 mengesyorkan agar semua perkhidmatan televisyen baru dilengkapi dengan kemudahan memancarkan siaran berwarna.

Proses "membuang" warna pada siaran televisyen

televisyen berwarna

Walaupun Lembaga Penyiaran Israel (IBA) melabur dalam peralatan untuk penyiaran televisyen berwarna, tekanan politik memaksa mereka untuk melakukan siaran dengan warna hitam putih sahaja.

Walaupun syarikat Israel mula membeli hak untuk banyak siri dan filem TV dari Amerika dan Britain yang difilemkan dengan warna, kerajaan telah memerintahkan pihak berkuasa penyiaran untuk menghapus maklumat warna dari filem tersebut sehingga penonton hanya dapat melihat siaran yang dipaparkan mempunyai gambar hitam dan putih sahaja.

Kerajaan mencadangkan agar rangkaian penyiaran membuang komponen pancaran warna yang disebut "Colorburst". Tanpa kehadiran Colorbust ini, penerima atau penonton sama sekali tidak boleh memanipulasikan siaran televisyen tersebut untuk mempunyai warna.

Akibatnya, televisyen membuang maklumat mengenai warna dan hanya memaparkan gambar hitam putih. Alat yang digunakan IBA untuk memadamkan warna ini dikenali sebagai 'pemadam' atau mechikon. Namun, segelintir penonton telah cuba mencari jalan untuk mengatasi masalah ini.

Sejurus selepas diperkenalkan, set televisyen khas dengan peranti anti-mechikon mula dijual di pasaran. Peranti ini memasang semula isyarat Colorburst yang membolehkan penerima memaparkan gambar berwarna.

Satu-satunya masalah ialah penonton terpaksa memutar tombol khas untuk menyesuaikan warna setiap 15 minit atau kurang. Menurut beberapa info, ketika itu sembilan daripada setiap sepuluh pembeli televisyen membeli set televisyen berwarna yang dilengkapi dengan alat anti-mechikon.

Transformasi ke siaran berwarna

signal televisyen

Tidak semua pihak menerima sepenuhnya polisi kerajaan yang mengharamkan siaran televisyen berwarna. Selain itu, ianya umpama usaha yang sia-sia kerana ada sahaja cara untuk memanipulasi teknologi sedia ada pada ketika itu untuk memaparkan siaran berwarna. 

Seorang penyokong siaran televisyen berwarna berpendapat bahawa dakwaan bahawa penyiaran program berwarna akan meningkatkan jurang sosial dalam masyarakat adalah tidak berasas. Sebagai contoh, sekiranya terdapat kereta mewah dijual, adakah kerajaan juga akan mengharamkan penjualan kereta mewah memandangkan tidak semua rakyat mampu membelinya?

Walaupun hujah utama kerajaan di sebalik penghapusan warna adalah untuk mengurangkan ketidaksamarataan dan mengurangkan kos, ia sebenarnya hanya meningkatkan kos kedua-dua pihak iaitu syarikat penyiaran dan penonton. Secara purata, televisyen warna berharga 50,000 lira, dan 4,000 lagi untuk peranti anti-mechikon supaya penonton dapat menikmati siaran program berwarna.

Kerajaan Israel akhirnya membenarkan tayangan siaran program berwarna dari semasa ke semasa seperti liputan langsung pada bulan November 1977 mengenai lawatan Presiden Mesir, Anwar El Sadat ke Israel dan sekali lagi pada bulan Mac 1979 semasa Pertandingan Nyanyian Eurovision tahunan.

Pada akhir tahun 1970-an, tekanan masyarakat terhadap masalah tayangan siaran program berwarna meningkat dan pada tahun 1981 kerajaan akhirnya mengizinkan Israel Broadcasting Authority dan Israel Educational Television untuk merakam produksi mereka sendiri dengan warna.

Dari saat itu, ianya mengambil masa 2 tahun lagi sebelum siaran warna menjadi satu kebiasaan. Pada masa itu, Israel telah menghabiskan lebih dari 400 juta lira untuk peranti anti-penghapus yang menjadi tidak berguna apabila IBA berhenti membuang informasi mengenai warna pada siaran televisyen dan beralih sepenuhnya ke siaran berwarna.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Jewish Virtual Library
  3. CS Monitor



Hakcipta iluminasi.com (2017)