usop wilcha berbasikal

Sekiranya anda sudah berkahwin atau mempunyai adik-beradik wanita, sudah pastilah anda menyedari akan ada masanya wanita-wanita dalam hidup anda menjadi sedikit berbeza.

Ada wanita yang menjadi terlebih garang, nampak nak makan orang, emua benda dia rasa tak kena dan bermacam lagilah perwatakan berbeza yang dapat dilihat, sekiranya dibandingkan dengan perwatakan asal seorang gadis yang ayu dan manja.

Andainya dia memang ayu dan manjalah.

Perubahan itu kita gelarkan PMS atau postmenstrual syndrome, yang kerap berlaku sekiranya wanita sedang melalui satu tempoh kitaran haid sebelum darah haid dikeluarkan tubuh. Bagi perempuan, PMS adalah waktu di mana tubuh merasa tidak selesa, ditambah buah dada terasa sakit, rasa mual, pening dan sakit kepala, emosi tidak menentu dan kaki mudah kebas.

Boleh fahamlah kenapa ada wanita jadi mudah marah bila PMS. Yang lelaki ni pula persoalannya, kenapa kadang-kadang nampak macam ada PMS juga? Adakah lelaki pun ada waktu PMS? Ada.

Lelaki yang ada ''moodswings''

rosyam nor marah samseng gangster

Bagi kaum lelaki, memanglah tidak ada darah akan keluar daripada zakar. Sekiranya ada darah keluar daripada zakar, tolonglah cepat-cepat ke hospital dapatkan rawatan. Bagaimanapun menurut teori penyelidikan, lelaki pun sebenarnya mempunyai PMS mereka sendiri yang dinamakan IMS. IMS membawa makna 'írritable male syndrome'.

Kajian awal berkenaan IMS bermula pada tahun 2001 melalui penyelidikan yang dijalankan oleh Dr. Gerard Lincoln dari Scotland. Menggunakan kambing sebagai bahan penyelidikan, Dr. Gerard mendapati wujudnya pengaruh besar pada tabiat kambing tersebut bergantung dengan kenaikan dan penurunan kadar hormon testosterone kambing tersebut.

Ketika musim mengawan, kadar testosterone berada pada tahap tinggi yang menyebabkan semuanya jadi ok. Selepas selesai musim mengawan, kambing yang menjadi bahan kajiannya mula menunjukkan tanda-tanda mudah marah serta gemar mengamuk. Hasil kajian itu mewujudkan terma Irritable Male Syndrome buat pertama kali.

Teori IMS untuk lelaki kemudiannya diperkenalkan oleh Dr. Jed Diamond, seorang Doktor yang mempunyai 35 tahun pengalaman dalam bidang perubatan khas untuk kaum lelaki.

Kajiannya berdasarkan ujian klinikal, praktikal dan psikologi mendapati memang berlaku waktu-waktu di mana lelaki akan mengalami masalah ketidakseimbangan psikologi, khasnya bagi mereka yang berumur 30 tahun ke atas. Antara perubahan yang berlaku semasa IMS pada lelaki adalah hipersensitiviti, mudah kecewa, rasa bimbang serta mudah marah. Kajian Dr. Jed juga mendapati lelaki mengalami masalah kemurungan yang serius, namun selalunya tidak diendahkan.

Faktor-faktor penentu IMS

leonardo di caprio mengalirkan air mata

Tanggapan popular menyebut PMS perempuan berlaku disebabkan perubahan hormon. Walaupun ini tidak pernah dapat dibuktikan secara konklusif, teori-teori yang ada menyokong pendapat ini. Bagi kaum lelaki pula, apa pula faktor pengawal IMS? Menurut Dr. Jed, lelaki juga sebenarnya dikawal oleh kitaran hormon yang menyebabkan lelaki mempunyai perubahan perwatakan berbeza daripada biasa.

Faktor terbesar yang dikatakan mempengaruhi tahap IMS seorang lelaki adalah kadar testosterone yang naik dan turun setiap empat ke lima jam setiap hari. Dr. Jed mendapati setiap lelaki mempunyai 'jam hormon' yang unik bagi setiap individu. Beliau juga melaporkan dikalangan 10,000 orang individu lelaki peserta kajian beliau, mereka mempunyai kadar testosterone lebih tinggi pada bulan November dan terendah pada bulan April. Faktor paling kuat mempengaruhi IMS pula dipercayai adalah kadar stres yang dihadapi lelaki itu setiap hari.

Apa yang menyebabkan IMS berlaku?

lelaki gay singapura marah pelawaannya ditolak

Dr. Jed menyatakan ada tiga cara bagaimana IMS boleh menjadi lebih kerap berlaku pada lelaki. Pertama, tabiat makan yang tidak terkawal sehingga menyebabkan kenaikan berat badan. Sekiranya seseorang mengalami penambahan berat badan, tubuh seorang lelaki akan menukarkan lebih banyak testosterone kepada estrogen (hormon utama wanita) yang akan menyebabkan tubuh seorang lelaki lebih kerap mencetuskan IMS.

Kedua, kadar stres yang tinggi dalam jangka masa yang kerap atau panjang akan menurunkan kadar testosterone seorang lelaki.

Yang terakhir, kadar hormon dalam badan kita yang berubah sekiranya kita mengambil ubat-ubatan tanpa kawalan atau nasihat doktor. Dr. Jed mengingatkan sebarang persediaan herba juga boleh mengubah hormon dalam badan seseorang lelaki walaupun diiktiraf selamat kerana diperbuat daripada bahan asli.

Menurut beliau, masalah paling besar dalam mengenalpasti masalah IMS adalah penafian yang dilakukan oleh individu lelaki, berpunca daripada sikap lelaki yang gemar meletakkan kesalahan pada bahu pihak lain.

Sekiranya anda mengenalpasti seseorang individu yang gemar menyalahkan pihak lain seperti menteri, ahli politik, majikan, pemandu lain, jiran dan lain-lain, perkara utama yang perlu dilakukan untuk beliau adalah membantu dia menyedari semua masalah itu, sebenarnya bukan berpunca daripada pihak lain semata-mata. Pasti ada punca yang datang daripada dirinya juga.

Mengawal kesan IMS pada lelaki moden

keanu reeves sedih

Corak kehidupan zaman sekarang hanya akan memperburukkan lagi tahap IMS pada lelaki, ada pandangan Dr. Jed. Lelaki zaman sekarang lebih mudah naik angin tentang sesuatu seperti keadaan jalan raya sesak yang perlu dihadapi setiap hari dan ini menjadi rutin harian kita.

Kehidupan zaman sekarang berlalu terlalu cepat, sehinggakan ramai individu khasnya lelaki tidak mampu melakukan adaptasi dengan sempurna. Ini menjadikan kita lebih mudah keliru dengan apa sebenarnya yang dimahukan. Apatah lagi ketika sudah berusia lebih 30-an. Ramai lelaki pada ketika itu sukar untuk mengenalpasti minat dan fokus mereka sehingga menyebabkan pencarian lelaki itu mampu menyebabkan rumahtangga atau keluarganya tergadai.

Konsep andropause, lawan menopause yang khas untuk perempuan kini semakin popular dan disebut sebagai antara penyumbang sebenar kewujudan lelaki-lelaki yang perasaannya mudah berubah-ubah, namun andropause lebih sesuai digunakan bagi lelaki sudah lewat usia.

Bagi orang lebih muda, perubahan-perubahan yang berlaku ini semuanya adalah disebabkan proses penuaan semulajadi yang tidak boleh dielakkan berlaku dan setakat ini IMS adalah teori yang cuba merungkai persoalan ini.

Apa yang penting adalah mengenal pasti ada atau tidak sindrom IMS dalam diri kita. Keberanian dan keterbukaan untuk bercerita sebarang perasaan negatif yang kita rasakan, merupakan antara langkah penting yang Dr. Jed Diamond syorkan pada semua lelaki.

Yang paling penting, elakkanlah daripada menyakiti hati orang lain hanya kerana kestabilan emosi kita terganggu. Cukuplah wanita tarik muka masam setiap kali datang bulan menanti tiba.

lelaki tarik muka buruk benar kelakuannya.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)