Mengaku atau tidak, mendapatkan otot dada yang tebal, biceps yang menonjol dan 6-pack adalah idaman kebanyakan lelaki. Ia merupakan salah satu ciri pada lelaki yang membuatkan mereka kelihatan lebih macho.

Namun, tak ramai yang sanggup melakukan apa yang perlu bagi mendapatkan tubuh badan sebegini kerana ia memerlukan kesungguhan dan disiplian yang tinggi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dan disebabkan sukan ini adalah antara sukan yang paling rumit, ramai orang mempunyai salah faham dan stereotaip terhadap ahli bina badan dan mereka yang berotot.

iluminasi.com kongsikan 5 salah faham dan stereotaip terhadap ahli bina badan dan lelaki berotot.

1. Mesti ambil steroid

stereotaip tentang ahli bina badan 7

Ini adalah salah faham yang paling popular dalam dunia bina badan.

Memang tak dapat dinafikan bahawa steroid yang digunakan memainkan peranan dalam membantu pembinaan otot dan digunakan secara meluas di tahap yang lebih kompetetif.

Namun, tak semestinya mereka yang mempunyai otot dan tubuh yang besar menggunakan steroid. Tubuh dan otot yang besar tidak bermakna seseorang itu mengambil steroid anabolik.

Malah, ada di kalangan mereka yang mengambil steroid tetapi tidak mempunyai apa-apa hasil. Pertumbuhan otot seseorang adalah berbeza-beza disebabkan oleh beberapa faktor terutamanya genetik.

Faktor tempoh masa juga memainkan peranan yang penting di mana seseorang yang berlatih untuk tempoh 5 hingga 10 tahun mungkin boleh mencapai tahap badan yang mengagumkan tanpa bantuan dadah ini.

Jika seseorang itu menggunakan steroid dan mendapatkan tubuh badan yang diidamkan dalam masa 3 tahun, tubuh badan yang sama tetap boleh diperolehi tetapi ia mengambil masa yang lebih lama.

Ini pula bergantung kepada cara senaman dan pemakanan yang betul.

Otot dibina daripada senaman yang betul secara berterusan dan pemakanan yang sempurna terdiri daripada karbohidrat, protein, lemak dan serat.

salah sangka terhadap abang sado

Dan secara mudahnya, peranan steroid adalah mempercepatkan sintesis protein dan kadar pemulihan yang lebih cepat supaya anda boleh berlatih dengan lebih kerap.

Namun, jika latihan dan senaman yang dilakukan tidak betul, maka steroid tidak akan memberikan apa-apa kesan malah akan merosakkan organ dalaman.

Perkara ini banyak berlaku kepada "budak baru" yang ingin membina otot dengan cepat dan terpengaruh dengan "orang lama", tetapi langsung tidak tahu apa-apa tentang bina badan.

Jika anda benar-benar rajin dan berdisiplin ditambah dengan pengetahuan dalam senaman serta pemakanan yang betul, anda boleh dapatkan badan berotot tanpa bantuan steroid.

Tetapi perlu diketahui bahawa di peringkat yang tinggi, hampir 100% daripada mereka yang bertanding mengambil atau pernah mengambil steroid, kerana jika tidak, anda tidak akan mempunyai peluang untuk menang.

2. Makan ayam dan telur rebus setiap masa

stereotaip tentang ahli bina badan 4

Jika anda seorang ahli bina badan atau seorang yang kerap melakukan aktiviti angkat berat di gym, pasti anda pernah mengalami situasi di mana orang bertanyakan berapa banyak ayam dan telur rebus yang dimakan setiap hari.

Ayam dan telur adalah antara sumber protein yang paling baik di mana ia sangat diperlukan untuk pembinaan otot. Namun, kedua-dua makanan ini tak semestinya dimasak secara rebus.

Anda boleh memasak dengan apa cara sekalipun namun pilihan yang lebih baik sudah tentulah yang tidak menggunakan jumlah minyak yang banyak terutamanya deep fried.

Juga, beberapa lagi sumber protein yang biasanya diambil adalah daging dan ikan.

Ayam dan ikan lebih dipilih kerana ia lebih "lean" atau kurang lemak dan biasanya dimakan ketika menghampiri pertandingan, sebaliknya daging dipilih ketika off-season atau bulking kerana mempunyai lemak yang lebih tinggi serta nutrient penting yang lain.

Salah faham bahawa ahli bina badan makan ayam dan telur rebus setiap masa mungkin timbul daripada mereka yang melihat di majalah atau mana-mana media.

Ada yang menggunakan kaedah ini namun ia sangat tidak menyenangkan dan biasanya digunakan di penghujung di mana pertandingan sudah semakin hampir, bukanlah setiap masa.

3. Songsang

stereotaip tentang ahli bina badan 5

Satu akhbar di Malaysia pernah menerbitkan satu senarai semakan "gay" atau "homoseksual" dan dalam senarai tersebut, seseorang yang pergi atau bersenam di gym adalah petanda bahawa mereka tergolong dalam golongan ini.

Ini antara salah faham yang paling tidak masuk akal yang membuatkan anda tertanya-tanya adakah persepsi kita begitu dahsyat terhadap mereka yang bersenam di gym.

Memang tak dapat dinafikan bahawa terdapat sesetengah di antara mereka terutamanya lelaki di gym mempunyai orientasi seksual sebegini, namun jika dilihatkan secara keseluruhan, peratusannya tersangatlah sikit dibandingkan dengan lelaki "lurus" atau berorientasikan heteroseksual.

Adalah menjadi lumrah manusia sukakan perkara yang cantik dan mendapatkan tubuh badan yang cantik juga termasuk dalam kategori ini.

Tak kiralah sama ada anda lurus atau tidak, kebanyakan daripada kita pasti menginginkan tubuh badan yang cantik.

Jika tidak berotot sekalipun, mempunyai lemak badan yang ideal sudah mencukupi.

Orientasi seksual tidak mempunyai kaitan dengan minat seseorang untuk ke gym atau tidak, ia berlaku kepada semua lapisan sama ada anda gemuk, kurus atau berotot.

4. Playboy

stereotaip tentang ahli bina badan 6

Dan jika seseorang itu tidak dilabelkan sebagai gay kerana pergi ke gym dan berotot, antara label lain yang sering kali dikenakan adalah "playboy" atau kaki perempuan.

Salah faham ini mungkin berlaku kerana hakikatnya, ramai di antara lelaki yang ingin mendapatkan biceps yang mantap dan 6-pack kerana ingin menarik perhatian wanita.

Ia menjadi terlalu mainstream sehinggakan mereka yang "sado" dilihatkan sebagai lelaki yang tidak boleh percaya dari segi perhubungan.

Malah, jika dilihat dari segi peratusan, lebih ramai lelaki buaya darat atau playboy dari kalangan mereka yang tidak berotot dan juga kurus kering.

Ramai di antara lelaki berotot yang bersenam secara berterusan hanya atas dasar minat dan juga kepuasan diri, seperti mana wanita membeli-belah.

Jadi jika anda seorang wanita dan sukakan lelaki berotot, jangan terburu-buru melabelkan mereka sebagai playboy tetapi mengenali peribadi terlebih dahulu.

5. Alat kelamin kecil

stereotaip tentang ahli bina badan 1

Jawapannya adalah tidak. Ini mungkin antara perkara yang dikatakan oleh lelaki yang tidak berotot untuk membuatkan teman wanita mereka berminat dengan lelaki berotot.

Ahli bina badan dan mereka yang gemar membina otot mempunyai mempunyai saiz zakar yang sama seperti lelaki lain di mana ada yang besar, kecil dan sederhana.

Tiada kajian yang mengatakan bahawa penggunaan steroid menyebabkan pengecutan zakar.

Penggunaan steroid yang digunakan untuk pertumbuhan otot boleh menyebabkan pengecutan buah zakar dan bukannya zakar itu sendiri.

Ini kerana apabila steroid (testosteron) diambil dari sumber luar, maka buah zakar yang bertanggungjawab ke atas penghasilan hormon ini akan berhenti melakukan kerjanya.

Namun, ini hanya sementara sahaja sementara steroid sedang diambil dan saiz zakar serta penghasilan testosteron akan kembali normal selepas beberapa bulan seseorang berhenti mengambil steroid.

Ini mungkin menjadi salah faham di mana khabar angin tentang ahli bina badan mempunyai "burung" yang kecil bermula.

Dan juga, mungkin disebabkan oleh badan dan otot yang terlalu besar membuatkan zakar ahli bina badan kelihatan lebih kecil kerana dilihat dari perspektif berbeza.




Hakcipta iluminasi.com (2017)