Manusia diciptakan daripada pelbagai gabungan genetik sehinggakan dari generasi ke generasi, berlaku perubahan pada tubuh kita yang membezakan kita dengan orang lain dalam pelbagai aspek luaran, seperti kulit, bentuk mata, ketinggian, jenis tubuh dan sebagainya.

Asas pembentukan seorang manusia yang lengkap kekal mempunyai bahagian-bahagian tubuh penting, seperti kepala, tangan, badan, kaki dan sebagainya yang membentuk bermacam sistem dalam tubuh - membolehkan kita hidup.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun di kalangan kita, ada juga situasi-situasi tertentu yang mewujudkan perbezaan dalam aspek tubuh kita - sama ada memberikan kita organ tubuh yang tidak dimiliki orang lain atau kita diletakkan dalam kumpulan yang tidak memilikinya.

Berikut adalah lima bahagian badan normal yang tak dimiliki semua orang di dunia.

1. Otot longus palmaris

longus palmaris otot tangan

Cuba anda letakkan tangan anda di atas permukaan rata seperti meja, tapak tangan menghadap anda.

Rapatkan ibu jari dan jari kelingking anda agar bertemu dan lihat di bahagian pergelangan tangan anda, timbul tak satu otot lurus? Jika ya, tangan anda memiliki otot yang dinamakan sebagai otot longus palmaris yang tidak dimiliki oleh lebih 14% manusia lain.

Dalam kajian yang telah dijalankan, didapati longus palmaris tidak memberikan kesan kepada kekuatan tangan anda jadi anda tak perlulah risau kalau anda tiada.

Apa yang unik, perbezaan ini boleh dilihat hanya pada seorang individu. Ramai individu mendapati mereka mampu mempunyai otot itu hanya pada sebelah tangan, sementara tangan lagi satu tiada pula ototnya. Ada yang ada kedua-duanya, ada juga yang tiada langsung.

Bagi pencinta teori evolusi, mereka percaya otot itu digunakan oleh 'nenek moyang' kita untuk memanjat pokok dan otot itu  hilang, selepas manusia tidak lagi memanjat pokok seperti monyet.

2. Tisu aurikular telinga

tisu aurikular telinga

Pernah anda melihat ada individu mampu menggerakkan telinga mereka?

Kelebihan itu berlaku kerana golongan ini mempunyai otot yang dinamakan sebagai otot aurikular telinga yang mampu mengawal pergerakan 'pinna' - keseluruhan bahagian luaran telinga yang kelihatan.

Walaupun semua orang mempunyai sistem otot telinga yang sama, hanya segelintir individu mampu mempunyai kemampuan mengawal gerakan telinga, yang pada awalnya dipercayai disebabkan oleh faktor genetik.

Namun pendapat ini dibuktikan tidak tepat kerana kajian-kajian berikutnya berjaya menunjukkan ada individu mempunyai kemampuan itu walaupun ibu bapanya tidak mempunyai kebolehan sama.

Dianggarkan kebarangkalian untuk anak mendapat kebolehan itu lebih tinggi sekiranya ibu atau bapanya mampu menggerakkan otot aurikular.

Mesti anda tertanya kenapa manusia mempunyai kemahiran menggerakkan telinga?

Berbeza dengan orang lain yang perlu memalingkan kepala apabila mendengar bunyi, individu yang mampu mengawal otot aurikular hanya perlu memusingkan telinganya bagi mengesan dari mana arah bunyi itu datang.

Bagaimanapun disebabkan oleh tabiat itu jarang diamalkan, kebanyakan antara mereka yang mempunyai kebolehan ini tidak lagi berkemampuan menggunakan kelebihan ini dengan baik.

3. Ekor coccyx

ekor vestigiel coccyx

Perkembangan bayi semasa dalam rahim mampu membawa kepada perubahan tumbesaran yang berbeza.

Salah satu perbezaan yang sangat jarang berlaku adalah sindrom yang dinamakan sebagai pembentukan ekor bersifat vestigial (tiada fungsi), akibat daripada abnormaliti semasa pembentukan tulang belakang.

Majoriti kes melibatkan pembentukan ekor ini biasanya dapat dilihat di kalangan bayi, di bahagian atas punggung.

Ekor terhasil daripada tisu yang mempunyai salur darah dan saraf sendiri, lengkap dilindungi kulit; tetapi tidak disambungkan dengan sistem tulang rangka melalui tulang coccyx atau tulang ekor.

Disebabkan oleh ketiadaan tulang dan otot di dalamnya, ekor yang terbentuk juga tidak mampu digerakkan. Oleh sebab itu, selamat untuk ekor ini dibuang selepas kelahiran seseorang bayi.

Kes ini sangat jarang terjadi. Cuba tanya ibu bapa anda, anda lahir ada ekor tak dulu? Manalah tahu anda salah seorang yang mempunyai organ ini sebenarnya.

4. Tuberkel aurikular

darwin tuberkel aurikular tibercle auricular

Namanya kelihatan kompleks, tetapi tuberkel aurikular merupakan bahagian lebihan kulit yang terbentuk di bahagian atas telinga seterusnya 'menutupi' atau mengubah bentuk telinga.

Pembentukan bahagian ini berlaku semasa seseorang itu masih dalam kandungan. Jika berlaku, lebih ramai individu memiliki tuberkel aurikular di kedua-dua bahagian telinga berbanding hanya sebelah telinga, di mana kes seperti itu jarang ditemui.

Kajian yang telah dijalankan menemui bukti bahawa pembentukan tuberkel aurikular ini bukanlah dipengaruhi oleh faktor genetik, sebaliknya berlaku disebabkan oleh perubahan yang berlaku semasa proses pembentukan telinga seseorang sejak dari dalam rahim.

Secara rasmi, tuberkel aurikular dinamakan sebagai 'Darwin's tubercle', digunakan pada mulanya oleh pihak penyokong teori evoluasi Darwin sebagai salah satu bukti pewarisan genetik di kalangan keturunan.

5. Otot piramidalis

otot piramidalis

Otot piramidalis merupakan sejenis otot yang ada di bahagian abdomen kita. Oleh sebab bentuknya kelihatan seperti sebuah piramid, otot itu dinamakan sedemikian rupa.

Kewujudan otot ini boleh berlaku sama ada secara sepasang atau hanya wujud di sebelah bahagian saja, dengan kekerapan lebih tinggi ditemui dalam bentuk sepasang.

Satu kajian di India mendapati 8% daripada populasi mereka langsung tidak memiliki otot ini, majoritinya di kalangan wanita jadi peratusan untuk anda mempunyai otot ini agak tinggi.

Disebabkan otot piramidalis terletak di kawasan yang sukar untuk dilihat kewujudannya melainkan kita dibedah, majoriti antara kita tidak tahu sama ada kita ada atau tidak otot ini.

Setakat apa yang kita tahu berkenaan otot ini, fungsi otot ini terhad. Otot piramidalis membantu proses pengecutan dan pengembahan bahagian abdomen, khasnya bahagian yang dinamakan sebagai 'linea alba' pada perut.

Linea alba memainkan peranan mengekalkan otot-otot perut dalam kedudukan yang tetap antara satu sama lain, akan mengembang apabila sebarang bentuk tekanan dikenakan pada bahagian dalaman abdomen kita.

Namun setakat apa yang kita tahu, tidak wujud perbezaan keupayaan di antara mereka yang memiliki dan mereka yang tiada.




Hakcipta iluminasi.com (2017)