oktagon octagon gelanggang ufc khabib mcgregor

Kemenangan Khabib Nurmagomedov dalam perlawanan terakhirnya meletakkan dia sebagai salah seorang atlit Ultimate Fighting Championship (UFC) terbaik, berikutan rekod yang bersih; menang 29 perlawanan 0 kalah.

Imej Khabib sebagai seorang Muslim meletakkan beliau di kedudukan yang istimewa khasnya di kalangan komuniti masyarakat Islam dunia, sehinggakan ramai yang menyanjung beliau sebagai ikon Muslim dunia yang baik untuk dijadikan ikutan.

Dalam beberapa perspektif khasnya melibatkan keperibadian Khabib sendiri - penulis amat bersetuju dengan pandangan ini. Beliau tidak lekang mengangkat agama Islam sebagai satu elemen penting dalam diri dan kerjaya yang disertainya.

khabib hero islam muslim ufc mma

Namun di sebalik semua aspek positif, banyak pihak seakan memejamkan sebelah mata terhadap elemen buruk dalam karier yang disertai Khabib; sedangkan kariernya itu sendiri merupakan sebahagian besar hidup atlit ternama tersebut.

Kenapa ramai seakan-akan takut untuk membincangkan sisi buruk UFC secara terbuka, apabila melibatkan atlit Muslim ternama seperti Khabib Nurmagomedov?

Larangan memukul muka yang jelas haram

khabib mcregor

Hendak tak hendak penulis akan memulakan artikel ini dengan menjelaskan kepada anda satu perkara yang sering dibangkitkan apabila kita berbicara berkenaan penyertaan atlit Muslim dalam sukan fizikal seperti MMA.

Penglibatan seseorang dalam sukan fizikal yang layak diklasifikasikan sebagai 'blood sport' memerlukan seseorang menyerang wajah dan kepala lawannya, dalam usaha untuk melemahkan seteru.

Ini bercanggah dengan larangan seseorang Muslim yang diharamkan menyerang bahagian muka dalam acara pertandingan sukan.

Daripada sekecil-kecil pertandingan seperti pertandingan menampar lawan sehinggalah sukan sentuhan keras seperti MMA, tinju, gusti dan sebagainya - keseluruhan bahagian kepala merupakan kawasan larangan untuk disentuh apatah lagi dicederakan secara sengaja.

khabib lawan mcgregor

Kedudukan kepala seseorang diletakkan dalam kedudukan yang sangat tinggi dalam darjatnya, melindungi bermacam organ yang terlalu penting serta menjadi identiti utama seseorang.

Sebarang bentuk kecacatan pada bahagian kepala tak kiralah pada mana-mana bahagian sekalipun, akan menzahirkan ketidaksempurnaan itu tanpa mampu dilindungi.

Rasulullah saw. sendiri bersabda "apabila seseorang kamu berperang, jauhilah dari (mencederakan) muka.” (Riwayat al-Bukhari (2559) dan Muslim (6817))

Seandainya dalam situasi perang sekalipun seseorang Muslim diingatkan agar jangan menyerang atau mencederakan bahagian wajah dan kepala seseorang, pendapat sama juga harus terpakai dalam situasi di mana pertarungan atas nama hiburan berlaku.

Persoalannya - mampukah seorang atlit MMA, gusti dan tinju mengelakkan diri dari melakukan serangan pada wajah?

Adakah aurat perlu jadi persoalan?

khabib juara ufc

Dalam banyak perbincangan berkenaan Khabib yang penulis ikuti, ramai pihak mempertahankan tindakan Khabib berlawan dengan pakaian sukan yang tidak menutup aurat.

Penulis agak kurang berminat untuk membincangkan isu ini kerana dalam isu aurat, seperti yang sudah dibincangkan - hendak tak hendak akan wujud banyak pendapat yang menyerang atau mempertahankan tatacara pemakaian atlit, berlatar belakangkan kepada khilaf atau ketidaksepakatan hukum dan fatwa di antara mazhab berbeza.

Penulis ikhlas tidak mahu berbicara berkenaan khilaf antara mazhab yang diamalkan atas bermacam sebab. Sebab utamanya adalah kerana penulis bukan pakar mazhab.

Jadi lupakanlah isu aurat kerana bagi penulis, perbincangan berkaitan isu tersebut tidak akan membawa perbincang kita ke mana-mana.

Sebaliknya penulis ingin membawa satu hujah yang jarang penulis nampak dibincangkan ketika masyarakat membincangkan berkenaan penglibatan atlit Muslim dalam sukan UFC ini - status pendapatan.

Faktor penaja dalam sukan UFC

khabib nemiroff

Arak memainkan peranan yang sangat besar dalam penajaaan sukan UFC sejak sekian lama dan penajaan syarikat-syarikat pengeluar minuman alkohol semakin lama semakin berkembang.

Budweiser Light merupakan antara rakan penaja UFC sekian lama, sebelum perubahan pada kontrak penajaan membawa bir jenama Modelo dari Mexico bermula tahun 2018. Dengan perubahan ini, Casa Modelo Mexican Beer akan diberikan lesen pemasaran bagi menggunakan gelaran 'bir rasmi kejohanan UFC.'

Pada bulan September tahun yang sama, UFC menambah rakan penajaan baru bagi mewujudkan minuman vodka rasmi kejohanan UFC yang dilesenkan kepada jenama Nemiroff dari Ukraine.

Perjanjian ini akan membolehkan Nemiroff meletakkan jenamanya ke dalam semua acara berkait UFC, termasuklah hak penyiaran pengiklanan semasa acara berlangsung.

Budaya pertaruhan dalam sukan UFC

khabib nurmagomedov justin gaethje draftkings sportsbook 1068x712

Untuk setiap pertarungan yang berlaku dalam sukan UFC, pertaruhan merupakan salah satu elemen paling penting yang cukup popular di kalangan pengikut mereka.

Dalam sejarah 25 tahun pengendalian UFC, pertaruhan dalam perlawanan kebiasaannya dikendalikan oleh syarikat-syarikat perjudian luar seperti BetSky, PaddyPower,Bet365 dan sebagainya.

Melihat potensi ini, pihak pengelola UFC sendiri tidak mahu melepaskan peluang menjadikan kegilaan orang ramai untuk berjudi sebagai salah satu sumber pendapatan mereka dengan pengenalan UFC Event Centre pada bulan Oktober 2020.

Bagi mewujudkan keseragaman dalam urusan pertaruhan di kalangan pelanggan, UFC Event Centre akan bertindak sebagai pengendali pertaruhan melalui sistem aplikasi yang dibangunkan hasil kerjasama dengan sebuah syarikat pengendali kasino atas talian, Rush Street Interactive.

Pelanggan yang bertaruh boleh melakukan taruhan secara mudah, mengikuti perkembangan taruhan secara langsung serta memperolehi statistik setiap perlawanan dan atlit, bagi membolehkan pelanggan membuat keputusan yang tepat sebelum dan semasa perlawnan berlangsung.

Terlalu banyak elemen UFC yang bercanggah dalam Islam

khabib mengamuk

Kami tidak meminta anda mengharamkan apa yang Khabib Nurmagomedov sebagai kerjaya dengan tulisan artikel ini. Kami hanya ingin meminta anda supaya tidak lupa untuk turut sama membincangkan elemen-elemen yang kami persembahkan, semasa anda membincangkan tentang UFC dan Khabib khasnya.

Ini kerana penulis melihat ramai yang terlalu taksub menyokong usaha Khabib sehinggakan seolah-olah terlupa sisi buruk sukan yang disertainya.

Kami tidak tahu adakah pendapatan Khabib itu bercampur dengan wang-wang penajaan dari syarikat arak atau perjudian. Hanya Khabib yang tahu.

Namun realitinya penganjuran acara UFC itu sendiri memperlihatkan pelbagai elemen yang jelas haram serta bercanggah dengan permintaan Islam, agar dijauhkan diri kita daripada elemen-elemen tersebut.

Belum diambil kira penampilan gadis-gadis berpakaian separa telanjang yang akan muncul setiap kali acara besar-besaran UFC berlangsung.

Walau sebesar mana pun anda menjulang nama Khabib Nurmagomedov sebagai ikon dan idola masyarakat Islam, kita harus sedar sukan yang beliau ceburi atas kehendak sendiri - amat jauh daripada fitrah sebenar ajaran Islam.

Untuk terus membicarakan tentang Khabib tanpa mahu membicarakan berkenaan UFC, adalah satu kesilapan yang tak sepatutnya terus dilakukan.

Apatah lagi Khabib sendiri direkodkan mengakui dia sedar, apa yang dilakukannya sebagai punca pendapatan bergelumang dengan perkara yang patut dijauhkan.

Buat apa kita nak terus mempertahankan, sesuatu yang tak sepatutnya kita pertahan?



Hakcipta iluminasi.com (2017)