Pelawak Angah Raja Lawak, kembali aktif menceburi dunia hiburan selepas lebih tiga tahun mengusahakan perniagaan pakaian miliknya.

Malah, sebagai pembukaan tahun 2018 ini, Angah mencabar diri dengan mencuba cabang seni baru sebagai juruhebah radio.

Menggantikan Shuib, Angah atau nama penuhnya Iskandar Shah Hashim menyertai Jep dan Rahim Sepahtu dalam Segmen Pagi Sinar sejak 1 Januari lalu.

“Alhamdulillah pembukaan yang baik buat saya untuk tahun 2018 di mana saya diberi peluang menjadi penyampai radio yang telah lama menjadi minat saya sebelum ini.

“Saya tahu ia merupakan tugasan yang cukup mencabar, apatah lagi diberi tanggungjawab untuk mengendalikan segmen pagi Sinar yang mempunyai cukup ramai pendengar.

“Insya-ALLAH saya akan cuba melakukan yang terbaik, apatah lagi rakan-rakan saya iaitu Jepp dan Rahim sangat membantu dalam segala segi sehinggakan saya dapat membiasakan diri di konti dalam tempoh waktu yang agak singkat,” katanya yang mengikat kontrak bersama Sinar selama dua tahun.

Malah, beliau sebelum ini pernah berpengalaman mengendalikan segmen carta lagu popular selama setahun di stesen radio sama, sekitar tahun 2014.

inilah pengganti shuib sertai sepahtu di sinar fm 2

“Walaupun pernah ada pengalaman di radio sebelum ini, namun cabarannya sangat berbeza dan tidak sama dengan apa yang saya lakukan sekarang.

“Dulu saya hanya bertugas sekali seminggu sahaja untuk segmen carta lagu dan tidak perlu mengambil tahu tentang teknikal dalam konti, tetapi sekarang adalah sebaliknya.

“Segmen Pagi Sinar bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, bermula 6-10 pagi yang memerlukan saya bertugas sebagai penyampai dan dalam masa yang sama perlu mengambil tahu tentang segalanya di konti,” katanya yang mendapat tawaran itu lebih sebulan lepas.

Dalam pada itu, Angah berharap dirinya tidak dibandingkan dengan juruhebah terdahulu.

Dalam masa sama, pelawak ini memohon diberikan masa untuk menunjukkan keupayaan yang dimilikinya. 

“Saya faham pendengar semesti akan membuat perbandingan kerana mereka sudah terbiasa penyampai sebelum ini dan saya tidak kisah tentang itu.

“Cuma sebagai orang baru, berilah saya sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan memantapkan gaya penyampaikan saya,” katanya lagi. 

Kredit foto: Instagram Sinar FM

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)