Kredit foto: Instagram Shuib Sepahtu

Penyingkiran Shuib Sepahtu di separuh akhir Super Spontan Superstar 2017 (SSS2017) sebenarnya sudahpun diramalkan pelawak itu lebih awal.

Menurut Shuib, antara faktornya termasuk dia banyak memberi ruang kepada ahli kumpulan lain terlibat dalam permainan.

“Saya sudah boleh rasa yang saya tersingkir di peringkat separuh akhir pertandingan ini.

“Saya sendiri sedar saya tidak banyak melibatkan diri dalam permainan dan sebagai ketua King Musang, saya banyak memberi peluang kepada peserta yang lain untuk bertarung dengan Tenggiling Taiko.

“Namun begitu, saya percaya yang rezeki saya hanya sampai di sini sahaja di SSS2017. Rezeki saya di luar, Insya-Allah,” katanya memetik laporan portal Astro Gempak.

Sebagai ketua kumpulan, Shuib juga sedar dia akan disingkirkan bila-bila masa sahaja dengan kerelaan ahli kumpulan lain.

tersingkir separuh akhir super spontan ini komen shuib sepahtu 2

Kredit foto: Instagram Shuib Sepahtu

“Biarpun saya menjadi ketua bagi kumpulan King Musang, semenjak awal permainan lagi saya sudah diberitahu oleh pihak produksi yang jawatan ketua kumpulan bukanlah satu lesen untuk kekal sehingga ke peringkat akhir SSS2017.

“Ketua kumpulan juga berkemungkinan untuk disingkirkan jika peserta lain mencapai kata sepakat. Saya berharap agar ahli kumpulan yang masih bertahan bermain dengan baik dan akhirnya memenangi SSS2017,” dedahnya.

Terdahulu, ahli kumpulan King Musang yang ditewaskan kumpulan Tenggiling Taiko bersepakat mengundi Shuib dan Amy untuk dikeluarkan daripada pertandingan.

Di peringkat akhir pula menyaksikan semua peserta tidak lagi berentap dalam kumpulan, sebaliknya secara individu untuk merebut takhta juara.

Peserta yang masih kekal ialah Ozlynn, Sharif Zero, Mamak Puteh, Shahrol Shiro, Achey Bocey, Kamal Adli, Shuk SYJ dan Fad Bocey.

Super Spontan Superstar 2017 disiarkan setiap Jumaat, jam 10 malam di saluran Astro Warna.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)